Program kemuncak bantuan kepada mangsa banjir

Program kemuncak bantuan kepada mangsa banjir, dianggarkan 500 sukarelawan turun dari seluruh Malaysia

Alhamdulillah, walaupun agak terkejut dengan banjir di Kuantan 2013 ni, saya bersyukur kerana diberikan peluang yang jarang ditemui iaitu membantu mangsa banjir menerusi kerja sukarelawan IKRAM Pahang.

Setelah saya kembali ke Kuantan  (dari Muar) pada hari Selasa 3hb Disember 2013, kami melalui perjalanan agak sukar untuk sampai ke Kuantan. Di Muadzam Shah, jalan raya tidak dapat dilalui berikutan jalan runtuh (lubang besar), kami terpaksa berpatah balik ke Temerloh dan bermalam di sana. Untuk sampai ke Kuantan, hanya satu jalan melalui Jabor sahaja boleh dilalui. Ke semua jalan dinaiki air dan tidak selamat untuk diredah. Apabila sampai di Kuantan, mujurlah bekalan elektrik yang terputus selama hampir 12 jam disambung semula. Bekalan elektrik terpaksa diputuskan kerana pencawang berdekatan ditenggelami air banjir. Akan tetapi, bekalan air paip masih terputus selama 2 hari.

Sememangnya banjir tahun ini sangat-sangat teruk. Tahun 2012 banjir kilat hanya berlaku di bandar Kuantan dan sekejap sahaja. Tetapi banjir pada tahun ini seolah-olah keadaan darurat telah berlaku. Bayangkan, sejurus air banjir naik secara tiba-tiba, bandar Kuantan terjejas teruk, kawasan perumahan dinaiki air tenggelam dari paras betis hingga ke leher. Ramai menyelamatkan diri dengan mengharungi air banjir. Pasukan keselamatan tidak cukup tangan dan bot penyelamat untuk membawa mangsa banjir ke tempat penempatan banjir. Tambahan pula, lebih mengejutkan, sekolah yang menempatkan mangsa banjir pun tenggelam sehingga aras tingkat 1.

Rentetan bekalan elektrik terputus, telekomunikasi terjejas teruk. Mesin-mesin ATM tidak dapat digunakan untuk mengeluarkan duit, ramai beratus panjang di stesen minyak untuk mengisi petrol. Bahkan ada juga beberapa stesen minyak tenggelam dalam banjir.

Tanah runtuh di sana sini, jalan ditenggelami air. Kereta yang tenggelam sangat banyak, menjangkau ribuan buah kereta. Ada juga memberitahu saya kereta yang mewah dan nombor plat baru juga tenggelam. Saya hanya boleh menelan air liur, terbayang dalam hati, jika kereta second hand citroen saya tenggelam, mahunya menangis dalam hati.

Kebanyakan mangsa banjir hanya dapat membawa barang-barang yang penting sahaja iaitu smartphone, baju sehelai sepinggang dan dokument penting. Air naik secara mendadak dan tidak dijangka menyebabkan mereka tidak sempat mengangkat harta benda ke tempat lebih tinggi. Boleh dikatakan total loss segala harga benda.

Tempat penempatan banjir mulai sesak dengan ribuan orang ramai. Maka masalah bermula dari pakaian, alas lantai, makanan dan minuman, tandas, masalah keselamatan, selimut, tuala wanita, baju bayi, pampers dan segalanya barang keperluan asas. Ada yang kelaparan hanya mengunyah biskut sekeping dua sehari untuk menggalas perut.

Maka IKRAM Pahang mula menggerakkan inisiatif untuk membantu mangsa banjir. Bilik gerakan operasi di aktifkan di Pejabat IKRAM di Bandar Indera Mahkota 8. Saya yang sebelum ini agak tidak aktif terlibat, mula bersemangat berikutan jasa IKRAM negeri Johor terhadap keluarga saya dan adik lelaki yang kemalangan jalan raya.

Pada mulanya saya hanya menghantar pakaian dan makanan ke tempat-tempat penempatan mangsa banjir. Setelah berlalunya 24 jam, tempat-tempat mangsa banjir mendapat stok makanan yang berlebihan. Penempatan yang terputus hubungan akibat dinaiki air adalah tempat paling kritikal kerana stok makanan, pakaian dan keperluan asas sangat sedikit. Hanya bot penyelamat sahaja yang boleh memasuki kawasan tersebut. Tidak dapat digambarkan, kawasan taman yang biasa dilalui sebelum ini menjadi lautan yang luas dengan air sedalam aras dada.

Setelah 2 hari, banjir mulai surut dan terdapat penduduk yang kembali ke rumah masing-masing. Pada waktu yang sama, bantuan mula mencurah masuk dari segenap pelusuk Malaysia. Bantuan dalam bentuk makanan, minuman, pakaian terpakai (yang paling banyak), keperluan dapur dan sebagainya.

Pada waktu itu, team sukarelawan berpeluang untuk masuk ke kampung mengagihkan barangan makanan dan keperluan lain. Alhamdulillah, saya telah diberi kesempatan untuk merasa membuat kerja di lapangan. Kampung yang di lawati merupakan antara terjejas teruk. Sedih mendengar ceritanya seorang Atok yang meredah air sedalam paras dada untuk sampai ketempat yang selamat. Bantuan bot penyelamat yang ditunggu tidak sampai, pun begitu beliau pasrah kerana mengetahui ramai lagi yang lebih memerlukan bantuan dari beliau.

Agihan makanan kepada mangsa banjir. Memang mahu menunjuk-nunjuk agar ia menjadi suatu promosi ke arah kebaikan.

Agihan makanan kepada mangsa banjir. Atok inilah yang meredah air banjir sedalam paras dada untuk menyelamatkan diri.

Saya amat kagum dengan sukarelawan yang turun terdiri dari pelajar IIUM Kuantan, UMP, Shahputra dan sebagainya. Mereka turun tanpa banyak soal. Semua berkumpul untuk membantu mengagihkan bantuan walaupun terpaksa meredah hujan yang lebat.

Rumah mangsa ditenggelami air sedalam aras dada. Kehilangan harta benda.

Rumah mangsa ditenggelami air sedalam aras dada. Kehilangan harta benda.

 

Antara pelajar-pelajar yang terlibat sebagai sukarelawan

Antara pelajar-pelajar yang terlibat sebagai sukarelawan.

Sememangnya kerja pengagihan agak memenatkan. Mujurlah tidak demam akibat meredah hujan. Saya telah mencuba beberapa tugas-tugas, tugas yang paling menyeronokkan ialah mencuci rumah kerana saya boleh bermain-main dengan pressure water jet dan merasa puas hati apabila melihat hasilnya rumah menjadi bersih.

Mempunyai cita-cita untuk memiliki water jet ini untuk menggantikan yang lama. Yang ini lebih "berkuasa".

Mempunyai cita-cita untuk memiliki water jet ini untuk menggantikan yang lama. Yang ini lebih “berkuasa”.

Manakala isteri saya pula “hanya” membuat tugasan di sebalik tabir sebagai admin Facebook IKRAM Pahang. Facebook yang telah lama pasif menjadi aktif semula. Maklum la isteri saya mempunyai kepakaran dalam facebook marketing seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. Page IKRAM Pahang telah melonjak angka “Like” dari 1400 likes sehingga mencecah 2000 like hanya dalam masa tidak sampai 2 minggu. Ini merupakan pencapaian yang agak memberansangkan. Tambahan pula, total like tersebut dicapai hanya dengan organic post sahaja tanpa melibatkan facebook ads. Facebook ads hanya digunakan selama 2 hari sahaja untuk menawarkan khidmat bantuan bersih rumah kepada mangsa banjir sahaja. Akan tetapi, tidak dinafikan facebook page lain seperti IKRAM Pusat dan negeri lain turut menyumbang kepada peningkatan promosi. Hasilnya dari promosi tersebut, ramai lebih sedar dan prihatin. Bantuan dan derma masuk mencurah-curah. Alhamdulillah, bantuan yang masuk telah berjaya diagihkan secepat mungkin, habis dan ramai telah menerimanya.

Saya merasakan apa yang saya buat ini hanyalah picisan kecil dari apa yang telah dilakukan oleh sukarelawan lain. Ada antara mereka sangat hebat berjaya masuk ke kampung yang tidak pernah dikunjungi dan mendapat sebarang bantuan, ada yang berjaya mengutip derma puluhan ribu ringgit dan mengagihkan dengan cekap kepada mangsa banjir, ada yang berada siang malam di pejabat bagi membungkus makanan-makanan dan keperluan, ada yang lagi hebat mengkordinasi segala operasi gerakan bantuan mangsa banjir, dan yang paling hebat ialah antara sukarelawan tersebut ialah mangsa banjir yang total loss harta benda (kecuali kereta berjaya diselamatkan) juga komited selama seminggu membantu mangsa banjir. Kesimpulannya, semua telah menyumbang dari segi tenaga, wang ringgit dan masa. Samaada sumbangan itu banyak atau sedikit, ikhlas dan sebaliknya hanya Allah swt layak menilai.

Setelah menyumbang sedikit picisan tenaga dalam aktiviti ini, saya berharap diri ini menjumpai jawapan kepada persoalan untuk “Apakah yang berbaloi untuk dibawa apabila mati nanti”?

Semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada saya untuk terus memberikan sumbangan walaupun sedikit.

p/s: Jika anda ingin menyumbang walaupun RM1.00 sekalipun, boleh la merujuk kepada Facebook page IKRAM Pahang

Saya yakin semua pihak telah menyumbang dengan penuh komitmen dan keikhlasan, tiada prasangka saya letakkan dalam diri saya. Jutaan terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat.

Alhamdulillah setelah lama tidak sempat mengupdate blog, akhirnya masalah teknikal yang dihadapi telah selesai. Rasanya hampir 2-3 bulan blog ini tidak dapat di update sebarang new post. Setiap kali mahu update pasti akan ada error 404 keluar. Saya hampir putus asa dan mahu sahaja menutup blog ini. Bahkan saya telah terdelete blog ini 2 hari lepas. Mujurlah penyedia perkhidmatan hosting sangat supportive dan mereka telah restore semula blog ini. Masalah tidak dapat update blog juga telah selesai apabila isu security server yang menjadi punca conflict dengan wordpress ini telah diselesaikan.

Berbalik dengan isu banjir yang telah melanda Kuantan sejak Isnin minggu lepas pada 2 hb Disember 2013. Sebenarnya terdapat kisah sebaliknya sebelum banjir melanda yang saya rasakan perlu ditulis di sini agar ianya menjadi peringatan untuk diri saya pada masa hadapan.

Ianya bermula hari Khamis petang 5hb Disember apabila menerima panggilan dari orang tidak dikenali sekitar pukul 5.30 petang. Hati saya berdebar apabila pemanggil tersebut bertanya adakah saya abang kepada Encik X. Hati saya berdebar-debar, kerana biasanya jika situasi ini berlaku, tidak lain tidak bukan mesti adik saya terlibat dalam kemalangan yang teruk.

Sememangnya tekaan saya tepat, apabila adik saya terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan kereta juga, ia berlaku di Ledang Johor. Perlanggaran berdepan dengan kereta lain. Adik saya tidak mampu menelefon menggunakan telefonnya…semua ini mempunyai ciri-ciri kemalangan yang teruk. Sebagai seorang doktor yang telah melihat banyak kes-kes kemalangan di Unit Kecemasan, maka apa yang terlintas di hati saya ialah: “adik tidak dapat menelefon, sesak nafas untuk bercakap (chest injuries), sakit perut (intraabdominal injury), sakit kaki (fracture lower limb), segala macam diagnosis sudah terlintas di fikiran saya. Pada saat itu, saya merasakan akan kehilangan salah seorang adik lelaki.

Pada waktu tersebut, saya hanya berfikir untuk terus ke Johor, walaupun tidak pernah lagi seumur hidup memandu dari Kuantan ke Muar Johor. Saya dan keluarga terus bertolak ke Johor, dalam masa 4 jam selamat sampai di Hospital Muar.

Pendek cerita, adik saya dimasukkkan ke hospital Muar, Johor dengan disyaki diagnosis MVA with patella fracture and suspected chest and intraabdominal injuries. Alhamdulillah, setelah pemeriksaan rapi, pihak doktor telah mengesahkan tiada sebarang kecederaan dalaman dan juga tiada kecederaan pada dada. Yang confirm hanyalah retak pada tempurung lutut kanan yang memerlukan pembedahan. Kecederaan lain hanyalah ringan sahaja seperti lebam di bahagian perut dan dada. Pun begitu, adik saya merasa sesak nafas dan sakit dibahagian perut akibat perlanggaran tersebut.

Jika melihatkan pada kerosakan keretanya, total loss!. Saya juga terkejut, hairan dan sangat bersyukur kerana adik saya selamat. Sememangnya ada hikmah disebalik kejadian ini.

Kereta total loss, pemandu masih selamat

Kereta total loss, pemandu terselamat

Antara hikmah yang saya lihat disebalik kejadian ini ialah:

Adik beradik saya yang telah bergegas ke sana telah di santuni oleh pihak pertubuhan IKRAM Johor, mereka lah yang menyediakan penginapan homestay semalaman bagi memudahkan urusan. Terdapat juga doktor yang merupakan ahli IKRAM telah melawat dan mengupdate perkembangan terkini adik saya. Ini memberikan gambaran yang baik tentang pertubuhan IKRAM itu dikalangan ahli keluarga saya yang belum mengenali IKRAM. 

Hospital Muar walaupun struktur bangunan agak lama, tetapi ianya hospital yang sangat selesa, ditambah pula dengan kelembutan dan peramahnya kakitangan hospital. Layanan yang diberikan sangat tip top. Ia juga hospital yang mesra ibadah. Sepanjang adik saya dihospital, alhamdulillah beliau tidak pernah meninggalkan solat walau satu waktu sekalipun. Pengalaman menjaga adik lelaki di dalam wad, sempat berkenalan seorang Aunty berbangsa cina. Beliau sangat peramah dan mesra. Beliau terkejut dan hairan bagaimana adik saya boleh terselamat dari kemalangan yang teruk. Yang paling lucu ialah apabila beliau berkata “Lu mesti orang kuat sembahyang punya, sebab itu lu terselamat. Zaman sekarang banyak orang muda mati cepat sebab malas sembahyang”. Kata-kata ini memberi makna mendalam pada diri saya.

Adik saya sentiasa mengungkapkan kata-kata “selepas ini aku mesti lebih banyak bersyukur, bersedekah, bertaubat dan berbuat baik kerana telah terselamat dari kemalangan maut ini”.

Kata-kata ini telah memberikan sedikit keinsafan kepada diri saya. Mungkin saya akan mati terlebih dahulu selepas ini. Saya juga sering mengingatkan diri ini “Apakah matlamat hidup ini?”, “Berapakah kebaikan yang telah dilakukan untuk manusia lain?”, “Apakah bekalan yang telah dipersiapkan untuk masuk kubur?”.

Hati saya gembira dapat berkhidmat menjaga adik saya sepanjang 4 hari terlantar di hospital. Akhirnya beliau dibenarkan keluar dari hospital selepas seminggu.

Penjaga di Hospital Muar

Penjaga di Hospital Muar

Sememangnya Allah swt telah mengaturkan segala kejadian dengan sempurna.

Bermula dari kejadian tersebut… Apabila saya kembali ke Kuantan, saya bersemangat menyumbangkan sedikit tenaga menjadi sukarelawan IKRAM untuk membantu mangsa banjir. Sehingga post blog ini ditulis, hari ini ia merupakan hari terakhir operasi gerakan bantuan mangsa banjir. Jika kejadian kemalangan “final destination” tidak berlaku ke atas adik saya, mungkin saya agak malas. Ia mungkin merupakan peringatan dan teguran ke atas diri saya ini oleh Allah swt agar saya lebih banyak membuat kebaikan kepada masyarakat.

Alhamdulillah…..