Financial quotes 1

 

Ekonomi Negara, Dunia dan Poket kita

Saban hari kita mendengar dari pihak tertentu eknomi Malaysia sedang tenat. Di ambang bankrap.

Tetapi sedar atau tidak, sewaktu ekonomi tengah baik, adakah ekonomi poket kita baik? Atau masih di takuk yang sama. Yang pasti jika ekonomi tak baik, ekonomi poket kita tidak juga baik.

Pokok pangkalnya, kita tidak berkuasa untuk merubah ekonomi negara, apatah lagi ekonomi dunia. Kecuali dengan mengeluh, mencemuh dan memaki hamun menyalahkan kerajaan.

Tetapi terdapat banyak perkara yang kita boleh buat untuk mengubah status kewangan keluarga / peribadi kita.

Apa yang saya ingin kongsikan adalah berdasarkan sedikit pengalaman yang saya lalui. Saya bercadang untuk menulis beberapa tips kewangan. Tetapi ianya bukanlah bermakna saya mempunyai sijil IFP / CFP, tetapi pandangan saya berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian. Ia juga sekadar catatan diari saya agar dapat dibaca oleh diri sendiri dan anak-anak suatu hari nanti.

Masalah kewangan adalah sekadar simptom

Itulah yang diungkapkan oleh mentor kewangan saya iaitu Encik Zaidi Ismail (Pengasas Urusinsan).

Beliau mengatakan, mindset memainkan peranan penting dalam menentukan halatuju kewangan peribadi. Seringkali kita di asuh dari kecil untuk “membenci duit”. Kita di ajar bahawa mempunyai duit yang banyak adalah satu dosa. Apabila pemikiran demikian sebati dengan kita, maka ramai di antara kita tidak dapat menyimpan wang dengan baik. Sebaliknya duit tersebut dibelanjakan atas dasar “sedekah” sedangkan keperluan wajib untuk diri kita tidak pula ditunaikan seperti membayar secepat mungkin pinjaman PTPTN. Ada yang melihat duit sebagai objek sumber kejahatan. Sedangkan tiada perkaitan antara duit dan kejahatan. Yang miskin pun ramai jahat.

Kita juga sering kali mendengar pepatah “biar miskin asalkan baik daripada kaya tetapi jahat”, “biar badan tak sado, tetapi asalkan boleh bangun subuh berjemaah”, “biar duit sikit asalkan cukup dari duit banyak tak pernah cukup”, “alaa buat apa simpan duit banyak-banyak, bukan boleh bawa mati pun”. Pepatah tersebut apabila difikirkan kembali, amat mengecewakan. Alangkah baiknya jika kita mengubah ke arah lebih baik iaitu “Biar kaya asalkan baik, dari miskin papa kedana asyik meminta-minta”, sedangkan Nabi pun melarang umatnya meminta-minta. Begitu juga dengan tubuh sado, islam menggalakkan kita sihat, dan sentiasa bersenam. Samaada bangun subuh atau tidak, itu adalah isu lain. Pepatah di atas membuat perbandigan yang sangat bias (berat sebelah). Mana mungkin dibandingkan orang baik dan tidak baik kemudian diletakkan “kambing hitam” kekayaan sebagai punca utama.

Tanpa kita sedar, asuhan, mindset, penerapan pemikiran seperti ini secara tidak sedar menghalang kita untuk maju ke depan. Bahkan hendak menyimpan duit pun rasa tidak semangat. Sedangkan kita tahu, kewangan setiap bulan sentiasa tenat. Gaji masuk pagi, tengah hari pun sudah habis dibayar segala keperluan bil-bil, kemudian hidup sebulan dengan kad kredit sahaja. Adakah itu kehidupan yang kita inginkan untuk 50 tahun lagi? Ahhh, tak apa, keadaan akan berubah lebih baik. Oh, mana mungkin keadaan berubah lebih baik jika tidak mengubahnya dan mengawalnya.

Meyimpan, berjimat cermat adalah membosankan

Sewaktu saya mula-mula bekerja, saya juga adalah seorang yang boros. Maklumlah, pada waktu itu, tiada sifu kewangan, tiada mentor, tiada juga kemajuan internet dan media sosial. Sekarang ilmu berkembang pesat. Tetapi mujurlah seseorang menasihati saya dengan mengatakan “Kau nak aku ajar kau menjadi kaya? , kau pergi baca buku Azizi Ali – Tajuk “jutawan dari planet jupiter”. Saya hanya ternganga ajo mendengarnya. Tetapi kerana beliau seorang pakar yang saya hormati, maka saya mencari buku tersebut dan mengkhatamnya hanya dalam masa sehari sahaja.

Antara langkah wajib ke arah merubah status kewangan ialah berjimat cermat dan meyimpan. Ianya membosankan, memeritkan, dan tidak menjadikan kita glamer. Bahkan ada suara-suara sumbang mengkritik kita. Biarlah, apa perlu kita peduli, sedangkan keperluan hidup kita bukan mereka tanggung.

Bermula dari pembacaan buku Azizi ali, saya mula mengorak langkah menyimpan duit. Tetapi orang pertama yang saya nasihatkan ialah isteri saya. Bahkan memujuknya untuk membaca buku Azizi Ali memakan masa setahun. Huhuhuhu.

Tetapi setelah beliau membacanya, kami dapat mengawal status kewangan dengan baik, kerana isteri saya seorang bendahari yang terbaik.

Kesimpulan

  1. Mengubah status kewangan peribadi / keluarga adalah kewajipan kita kerana hanya kita sahaja boleh mengawalnya.
  2. Mindset tentang kewangan perlu diubah agar ia tidak menghalang kita dari berubah kepada lebih baik.
  3. Cari mentor yang boleh membimbing kita.
  4. Menyimpan dan berjimat cermat adalah wajib walaupun kita tidak menyukainya.
  5. Kesedaran diri perlu barulah mendidik pasangan hidup tentang kewangan.

Setakat itulah nota serba ringkas. Insya Allah saya akan cuba menulis sedikit demi sedikit. Jika tuan / puan merasa ianya terlalu basic, dan tidak sabar untuk menguruskan kewangan ke arah lebih baik. Saya cadangkan terus membeli buku kewangan antara yang terbaik dipasaran. Ditulis oleh Alwi Adam bertajuk DIY360 mengurus kewangan.

Sekian terima kasih.

Comments are closed.

Post Navigation