Koleksi buku kewangan

Koleksi buku kewangan drsolah

Alhamdulillah, setelah menghadiri seminar pada awal bulan Februari 2013, saya telah mendapat beberapa ilmu yang berlainan berbanding yang telah dipelajari dari pembacaan buku-buku sebelum ini. Saya mula berminat dengan pengurusan kewangan sejak 2005 setelah membaca buku Azizi Ali yang bertajuk “Jutawan dari Planet Jupiter”. Antara kata-kata dalam buku tersebut yang menarik minat saya ialah “yang penting bukanlah sebanyak mana pendapatan diperolehi, tetapi sebanyak mana yang di SIMPAN”.

Akan tetapi, selepas mendirikan rumah tangga, hakikatnya bukan mudah. Untuk mendisiplinkan diri agak mudah. Cabaran utama ialah memujuk isteri agar membaca buku karangan Azizi Ali. Buku seperti ini jarang menarik perhatian golongan wanita, lebih-lebih lagi yang suka berbelanja dan sentiasa hidup dalam alam khayalan dengan membaca novel seperti “alice in wonderland” “adam dan hawa” dan “nora elena”. Di tambah pula, pada awal kahwin, tiada komitmen anak-anak; maka duit yang diperolehi dirasakan melebihi dari yang diperlukan. Bagi saya pentingnya mendidik isteri kerana pengurusan kewangan sesebuah keluarga tidak akan berjaya jika berlaku kebocoran dari mana-mana pihak samaada dari suami atau isteri dan anak-anak.

Alhamdulillah, setelah setahun memujuk iseri, akhirnya beliau berjaya menghabiskan membaca buku tersebut dalam masa beberapa minggu. Hasilnya beliau seolah-olah tersedar dari mimpi indah dan menyedari realiti bahawa kewangan kami berada pada keadaan yang tidak berapa sihat. Sejak dari itu, isteri saya menjadi bendahari kewangan yang sangat cekap. Kami mengira dengan teliti setiap perbelanjaan dan mengetepikan awal-awal lagi duit gaji untuk simpanan. Segala rekod belanjawan disimpan secara rapi sehingga sekarang. Hasilnya, simpanan kami melonjak dengan mendadak setelah 3 bulan mendisiplinkan diri menyimpan, tidak membazir, hidup di bawah kemampuan dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Pun begitu, kami masih merasa menyesal kerana merasa agak terlambat kerana sudah setahun lebih berkahwin baru berjaya mengawal kewangan kami semula.

Saya tidak mendapat sebarang pendidikan formal tentang kewangan, semuanya adalah berdasarkan pembacaan buku-buku pengurusan kewangan yang terdapat di pasaran. Tiada sebarang pendidikan tentang kewangan dari kecil kecuali melihat arwah ayah seorang yang berjimat cermat dan hidup sederhana. Di sekolah saya juga menyimpan duit belanja jika ingin membeli sesuatu. Manakala di universiti juga saya banyak menyimpan duit lebihan biasiswa semata-mata untuk membeli sebuah komputer yang mengambil masa 4 tahun. Kesimpulannya menyimpan ialah kunci untuk kekayaan ataupun mengelakkan kemiskinan.

Akan tetapi setelah 7 tahun gigih menyimpan, saya merasa sesuatu tidak kena dengan kaedah pengurusan kewangan saya. Saya merasa tidak ‘enjoy’ dengan keadaan status kewangan sekarang. Setelah habis kursus seminar tersebut, barulah saya sedar kesilapan kecil yang saya lakukan. Oleh itu saya telah berazam untuk “fine tuning” semula pengurusan kewangan agar ianya menjadi lebih sempurna dari sebelum ini.

Antara ‘kesilapan’ saya ialah:

1. Tidak membuat peruntukan simpanan untuk bercuti.

Dalam hal ini, saya merasa sangat bersalah kepada isteri saya kerana beliau adalah seorang yang suka bercuti. Sejak dari awal bekerja sebagai doktor (spesis paling sibuk bekerja) kami jarang bercuti ke tempat-tempat percutian menarik. Di tambah pula, saya bukanlah jenis yang suka bercuti kerana saya melihat ianya sebagai sesuatu aktiviti yang membuang duit dan memenatkan sahaja. Sekarang saya tersedar, saya telah melantik isteri menjadi bendahari untuk menguruskan tabung percutian setiap bulan. Insya Allah kami akan cuba bercuti di tempat-tempat menarik yang berdekatan sebagai permulaan. Saya telah pun memohon maaf terhadap isteri kerana mengabaikan aspek ini.

2. Simpanan pendidikan anak-anak?

Sebenarnya sangat bagus jika kita membuat peruntukan simpanan masa depan untuk pengajian anak-anak. Akan tetapi, jika kita melabur untuk pendidikan diri sendiri dan menggunakan ilmu diperolehi untuk membuat duit seperti memulakan perniagaan online, menulis buku bagi mendapat royalti, dan sebagainya, ianya adalah lebih baik dari menyimpan sekadar RM200 sebulan selama 20 tahun. Pulangan dalam mendidik diri dan mencari ilmu untuk meningkatkan pendapatan diri sendiri adalah lebih menguntungkan. Oleh itu, mulai bulan ini, kami telah membuat peruntukan dari gaji untuk menghadiri kursus penulisan, kursus asas memulakan perniagaan online, membeli buku-buku yang menambahkan ilmu. Insya Allah kami akan mengamalkan apa yang dipelajari untuk menambah nilai hidup orang lain dan dengan izin Allah harapnya pendapatan kami juga akan bertambah.

3. Tidak mempunyai matlamat kewangan dan perancangan yang ‘sangat jelas/tepat’

Sememangnya saya sudah pun memasang azam dan matlamat dalam kewangan iaitu ingin bersara sebagai jutawan. Untuk pengetahuan kita semua, bersara sebagai jutawan adalah ‘wajib’ kerana menjadi jutawan menjamin kita cukup-cukup makan dari segi kewangan apabila pencen. Sila baca dengan teliti link INI. Ia menjelaskan dengan terperinci persoalan ini. Akan tetapi, matlamat itu tidak cukup jelas, saya perlu memperincikan matlamat, membuat perancangan dan memulakan langkah secepat mungkin untuk mencapai matlamat tersebut. Tiada lagi alasan dan sikap berlengah-lengah perlu ada dalam diri saya ini. Contoh matlamat kewangan yang jelas ialah “mahu menghabiskan pinjaman perumahan bernilai RM180k dalam masa 5 tahun, oleh itu pendapatan perlu ditingkatkan sebanyak RM2k sebulan melalui lokum, berniaga sampingan, menulis buku, lulus phd (kenaikan gaji)”. Matlamat perlu jelas dengan perancangan plan of action yang rapi. Kelemahan dalam mencapai matlamat ialah “comfort” zone yang masih menyelimuti diri ini menyebabkan kemalasan menguasai diri dari melaksanakan langkah-langkah yang perlu.

Itulah antara-antara ‘kesilapan’ saya dalam pengurusan kewangan. Kesilapan ini bukanlah besar cuma saya tidak sepatutnya terlalu menjadi “super saver” dan jauh sekali “over spending”. Perlunya saya menjadi “wasatiyyah” dan berbelanja dengan lebih bijaksana. Selepas ini, saya berharap saya dan isteri berjaya untuk mencapai 101 x 2 impian yang kami telah senaraikan ke arah “financial freedom”. Doakan kami.

4 Thoughts on “‘Kesilapan’ saya dalam pengurusan kewangan keluarga

  1. Isteri tersayang on March 5, 2013 at 6:44 am said:

    :wink:
    Terima kasih suamiku tersayang!
    Maaf sebab terlambat sedar. Dan Huda dah maafkan Abang sebab kita tak bercuti. Percutian insyaAllah, bukan sahaja melihat tempat-tempat menarik, tapi merapatkan hubungan kekeluargaan. Semuga rumahtangga kita penuh dengan mawaddah, warahmah wasakeenan. Amin.

  2. Pingback: 6 Tabung Kewangan « Dr Solah

  3. paklah on May 22, 2013 at 1:19 am said:

    As Salam dan salam sejahtera…
    terima kasih diatas perkongsian saudara melalui blog ini.

  4. Laili Johari on June 30, 2014 at 4:03 pm said:

    Assalamualaikum,

    I came across your blog while googling for words to suit a translation job I’m working on. When I saw the name Dr.Solah, my memory just flew back to Maahad Muhammadi Lilbanin. I had a student, a very bright student…by the same name. I clicked on the link and I saw your full name is also Wan Muhammad Salahuddin. I looked at the profile picture. It’s not really clear but the resemblance is there.
    Could you be him?

    :) forgive me if I’m wrong.

    p/s: I like your article :-)

    Cikgu Laili Johari

Post Navigation