Awas cukai pendapatan

Awas cukai pendapatan!

Dua hari yang lepas, adik saya mendapat surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Terdapat cukai tunggakan sebanyak RM13 ribu perlu dijelaskan dalam masa 14 hari!!. Saya terkejut besar, tiada apa saya dapat ucapkan. Mahu menyumpah LHDN adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya kerana peraturan telah menetapkan, setiap mereka yang mempunyai pendapatan mesti mengisytiharkan cukai dan membayar cukai. Adalah hak LHDN untuk mengutip cukai, lagipun cukai adalah untuk kesejahteraan negara Malaysia juga.

Rasa mahu memarahi adik perempuan, tetapi rasa kasihan pulak. Walaupun sejak dia mula bekerja 2 tahun lepas, saya selalu menasihati agar beringat sentiasa agar mengisi borang cukai.

Adik saya bekerja sebagai doktor. Adalah sedia maklum, berdasarkan pengalaman saya sendiri, doktor adalah manusia paling bijaksana di atas muka bumi ini. Tetapi bijaksana dari segi silibus pelajaran dalam medical textbook semata-mata.

Hakikatnya, majoriti doktor terutama yang junior, baru grad, medical student. Mereka sangat “bodoh” apabila menyentuh tentang ilmu pengurusan kewangan, pencukaian, pelaburan yang bagus. Hidup doktor adalah terhad dalam ruang lingkup buku teks perubatan sahaja. Tiada pendedahan tentang aspek-aspek yang lebih penting dalam 5 tahun pengajian mereka. Tidak hairan sebenarnya kerana saya pun pernah menjadi si bodoh juga  bab cukai dan pengurusan kewangan.

Saya bertenang dan menyuruh adik saya menelefon pejabat LHDN dan meminta penjelasan tentang jumlah cukai yang dikenakan. Saya merasakan adalah tidak wajar cukai sebanyak itu, memandangkan kerja doktor gajinya tidaklah banyak, terutama doktor kerajaan. Walaupun ramai yang rasa doktor ni gajinya puluhan ribu.

Saya juga mendapatkan nasihat kawan saya yang merupakan peguam tentang perkara ini.

Berikut adalah feedback dari pejabat cukai:

  1. Taksiran yang berjumlah RM13 ribu adalah computer calculation /generated. Ia merupakan anggaran kasar.
  2. Adik saya perlu mengemukakan rayuan / isi borang cukai yang tidak di isi selama 2 tahun. Lorrr!!! Saya hanya mampu ternganga, rupanya tak pernah isi. Patut kena rotan ni.
  3. Isu ini boleh diselesaikan di mana-mana pejabat LHDN yang berdekatan.

Berikut pula adalah feedback dari peguam:

  1. surat yang diberikan bukanlah notis saman, tetapi reminder. Oleh itu, hendaklah dibuat bantahan /rayuan tentang jumlah cukai yang dikenakan.
  2. Jika dalam tempoh tertentu, tiada bantahan dibuat, maka pihak LHDN menganggap kita bersetuju dengan jumlah yang dikenakan.
  3. Seterusnya surat saman dikeluarkan agar bayaran sebanyak RM13 ribu dijelaskan.
  4. Apabila surat saman dikeluarkan, maka sangat-sangat sukar untuk diselesaikan kes di mahkamah.

Maka tindakan seterusnya ialah saya telah menyuruh adik saya mengumpul segala resit dan bukti bayaran yang boleh dibuat tuntutan semula cukai. Seperti resit zakat, pembelian buku, takaful perubatan.

Seterusnya…

Alhamdulillah, apabila kami pergi ke pejabat LHDN, staff mereka sangat baik dan membantu. Adik saya telah qadha isi borang cukai selama 2 tahun lepas. Setelah proses 1 jam, cukai ditaksir semula berdasarkan pengiraan borang e-filling, jumlah yang dikenakan cukai sekitar RM0.00. Ya, kosong!. Tidak dapat dibayangkan, betapa syukurnya dalam hati saya.

Moral of the story:

  1. Jangan lupa isi borang cukai, samaada peniaga atau pekerja.
  2. Ambil serius tentang isu cukai, kerana tiada manusia atas muka bumi ini yang prihatin tentang isu cukai anda kecuali pihak LHDN.
  3. Jika ada masalah, cepat-cepatlah berhubung dengan pihak LHDN. Mereka ni sebenarnya sangat baik, bukannya nak tangkap kita masuk penjara, tetapi memastikan kita menjalankan kewajipan membayar cukai. Lagipun duit cukai jugalah yang digunakan untuk bayar gaji kita.
  4. Pihak LHDN sebenarnya bertolak ansur, jika tak mampu bayar lump sum, boleh minta rayuan bayar ansur-ansur. Boleh buat rayuan dan macam-macam lagi. Asalkan bayar walau sedikit dari tak bayar langsung.
  5. Untuk peniaga dan usahawan, bayar cukai sebenarnya sangat bermanfaat. Setahu saya, jika cukai dibayar oleh peniaga, maka ia menjadi bukti pendapatan kita. Dan bukti tersebut memudahkan untuk membuat pinjaman bank bagi membeli properties / hartanah dan sebagainya.

Untuk pekerja kerajaan, isu cukai sebenarnya straighforward.

Tetapi untuk peniaga, bab cukai pendapatan mesti ada ilmu. Untuk lari dari cukai adalah MUSTAHIL. Bab kata omputeh, 2 perkara yang pasti tidak boleh lari, 1. mati, 2. cukai pendapatan. Cukai boleh dikurangkan jika ada ilmu yang cukup. Maka jika cukai dikurangkan, secara tidak langsung pendapatan juga meningkat.

3 Faktor ramai usahawan tak bayar cukai ialah:

  1. Tidak tahu cukai kena bayar dan tak tahu cara nak bayar cukai
  2. Tidak tahu cara nak uruskan cukai
  3. Tidak ada ilmu yang cukup

Setakat ini, melalui pencarian google, saya rasa ebook ini Bayar Cukai Untung Pakai sangat berbaloi untuk dimiliki.

Amat sukar untuk memperolehi info berkenaan cukai perniagaan. Bahkan ada yang mengambil kesempatan membuat kelas/seminar tentang cukai dengan caj yang agak mahal. Mujurlah ebook ni tak mahal. Jadi bagi mereka yang tiada masa untuk ke kelas / seminar cukai, boleh lah mendapatkan ebook ini. Sekurang-kurangnya ia menyelamatkan ribuan ringgit.

Saya pun dah beli buku ini. Kena tambah ilmu bab cukai pendapatan. Risau juga jika ada yang saya terlepas pandang bab cukai ini. Apa pun,saya mesti selamatkan duit poket saya akibat  kebodohan diri sendiri.

Lagipun beli ebook boleh tuntut pengecualian cukai, kot mana pun tak rugi beli ebook ini.

Elakkan kerugian dengan ilmu cukai; khas untuk peniaga online

Elakkan kerugian dengan ilmu cukai. Khas untuk peniaga dan usahawan

Harap perkongsian ini bermanfaat. Saya pun masih lagi belajar huhuhu.

Sekian terima kasih.

Picasso Solah

Citroen X-sara Picasso

Sebelum ini saya pernah menulis tentang pengalaman membeli kereta citroen picasso di sini dan di sini.

Kali ini ia merupakan tulisan entry kali ke-3 tentang kereta ini.

Jadi apakah saya masih gembira atau menyesal setelah hampir 2 tahun membeli kereta ini?

Saya tidak menyesal, tetapi alhamdulillah gembira setakat ini.

Ini kerana saya telah banyak belajar tentang ilmu yang perlu diketahui sebelum memiliki sebuah kereta, samaada kereta baru atau terpakai. Apa pun tidak dinafikan, kereta terpakai memang ada karenahnya. Jika tiada pengetahuan (ilmu) tentang maintainance kereta maka akan lebih memburukkan lagi keadaan.

Setakat ini, kereta terpakai yang saya gunakan hanya memberikan masalah kecil.

Sebelum saya menyenaraikan masalah-masalah yang saya hadapi, adalah lebih baik jika saya senaraikan terlebih dahulu kebaikan atau kelebihan yang saya perolehi dari kereta ini. Ini adalah lumrah manusia, apabila membaca sesuatu keburukan, maka agak sukar untuk menjustifikasi kebaikan selepas itu. Akan tetapi, pembaca mestilah realistik dalam membeli kereta terpakai. Keputusan membeli hendaklah berdasarkan fakta bukan atas dasar emosi semata-mata.

Antara kelebihan-kelebihan yang diperolehi dari kereta Citroen ini ialah;

  1. Harga yang kompetitif (murah) berbanding dengan kereta terpakai jenama lain. Contohnya jika dibanding dengan kereta Honda, Toyota dan Peugeot yang sama umurnya maka Citroen adalah kereta terpakai paling murah. Tetapi janganlah dibandingkan dengan jenama kereta buatan tempatan, kerana perbandingan itu adalah tidak adil. Bahkan setakat yang saya survey kereta Citreoen adalah kereta terpakai paling cepat jatuh harga dan murah. Maka jika ingin memiliki kereta ini, anggaplah mahu digunakan selagi hayat dikandung badan, tak akan dijual semula.
  2. Sangat selesa untuk perjalanan jauh: Ramai yang menyangka kereta Citroen Xsara Picasso ini ruangnya sempit kerana bentuk badannya yang agak kecil. Tetapi, apabila rakan-rakan masuk ke dalam kereta, mereka kagum, kerana ianya luas dan sangat selesa. Anak-anak saya pun sangat suka kereta ini. Ruangan but belakang kereta juga sebenarnya sangat luas dan tidak seperti yang dilihat dari luaran.
  3. Ia agak menjimatkan petrol. Jika tangki petrol diisi penuh, maka cukup untuk perjalanan pergi dan balik Kuantan ke Kuala Lumpur.

Namun begitu, saya akui, kereta ini juga terdapat kelemahan-kelemahan seperti:

  1. Harganya cepat jatuh, jadi jika anda suka tukar-tukar kereta setiap tahun maka kereta ini perlu dielakkan.
  2. Barang spare part agak mahal berbanding kereta-kereta lain. Maka cash money penting untuk maintainance kereta ini. Spare part yang mahal biasanya meliputi body part dan suspension part. Akan tetapi, jika mahu murah sebenarnya boleh order dari Singapura. Lagipun spare part yang mahal ini tahan lasak dan jika diganti insya Allah akan tahan lama. Kos service minyak hitam dan minyak gear box adalah sama seperti kereta lain. Spare part banyak didapati di kawasan K.L. Maka untuk warga kuantan, perlu order dulu, ia akan memakan masa 2-3 hari untuk barang sampai.
  3. Tidak ramai mekanik yang tahu untuk membaiki kereta ini. Tetapi di Kuantan, alhamdulillah, saya telah menjumpai sebanyak 4 kedai yang boleh membaiki kereta ini. 3 dari 4 kedai tersebut agak mahir tentang kereta ini.

Tips menghadapi kereta rosak dengan hati tenang!!!

Saya pernah menghadapi kerosakan yang menyebabkan kereta ini terpaksa ditunda. Ini adalah kerana skru kipas radiator patah dan menyebabkan kipas tercabut. Ia menyebabkan suhu enjin meningkat mendadak. Tetapi mujurlah keluar amaran pada paparan skrin agar enjin di matikan. Wow, bagus juga. Saya terus mematikan enjin dan menghubungi trak tunda. Alhamdulillah. Setelah kipas radiator ditukar, rasanya hampir setahun, kereta ini berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah komplikasi akibat enjin panas.

Akan tetapi, sebulan dua yang lepas barulah saya tahu, rupa-rupanya syarikat takaful / insurans yang kita ambil menyediakan khidmat breakdown support. Jika kereta menghadapi masalah walaupun bateri sudah KO, maka kita boleh menghubungi syarikat takaful / insurans untuk mendapatkan bantuan. Jika di lebuh raya lagi senang. Jika dijalan-jalan kampung pun mereka akan bantu.

Sepatutnya saya menghubungi syarikat tersebut kerana ianya percuma. Contohnya syarikat etiqa takaful menyediakan perkhidmatan trak tunda sehingga beberapa kilometer pertama dan caj yang agak murah untuk Km seterusnya.

Pernah suatu hari, kereta saya tidak dapat dihidupkan kereta bateri sudah KO, tetapi dengan bantuan breakdown support, mereka menghantar mekanik untuk jumpstart hanya dalam masa 30 minit sahaja. Saya terfikir, ini sudah bagus. Insya Allah dimasa hadapan saya tidak perlu risau jika kereta rosak di tengah perjalanan. Bahkan saya mula memasang impian untuk membeli kereta MPV yang lebih besar tetapi second hand.

Saya juga mencadangkan agar mereka yang ingin memiliki kereta hendaklah belajar serba sedikit dari google tentang ilmu maintainance kereta. Apa yang perlu dibuat apabila memiliki sebuah kereta. Pada pemerhatian saya, jika membeli kereta kebal sekalipun, kalau maintainance service tidak dijaga dengan baik, ia pasti akan rosak. Jika kereta sudah menunjukkan tanda-tanda kerosakan, maka hendaklah dibaiki secepat mungkin.

Antara kerosakan yang paling bahaya dan saya sangat takut ialah jika enjin menjadi overheat, maka boleh dikatakan selamat tinggal pada kereta itu. Komponen lain yang saya paling takuti jika rosak ialah gearbox kerana kosnya agak tinggi untuk dibaiki. Tetapi lazimnya gearbox ini tahan lasak. Hanya yang tidak menjaga kereta dengan baik sahaja akan menghadapi masalah dengan gearbox.

ebook berbaloi untuk dimiliki tentang penjagaan kereta

ebook berbaloi untuk dimiliki tentang penjagaan kereta

Oleh itu, saya cadangkan jika mahu Tips-tips penjagaan kereta dengan baik, saya syorkan beli buku ini iaitu Tips Menjaga Kereta, ia menjimatkan masa bagi pencarian dalam google. Banyak perkara yang saya pelajari dari buku ini. Tips yang agak simple tetapi superb. Nak mencari kat google mungkin ambil masa berminggu-minggu untuk dapatkan tips seumpama ini.

Setakat itu perkongsian saya. Terima kasih kerana sudi membaca.

Printer Canon Pixma MP237 / MP287

Printer Canon Pixma MP237 / MP287

Dalam hidup saya, pembelian printer dakwat air (inkjet) yang paling berbaloi ialah printer jenama canon pixma. Harganya RM280 sekali dengan dakwat CIS system

Oleh kerana kelebihan printer ini, saya telah membeli 2 printer, satu diletakkan di rumah, dan satu lagi di bilik pejabat tempat kerja saya. Printer yang pertama sudah hampir 4 tahun dibeli. Manakala printer yang kedua sudah hampir 1 tahun. Sekarang masih bertahan dan kualiti masih bagus. Cuma printer pertama terpaksa ditukar cartridge kerana sudah rosak.

Printer jenama Canon Pixma model MP230 dan 280 series merupakan printer yang berkualiti setakat ini. Kelebihan utama printer ini ialah boleh diubahsuai dengan meletakkan dakwat di luar printer. Sistem ini dinamakan CISSS (continous ink supply system). Setahu saya, hanya terdapat satu sahaja jenama selain Canon Printer yang ada dakwat diluar iaitu jenama Epson. Akan tetapi, kosnya agak mahal kerana dakwat diluar jenama Epson adalah original datang dari syarikat Epson.

Biasanya masalah utama penggunaan printer dakwat ialah dakwat kering setelah seminggu dua tidak digunakan. Cartidge printer tidak dapat refill, jika mahu dibeli cartridge baru, maka harga agak mahal walaupun bukan cartridge original.

Oleh itu, dengan mengubahsuai dakwat diluar, maka cartridge mampu bertahan sampai 3 tahun. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Kelebihan printer dengan CIS system ialah:

  1. Tidak perlu tukar cartridge dengan kerap. Setakat ini saya hanya menukar cartridge hanya sekali dalam masa hampir 4 tahun. Kos menelan belanja sekitar RM120
  2. Dakwat boleh refill secukup rasa. Harga dakwat refill sangatlah murah dibandingkan jika ditukar cartridge.
  3. Kualiti printing juga sangat bagus, siap boleh print gambar passport untuk anak-anak, isteri dan diri sendiri menggunakan glossy paper.
  4. Jika tulisan tidak clear atau kabur, maka jangan tergesa-gesa menuduh printer sudah rosak, hendaklah dibuat calibration tulisan secara manual. Maka tulisan akan menjadi sangat tajam semula.

Terdapat juga masalah-masalah kecil yang timbul seperti:

  1. Apabila membeli printer dengan CIS ini, tiada jaminan dari penjual. Kerana waranti akan terbatal kerana terdapat pengubahsuaian. Tetapi bagi saya tiada masalah, asalkan saya perlu uji sepuas-puasnya sebelum membeli. Jika ianya berfungsi dengan baik, kemungkinan besar ia akan tahan lama.
  2. Air bubble memasuki saluran wayar dakwat, ia menyebabkan printing tidak berkualiti. Akan tetapi masalah kecil ini boleh diatasi dengan membuat cleaning / deep cleaning. Tetapi berhati-hati jika membuat deep cleaning terlalu banyak, nanti printer akan berhenti berfungsi kerana absorber tank akan penuh dan perlu diservis. Kosnya akan menelan belanja sekitar RM50. Oleh itu kaedah paling sesuai jika masuk air bubble ke dalam wayar ialah dengan print penuh-penuh kertas A4 dengan warna biru, merah, kuning dan hitam.
  3. Jika setting wayar didalam printer menyebabkan kelancaran pergerakan cartridge tersangkut-sangkut, maka printer juga akan sentiasa mendapat error. Masalah ini agak memeningkan kepala saya, akhirnya saya hanya membetulkan sedikit wayar agar tidak berlaga-laga atau terhantuk-hantuk di dalam printer.

Saya rasa pembelian printer ini paling berbaloi dan saya sangat-sangat rekomenkan kepada mereka yang ingin jimatkan duit dari segi printing terutama student-student. Mereka mungkin boleh berkongsi duit untuk membeli printer ini. Tetapi mungkin printer ini agak tidak sesuai untuk kaum perempuan, kerana umumnya mereka tidak mahir troubleshooting dan mudah panik jika printer ada masalah.

Saya berharap di masa hadapan, printer canon masih boleh diubahsuai, kerana desus-desas mengatakan pihak canon sedang berusaha agar printer mereka tidak boleh diubahsuai.

Tetapi saya yakin, ramai peniaga diluar sana bijak, mereka akan terus cari cara untuk kreatif untuk jimatkan bajet pengguna.

Sekian

Jaring Nyamuk DIY

Gambar dari facebook Jaring Nyamuk DIY

Demam denggi kat Malaysia adalah sentiasa evergreen. Kes tak pernah kurang, bahkan meningkat dari tahun ke tahun. Dulu saya pernah demam teruk sewaktu zaman matrikulasi, tapi tak pasti punca demam. Bila fikir balik, mungkin demam denggi kerana demam teruk, sakit badan, sakit kepala dan senak biji mata. Setelah 6 hari muncul bintik-bintik di badan. Alhamdulillah, mujurlah tak meninggal waktu tu. Kalau tak jadi arwah sudah.

Perkara paling saya benci ialah masalah nyamuk sewaktu tidur dan masalah lalat di dapur. Sejak berpindah rumah ini 4 tahun lepas, saya menggunakan ubat nyamuk elektrik. Namun ianya tidak berkesan. Sedih apabila melihat kaki anak-anak bengkak digigit nyamuk. Waktu siang hari pula, nampak letih kerana tidak cukup tidur. Pening saya memikirkannya.

Setelah beberapa bulan, anak sulung kerap mendapat serangan lelah (asthma). Terpaksalah saya hentikan ubat nyamuk elektrik. Apa lagi, nyamuk mula lah mengganas semahunya. Paling menakutkan ialah apabila kes denggi mula kedengaran di kawasan rumah ini. Fogging asap juga kerap.

Teringat sewaktu kerja di hospital machang, saya tinggal di kuarters yang disediakan. Saya memasang Jaring hijau disetiap tingkap rumah. Alhamdulillah, memang tiada nyamuk dan kalkatu masuk rumah.

Akan tetapi, rumah sekarang agak sukar dipasang jaring kerana tingkap dibuka keluar (tingkap daun). Tambahan pula rumah 2 tingkat, maka agak sukar dipasang jaring dari luar.

Bagi saya, penyelesaian paling muktamad untuk masalah nyamuk ialah dengan memasang jaring nyamuk. Ianya sangat berkesan. Tetapi untuk mencari jaring yang sesuai dipasang dari dalam rumah itu yang penting.

Setelah meng ‘google’ akhirnya terjumpa penjual Jaring Nyamuk. Paling menarik ialah jaring ini magnetik, boleh dibuka tutup setiap hari. Boleh dipasang dari dalam. Pemasangan mudah dan dibuat sendiri.

IMG_2506

Jaring Nyamuk dipasang untuk tingkap jenis nako di bilik anak-anak

Kos yang terpaksa saya tanggung untuk memasang jaring nyamuk ini ialah RM600 untuk satu rumah yang mempunyai 14 panel tingkap. Kosnya agak tinggi. Tapi saya tidak peduli. Asalkan masalah nyamuk boleh diselesaikan.

Alhamdulillah, sejak pemasangan 3 tahun lepas (pasang sendiri hehe). Kelibat nyamuk tidak kelihatan lagi.

Tiada lagi penggunaan racun nyamuk atau ubat nyamuk elektrik. Di dapur juga, saya telah memasang pada tingkap untuk mencegah lalat masuk. Dulu sentiasa kelihatan telur lalat berwarna putih-putih di atas makanan. Sekarang tidak lagi.

IMG_2326

Jaring dipasang di tingkap udara dalam tandas.

Antara kelebihan jaring nyamuk frame magnetik ialah:

  1. Boleh dibuka tutup setiap hari.
  2. Boleh dibuka dan dibersihkan habuk yang melekat pada jaring.
  3. Jaring fiber tahan lasak
  4. Pengudaraan (ventilation) rumah
  5. Boleh dipasang dari dalam rumah. Jika menggunakan jaring hijau yang konvensional, ia hanya boleh dipasang dari luar rumah dan tidak boleh dibuka tutup.

Tertapi terdapat sedikit kelemahan kelemahan jaring nyamuk:

  1. Double tape pada jalur magnetik yang melekat di frame kayu tidak tahan selepas 2 tahun. Tetapi masalah ini di atasi dengan menggunakan paku kecil. Jalur magnet itu dipaku ke frame kayu. Alhamdulillah, sampai sekarang sudah 3 tahun masih tahan.
  2. Ia tidak sesuai untuk dilekatkan pada simen kecuali terdapat ‘base’ untuk dilekatkan.

Setakat ini, saya rasa jaring nyamuk ini adalah ‘pelaburan’ paling berbaloi.

Jaring Nyamuk Magnetik boleh dibeli di sini.

Typing Tutor Huzaifah

Latihan Typing Tutor Huzaifah

Cuti sekolah sudah semakin hampir. Ia merupakan berita gembira buat anak-anak saya. Tetapi paling gembira ialah saya sendiri. Saya akui, agak penat menghantar anak ke sekolah yang mengambil masa 2 jam setiap hari; hantar pergi dan balik. Sekarang sedang membuat perancangan untuk anak-anak, aktiviti yang memberi manfaat.

Sebenarnya saya juga mempunyai impian untuk menguasai skill-skill (kemahiran tertentu) dalam hidup ini. Dengan menguasai kemahiran-kemahiran, ia meningkatkan mutu hidup, meningkatkan produktiviti hasil kerja dan tidak mustahil boleh menjana sedikit dan banyak pendapatan sampingan.

Antara skill-skill yang saya ingin sangat-sangat kuasai ialah:

  1. Speed Reading – kebolehan membaca pantas, personal target ialah 2000 word per minutes. Sekarang hanya sekitar 300-400 wpm sahaja.
  2. Super Power Memory – kebolehan mengingat seakan-akan photographic memory. Tetapi belum lagi mencapainya walaupun sudah faham konsepnya. Saya masih belum kurang mempraktikkannya.
  3. Typing Tutor – kebolehan menaip 10 jari. Alhamdulillah, skill ini sudah dikuasai sebelum menjadi pensyarah di IIUM. Bahkan kerani office kagum dengan kebolehan saya menaip laju tanpa melihat keyboard. Pencapaian setakat ini ialah sekitar 70 wpm.
  4. Mental arithmetic – kebolehan menggunakan abacus dan berakhir dengan mental arithmetic. Masih dalam perancangan untuk membeli dan study buku-buku berkaitan.

Skill-skill di atas adalah sangat penting. Saya juga mengimpikan agar kedua-dua anak saya berjaya menguasai skill-skill di atas. Ianya adalah faktor utama untuk mencapai kejayaan seterusnya dalam persekolahan dan juga bermanfaat dalam hidup mereka.

Minggu lepas, saya tertarik dan membeli ebook Teknik Baca Cepat yang ditulis oleh Puan Lina Karim dari Islamic Parenting. Agak sukar untuk menjumpai penulisan dalam bahasa Melayu yang berkisar skill-skill seperti ini.

Typing Tutor Habib

Habib masih merangkak-rangkak lagi. Lebih suka bermain games.

Kenapa kita perlu speed reading? 

Jawapannya senang sahaja, kerana kita tidak pernah dilatih untuk membaca mengikut kaedah yang betul. Majoriti membaca sangat perlahan iaitu sekitar 150-200 wpm. Oleh kerana zaman sekarang, terlalu banyak informasi yang perlu dihadam, maka jika menguasai kemahiran ini akan memberikan manfaat sangat besar. Tambahan pula, otak kita sebenarnya boleh memproses maklumat sangat pantas. Secara relatifnya, kelajuan membaca sekitar 150-200 wpm adalah dianggap sangat perlahan oleh otak dan menyebabkan kebosanan untuk membaca.

Saya teringat kata-kata Puan Lina Karim sewaktu kursus Islamic Parenting. Beliau menegaskan tiada apa yang “novel” iaitu betul-betul baru dalam dunia ini. Kebanyakan ilmu telah wujud dan ada asasnya sebelum ini. Sebagai contoh ilmu membaca cepat, jika dibuat sedikit kajian, ia sebenarnya di asaskan oleh Evelyn Wood pada tahun 90-an. Mungkin ilmu ini sebenarnya telah wujud lebih awal kerana sejarah manusia mula membaca adalah lebih awal lagi.

Begitu juga Teknik Super Power Memory – ianya terkenal sejak buku ditulis oleh harry lorayne pada tahun 1970-an.

Typing tutor – menaip sepuluh jari tanpa melihat keyboard juga sudah pasti telah wujud sejak keyboard ‘QWERTY’ dicipta. Manakan mungkin keyboard dicipta tanpa kaedah untuk menaipnya, sudah laa susunan huruf-huruf tidak mengikut urutan.

Berbalik pada speed reading – teknik baca pantas karangan Puan Lina Karim, isi kandungan juga sama dengan buku-buku yang berada di pasaran dari luar negara. Jika mahukan yang lebih komprehensif boleh beli di amazon. Tetapi antara kelainan yang saya dapati dari buku ini ialah:

  • Penyusunan konsep baca pantas (speed  reaading adalah lebih baik) dan mudah difahami. Isi kandungan tersusun dalam bahasa melayu, mudah difahami dan terdapat outline untuk drill teknik
  • Biasanya buku-buku speed reading dari oversea tidak menyentuh tentang photo-reading. Tetapi buku karangan Puan Lina karim ini menyentuh sedikit asas photoreading.
  • Dulu saya ingatkan photo-reading ini merupakan “scam” ataupun dakwaan palsu. Setelah saya membaca penerangan logik disebalik konsep photo reading ini, saya mula percaya. Ia melibatkan subconcious mind – minda separa sedar (bukannya kena pukau) tapi ketenangan sebelum membaca. Sewaktu menggunakan photoreading, minda kita memproses bahan dibaca dalam bentuk photographic, ianya lebih laju (sangat-sangat laju) dari memproses imej perkataan.
  • Untuk mencapai photoreading, latihan intensif adalah WAJIB dibuat, kadar kejayaan adalah bergantung pada komitmen dan kesungguhan. Kalau mudah putus asa, maka agak sukar untuk menguasainya.
  • Di Malaysia sebenarnya terdapat individu yang mahir tentang speed reading ini, tetapi tidak terserlah, mungkin penerimaan dalam masyarakat kita tentang perkara ini masih rendah. Mungkin juga mereka tidak membuat promosi / marketing yang sepatutnya.

Akan tetapi, kelemahan yang saya lihat dalam buku ini ialah:

  • Tiada bahan yang detail untuk tujuan praktis
  • Outline untuk jadual praktis juga terlalu ringkas.

Overall saya rasa buku ini memang bagus dengan rating 3.5/5.0. Berbaloi dibeli dengan harga yang ditawarakan. Jika masih was-was, boleh baca dahulu free ebook yang diberikan.

Apa pun, saya rasa perlunya saya terlebih dahulu menguasai sedikit teknik speed reading ini sebelum menjadikan anak-anak saya bahan eksperimen. Kerana modul mungkin berbeza untuk anak-anak peringkat umur berbeza.

Seperti “typing tutor”, saya berjaya menguasainya hanya dalam masa 2 bulan. Tetapi anak-anak saya masih berlatih melebihi 6 bulan. Mereka tidak boleh di “drill” dengan latihan intensif kerana mudah bosan dan tertekan. Mereka lebih suka enjoy dengan latihan sambil bermain game dalam software typing tutor.

Saya berharap dapat menguasai teknik ini, target utama ialah untuk menghabiskan baca buku yang disimpan dalam almari setelah sekian lama. Manalah tahu, tiba-tiba saya boleh menjadi alim “sekelip mata” apabila sudah menguasai teknik ini.

Untuk membeli buku Teknik Baca Pantas karangan Puan Lina Karim boleh klik di sini.

Akan tetapi, jika mahukan buku yang sangat komprehensif dan paling banyak rating di www.amazon.com.  Boleh cuba tengok 2 buku ini

  1. Breakthrough Rapid Reading – Peter Kump
  2. The Evelyn Wood – 7 days Speed Reading and Learning Programs – Stanley D. Frank.

Sekian terima kasih.