Alhamdulillah,

Telah selamat sampai di rumah selepas mengunjungi KLIBF 2011. Saya telah menghabiskan masa hampir 2 hari membeli-belah buku di KLIBF 2011. Hampir RM400 lebih telah dihabiskan untuk membeli buku-buku, kebanyakan buku yang dibeli ialah terbitan PTS Publication.

Rezeki hampir mengena!

PTS Publication telah mengadakan cabutan bertuah kepada pengunjung, tidak perlu membeli, hanya perlu mengisi borang kecil untuk cabutan bertuah, pada hari Jumaat lepas, saya mencuba nasib dan merasa teruja kerana iPad masih tidak dimenangi oleh sesiapa pun. Dengan hati berdebar-debar mencuba, aduhh tidak mengena. Selang 2 cabutan selepas itu, iPad itu telah menjadi milik pelajar UIA. Sekurang-kurangnya rezeki sudah hampir mengena. Apa pun rezeki dari Allah swt yang ada sekarang sangat-sangat disyukuri.

Buku yang dibeli

Ke Mana Wang Anda?

Kebanyakkan buku yang dibeli ialah berkisar tentang pengurusan diri dan kemahiran diri. Saya telah membeli beberapa buah buku tentang “Bagaimana untuk menjadi penulis” karangan oleh Zamri Mohamad dan Jeniri. Tujuan pembelian buku tersebut ialah untuk mendapatkan tips-tips dan teknik menjadi penulis. Kemahiran dan ilmu yang akan diperolehi di harap dapat membantu dalam penulisan tesis peringkat master nanti. Terdapat juga buku pengurusan kewangan yang menarik perhatian saya iaitu bertajuk “Ke mana wang anda?” karangan oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir. Alhamdulilah, syukur kerana ditemukan buku ini, di dalamnya terdapat tips “new knowledge” bagi saya tentang “Peta Perjalanan Kewangan”. Info inin tidak pernah saya jumpai walaupun telah membaca beberapa buah buku kewangan oleh Azizi Ali dan Robert T.Kiyosaki. Ini merupakan rezeki yang tidak ternilai bagi diri saya. Buku untuk anak saya yang sulung juga dibeli, oleh kerana dia akan mencapai umur 4 tahun pada tahun ini, sepatutnya dia sudah bersedia untuk belajar membaca dengan sebaiknya. Buku yang dibeli ialah “I can read”. Nampaknya dia memang berminat dan bersemangat untuk belajar, harapnya tidak menjadi hangat-hangat tahi ayam semangat itu. Bergantung juga kepada ibu bapa untuk memupuk minat membaca dengan lebih baik .

Kelebihan membaca buku

Minat membaca sememangnya tiada dalam diri saya sebelum ini. Membaca bukanlah sesuatu yang disukai oleh saya. Begitu juga kebanyakan orang ramai terutama di Malaysia ini. Saya mula minat membaca apabila minat itu dicetuskan oleh Azizi Ali melalui karangan bukunya “Jutawan dari planet jupiter.Sejak dari itu saya mula meminati tentang pengurusan kewangan peribadi

Antara kelebihan yang saya dapati selepas membaca buku ialah :

  1. Pertambahan ilmu; bukanlah banyak akan tetapi tidak sedikit kerana kebanyakan info yang didapati tidak diketahui oleh majoriti dari kawan-kawan yang dikenali.
  2. Mengubah perspektif hidup ini ke arah yang lebih baik. Sebagai seorang doktor, mereka merupakan gologan diiktiraf sebagai yang cerdik dan hebat, akan tetapi minda mereka sebenarnya masih lagi di bawah tempurung (skull bone). Tertutama yang berkaitan dengan pengurusan kewangan. Ini adalah kerana mereka lebih menumpukan kepada tiga perkara iaitu kerja, oncall dan buat master. Apabila membaca buku lebih banyak, saya mula menyedari terdapat banyak ilmu yang perlu dipelajari untuk hidup di dunia ini selain perubatan.
  3. Mengurangkan kebodohan; tidak bermakna jika saya sudah menjadi doktor itu bermakna saya sudah pandai dan terlepas dari kebodohan. Kebodohan itu masih ada, cuma mungkin dalam bidang-bidang lain. Oleh itu, untuk mengurangkan kebodohan, terpaksalah membaca buku tentang perkara lain yang tidak kurang pentingnya seperti isu kesihatan.
  4. Dan banyak lagi….

Yang paling penting ialah perlepasan cukai pendapatan oleh LHDN bagi setiap pembelian buku dan majalah sebanyak RM750. Itu bukanlah jumlah yang sedikit, boleh dikatakan hampir sama dengan jumlah oncall seorang doktor selama 7 hari bekerja.

Minda tertutup dan Pesta Buku

Ada individu menganggap pesta buku hanya sekadar picisan dan penerbitan buku-buku di sini ialah buku rendah taraf mutunya. Mungkin ada kebenaran juga kata-katanya itu. Akan tetapi, saya berpendapat, penerbitan buku yang boleh dibaca dan difahami oleh ramai golongan manusia adalah lebih baik dari hanya difahami oleh segelintir manusia. Sememangnya buku di KLIBF ini tidaklah setanding dengan tulisan journal / article / thesis yang mempunyai impact factor yang tinggi. Akan tetapi, informasi yang didapati dari buku picisan ini banyak membantu orang ramai dalam mencari jawapan bagi sesuatu permasalahan. Tatkala individu itu mengucapkan kata-kata ini, penulis-penulis buku seperti Ain Maisara, Azizi Ali, Zamri Mohamad, Ainon Mohd PTS; mereka semua telah mengorak langkah kejayaan dalam bidang penulisan dan telah mencapai status kewangan yang mantap dari hasil penulisan. Dimana pula status individu tersebut? Di harap individu tersebut akan menjadi reformasi dalam dunia penulisan buku..yang bukan picisan untuk mengangkat mutu minda masyarakat. Dari hanya mengkritik lebih baik bertindak.

Kesimpulan, saya tetap setia dan akan mengunjungi lagi pesta buku pada masa akan datang. Banyak faedah didapati dari pesta buku ini. Sebagai seorang doktor, janganlah liat untuk hadir ke pesta buku, jika tidak dapat hadir dek kerana oncall, janganlah kedekut dan liat untuk membelanjakan duit untuk membeli buku melalui online. Berapa lah sangat buku berharga RM20 nak dibandingkan dengan kereta Honda City, Mitsubishi Evo itu.

Sekian

One Thought on “Pesta Buku 2011 – KLIBF 2011

  1. Pingback: Peta Perjalanan Kewangan : Dr Solah

Post Navigation