images

Assalamualaikum,

Sedar tak sedar, entah berapa tahun blog ini masih bertahan. Jika diibaratkan saham, ia dikira memasuki fasa sideway, tak naik dan tak turun tetapi bertahan. Pernah blog ini melingkup beberapa kali disebabkan masalah teknikal dan masalah penulisnya.

Menulis di blog sebenarnya senang. Lebih-lebih lagi penulisan bersifat merapu dan merepek. Ianya percuma sahaja, boleh menggunakan platform wordpress dan blogspot.

Bahagian yang paling susah ialah nak maintain blog dan konsisten dalam penulisan. Penulisan blog yang bersifat akademik atau ilmiah adalah merupakan paling susah bagi saya. Saya mempunyai impian untuk menulis sesuatu yang bermakna seperti Ustaz Zaharuddin di websitenya www.zaharuddin.net. Penulisan berbentuk ilmiah agak sukar dihasilkan bagi orang seperti saya.

Antara sebab-sebab kenapa saya masih menulis di blog ini ialah:

1. Motivasi

Boleh dikatakan motivasi ini turun naik setiap hari. Kadang kala mahu menulis tetapi tidak jadi. Antara sebab yang membuatkan saya menulis walaupun jarang-jarang sekali ialah keinginan untuk berkongsi apa yang dipelajari dalam hidup ini. Saya yakin perkara yang saya pelajari boleh menambah nilai hidup orang lain walaupun sedikit. Itulah motivasi utama saya masih menulis. Pernah suatu ketika saya berjumpa seorang pakar dalam suatu majlis halaqah dalam bidang orthopaedic (pakar bedah tulang) . Beliau sudah berumur dan suka bercerita tentang pengalaman hidupnya. Akhirnya beliau berkata “alangkah baiknya jika segala pengalaman dilalui oleh beliau ditulis dijadikan buku agar generasi seterusnya boleh mengambil manfaat dari kisahnya”. Itulah hakikatnya, sudah ramai mempunyai pengalaman hidup yang bagus, malang sekali mereka tidak menulisnya. Pernah suatu ketika, kawan saya berkata “antara amalan yang berpotensi membuatkan pahala berterusan ialah dengan menulis”.

2. Diari kehidupan

Setiap tahun, saya sentiasa mendapat buku organizer / diari. Tetapi sudah bertahun-tahun buku itu tidak pernah ditulis dan sentiasa kosong. Secara umumnya saya tidak suka membuat catatan dan menulis tangan. Melihat tulisan sendiri pun agak merimaskan. Tulisan sentiasa berubah-ubah menjadi semakin comot. Menulis tangan agak meletihkan. Saya lebih suka menaip, tulisan komputer mudah dibaca dan cantik. Lagipun, saya tidak mempunyai masalah untuk menaip, kerana saya telah menguasai kemahiran menaip 10 jari tanpa melihat keyboard. Walaupun bukan setiap hari catitan di blog boleh dibuat,  berharap sekurang-kurangnya boleh menulis sebahagian kecil kisah kehidupan ini.

3. “Website Monetization”

Tulis blog sebenarnya boleh menjana duit dari jumlah yang sedikit hinggalah mencecah jutaan ringgit. Impian saya ialah menjana puluhan ribu ringgi dari blog, namun ianya masih tidak tercapai. Tetapi jika ia boleh menjana RM120.00 setahun, itu dikira sudah cukup baik kerana dapat menampung kos hosting dan domain website ini. Terdapat sangat banyak kaedah menjana duit dari website. Antaranya ialah iklan nuffnang (memerlukan trafik yang tinggi), affiliate marketing, email marketing dan menjual produk.

Namun saya masih tidak berjaya membuat duit yang banyak. Insya Allah di masa hadapan saya membuat keputusan untuk menaikkan trafik iklan website ini menggunakan iklan google adwords.

 4. Kejayaan bermula dengan menulis

Ya betul, itulah hakikat sebenarnya. Jika mahu melihat tokoh-tokoh yang telah berjaya dalam bidang bisnes internet, kebanyakan mereka bermula dengan “bidang penulisan”. Lebih tepat lagi ialah penulisan bidang informasi. Antara internet marketers yang saya perhatikan berjaya ialah Irfan Khairi, Gobalakrishnan, Patric Chan, Sifufbads, Zamsaham dan banyak lagi. Mereka berjaya kerana berkongsi maklumat dan ilmu melalui penulisan buku-buku dan blog. Tak dapat tidak, kalau mahu berjaya kena menulis juga. Lagipun di universiti, kriteria kenaikan pangkat pun kena menulis artikel dan menerbitkan buku-buku ilmiah.

5. Penambahbaikan dalam menulis

Tiada orang yang berjaya menulis hanya dengan satu artikel / blog post sahaja. Bagi mereka yang baru menulis, tulislah walaupun ayat yang ditulis seakan-akan budak baru masuk sekolah. Saya pun seringkali mentertawakan diri sendiri apabila melihat tulisan-tulisan lama. Tetapi apabila difikir kembali, disitulah permulaan nya. Jika tiada permulaan nya, ia sama sekali tidak akan bermula.  Lagipun untuk menulis blog, tidak lah perlu ayat yang bombastik, bersastera tahap tinggi seperti sasterawan negara, tidak perlu juga tatabahasa yang betul. Yang perlu ialah kemahuan untuk menulis. Tulislah perkara yang memberi manfaat, bersifat positif, tidak mempunyai unsur-unsur kebencian terutama melibatkan politik.

Antara cabaran menulis di blog ialah:

1. Self sabotage

Kritikan terhadap diri sendiri adalah pembunuh utama motivasi dan menghadkan tahap kreativiti. Minda kita seringkali merendahkan-rendahkan idea. Kadang-kala belum sempat menulis, dalam fikiran sudah mula berfikir tentang perkara negatif. Inilah cabaran terbesar yang perlu dilalui. Untuk mengatasinya ialah abaikan suara-suara negatif dalam minda.

2. Kekangan masa

Sebenarnya untuk menulis 1 post di blog yang tidak berapa berkualiti pun mengambil masa yang agak panjang. Paling cepat ialah 30 minit. Jadi untuk menulis, terpaksalah masa dicuri-curi pada waktu malam. Tanpa gangguan anak-anak.

3. Ketandusan idea

Idea boleh datang dan pergi sepantas kilat. Pernah suatu ketika dahulu, ketika menghadiri kursus penulisan, penceramah  mencadangkan agar mencatit segala idea yang datang dalam iphone. Tulis keyword idea tersebut. Selepas itu bolehlah dikumpulkan untuk dijadikan buku. Saya pernah mencubanya dan ia agak berkesan.

4. Kritikan dari luar

Jarang sekali saya mendapat kritikan yang teruk. Lagipun jika mendapat komen yang negatif dan provokatif, perlu muhasabah semula adakah penulisan kita bersifat negatif. Jika ianya punca dari penulisan kita, maka hendaklah di edit semula. Tetapi kadang kala pembaca ada juga yang suka memberikan komen negatif. Untuk mengatasinya amat mudah, delete sahaja komen tersebut. Insya Allah hidup lebih tenang dan gembira.

5. Masalah teknikal

Kadang kala terdapat masalah teknikal menggunakan wordpress. Tetapi saya sangat suka platform ini memandangkan SEO nya agak bagus berbanding blogspot. Antara masalah teknikal menggunakan wordpress ialah apabila sukar mengupdate post kerana terdapat konflik security dengan syarikat hosting. Alhamdulillah, saya telah berjaya menyelesaikan masalah tersebut setelah sakit kepala selama sebulan lebih. Tetapi masalah teknikal ini adalah cabaran biasa. Untuk atasinya ialah banyakkan bertanya pihak hosting provider dan buat carian google.

Setakat ini sahaja..

Insya Allah di masa hadapan saya akan berkongsi tentang kursus-kursus yang saya hadiri, kebanyakannya ialah kursus bisnes online Facebook Marketing, Bursa Saham Malaysia. Buat masa ini saya belum berjaya sepenuhnya, tiada proven result. Cuma ia hanyalah sebagai catitan agar dapat belajar sesuatu terutama “belajar dari kesilapan diri sendiri dan orang lain”

Apa jadi dengan Phd? Saya masih belum daftar lagi, tunggu kelulusan grant research terlebih dahulu. Insya Allah banyak perkara baru dipelajari terutama melibatkan skills / kemahiran dalam research apabila Phd bermula.

Salam,

Kebiasaaanya saya tidak dapat lari dari kemalasan untuk meng’update’ post di blog ini, Banyak faktor yang membantutkan; antaranya malas, ketandusan idea, dan tidak tahu apa yang perlu ditulis.

Semalam, ber’chat’ dengan kawan melalui YM tentang apakah yang perlu ditulis di dalam blog, beliau menasihatkan blog ini lebih tertumpu kepada niche area yang lebih fokus. Contohnya blog beliau Taqidoc lebih tertumpu kepada post berkaitan radiology, beliau menulis tentang radiology kerana mempunyai minat mendalam dan cita-cita beliau untuk menjadi pakar radiology.

Melalui subscription dengan Nuffnang saya mendapati bahawa carian pelawat ke blog saya ini lebih tertumpu kepada keyword “kerjaya sebagai seorang doktor” . Ini tidaklah menghairankan kerana banyak post yang saya tulis sebelum ini ialah berkaitan dengan kerjaya dan hidup sebagai seorang doktor. Oleh kerana itu keyword density untuk kerjaya doktor menjadi tinggi.

Bagi pelawat-pelawat (walaupun beberapa kerat), saya mengalu-alukan cadangan untuk post-post blog yang akan datang.

Perancangan saya untuk masa hadapan, sebaik sahaja lulus master in anatomy, saya bercadang menulis post tentang “Human Anatomy” untuk manfaat pelajar perubatan. Saya akan meletakkan link khusus tentang post “human anatomy”.

Sekian