Assalamualaikum

Sudah hampir setahun setengah menjalani program Master basic medical science (ajerrr). Terasa betapa susahnya membuat research ini. Harapnya hujung tahun in berjaya menamatkan master dan menyambung Phd tahun hadapan. Setakat ini tidak ada lagi individu mengatakan research ini sangat senang kecuali individu yang sudah tidak membuat research dan tidak tahu menahu apa itu research. Kebiasaannya ciri-ciri orang yang tidak pernah membuat research ini ialah orang yang suka komen merapu dalam proposal presentation dan research presentation.

Teringat kembali kisah “Si bapa , si anak dan si keldai”. Kisah ini terdapat dalam banyak buku-buku dan ditulis dalam pelbagai ulasan. Tetapi prinsip kisah ini tetap sama…inilah kisahnya.

“Tersebut kisah dari negara Antah Berantah, Si bapa dan si anak berjalan memasuki sebuah pasar yang sibuk. Si bapa menaiki keldai, manakala si anaknya berjalan. Maka di kritiklah oleh segolongan manusia di pasar, alangkah tidak bertimbang rasa si bapa membiarkan anaknya berjalan. Maka si bapa turun menyuruh anaknya menaiki keldai itu. Setelah berjalan beberapa langkah, maka berkatalah manusia lain pula, alangkah kurang ajarnya si anak tadi tidak menghormati orang tua. Maka si anak turun dari keldai itu dan kedua-keduanya berjalan tidak menaiki keldai. Maka di kritik pula oleh segolongan manusia lain, apa gunanya keldai itu kalau tidak dinaiki. Maka kedua-dua si bapa dan anak itu menaiki keldai itu, akan tetapi malangnya dikritik lagi oleh segolongan manusia yang lain dengan kata mereka; alangkah zalimnya 2 orang menaiki keldai, menyeksa haiwan.”

Begitulah secara ringkasnya cerita itu. Dalam buku karangan kisah ini oleh Ustaz Abdullah Al-Qari, dia menulis bahawa si ayah selepas itu menasihati anak “Wahai anakku, setiap apa yang kita lakukan tidak akan terlepas dari kritikan manusia, oleh itu, hendaklah segala pertimbangan dan keputusan dilakukan sejajar dan selari dengan ajaran islam.

Jadi apakah kaitan dengan dunia research, begitulah juga senario yang berlaku dalam dunia research ini. Setiap proposal dan tajuk kita tak terlepas dari kritikan pensyarah-pensyarah. Ada di antara mereka sangat bagus dalam memberikan pendapat, akan tetapi ada juga yang terserlah kekurangan cerdiknya tentang research. Walaupun sebagus mana proposal disediakan masih lagi tidak terlepas dari kritikan. Akan tetapi untuk berjaya, hendaklah dilihat kritikan itu dari sudut pandangan positif dan hendaklah dicari hujahnya supaya boleh dipatahkan semua kritikan itu.

Dalam research, orang yang arif tentang selok belok research kita ialah kita sendiri. Akan tetapi yang paling arif sudah pasti Allah s.w.t. Semua idea dan ilham datang dari Allah s.w.t yang menjadikan sesuatu research itu berjaya. Saat yang paling kritikal dalam research ialah membuat proposal dan menulis thesis.

Pernah seorang “lecturer” mengatakan bahawa research saya ini tiada ada nilainya untuk universiti. Walaupun hati sangat sedih dengan kata-kata itu, saya tetap akan cuba cari dan buktikan bahawa research ini bernilai walapun tesis tebal yang akan ditulis boleh dijadikan penyendal pintu sekalipun. Dua hari lepas, hati kagum dengan seorang postgrad Phd dari Africa kot, dia berkata “any research has it own value, even a small value for the sake of science, it depends on us to explain and convince people that our research has it own value” . Maknanya kena pandai goreng laa dalam presentation sampai orang terima research kita tu. Untuk cari value research hanya satu cara sahaja, baca dan baca journal sebanyak-banyaknya; sesuatu yang sangat mencabar.

Kesimpulannya, dunia research ini secara umumnya bukanlah senang. Jika dibanding dunia klinikal juga bukanlah senang. Tiada perkara yang senang. Akan tetapi bersama tidak senang itu terdapatnya senang (bila dah habis master dan phd). Ohh..sebelum terlupa, ada sedikit penambahan dalam cerita si bapa, si anak dan si keldai (berdasarkan ilmu terkini di IIUM); selepas dikritik oleh orang ramai si bapa dan si anak tidak tahan dan bosan dengan telatah orang ramai, maka kedua-dua mereka mengangkat keldai itu dan keluar dari pasar itu…Tamat (yang ni takde orang komen pulak).

Sekian.