Koleksi buku kewangan

Koleksi buku kewangan

Kerap kali saya berjumpa dengan manusia yang terlalu berkira-kira dalam isu untuk membeli buku dan menghadiri seminar. Minda mereka sudah di ‘setting’ kan dengan mentaliti “membeli buku adalah merugikan”, “membeli buku tidak akan menjadikan kaya”, “ilmu dapat dicari melalui sheikh google”, “membaca buku membazirkan masa”.

Sepanjang saya hidup, saya tidak pernah berkira membeli buku. Teringat sewaktu di Tahun 2 medical student, saya menyimpan duit biasiswa yang diperolehi dan menggunakannya untuk membeli buku Atlas Histopathology (bukannya photostat), sememangnya saya rasa sedikit menyesal kerana apabila junior meminjam buku tersebut, ianya telah hilang. Dah la harga buku itu sangat mahal, sekitar RM200.

Pada masa sekarang, apabila sudah berkerjaya, mempunyai duit sendiri, saya lebih fokus kepada pembelian buku berdasarkan personal interest. Personal interest saya bermula dengan buku-buku pengurusan kewangan peribadi, pelaburan hartanah, kemahiran komputer, membaca, mengingat dan buku-buku agama. Sememangnya terdapat peruntukan untuk menebus balik cukai ke atas setiap pembelian buku (maksimum RM1000 pembelian buku).

Secara jujur saya katakan JANGAN BELI BUKU jika kita mengharapkan:

1. Buku boleh menjadikan kita jutawan sekelip mata TANPA usaha yang betul dan gigih

2. Buku boleh mendatangkan duit kedalam akaun simpanan kita tiba-tiba

3. Buku menjadikan kita seorang pakar dalam sekelip mata

4. Buku boleh memberikan segala macam ilmu dengan hanya satu pembelian sebuah buku sahaja

Sememangnya saya tidak lagi mencapai taraf jutawan walaupun hampir setiap tahun saya membeli buku. Bermula dari tahun 2004 saya menghabiskan sekitar RM1000.00 untuk membeli buku. Jika dicampur jumlah duit saya dan isteri saya, ianya mencecah hampir RM2000 setahun kami “membazirkan duit membeli buku”.

Secara jujur saya katakan, saya juga kadang kala merasa membeli buku ini adalah merugikan.

Sehinggalah terjadinya suatu kejadian pada bulan lepas.

Saya telah dijemput untuk berjumpa dengan wakil dan pengasas sebuah syarikat yang beroperasi di negeri Antah Berantah. Orang yang memperkenalkan saya dengan syarikat tersebut merupakan kenalan yang sudah lama. Setelah melalui satu jam setengah sesi penerangan tentang pelaburan dari wakil syarikat, saya dapat meringkaskan bahawa:

1. Pelaburan mereka dikatakan berasaskan hartanah iaitu dengan membeli tanah lot pertanian kosong. Kemudian tanah tersebut ditukar status dari pertanian kepada tanah kediaman. Sepanjang pengetahuan saya, pelaburan seperti ini sememangnya boleh menjana keuntungan sehingga 100% setahun kerana setelah tanah ditukar status dan dipecahkan lot, harga akan meningkat dengan mendadak. Akan tetapi, ianya HANYA berlaku jika tanah itu sememangnya ditempat strategik dan peluang untuk mendapat tanah seperti ini sangat-sangat sedikit.

2. Syarikat tersebut juga mengatakan mengusahakan tanaman gaharu melalui program joint venture ke atas tanah lot yang dibeli. Telah sedia maklum pokok gaharu ini mempunyai banyak potensi untuk dimajukan dalam pelbagai produk. Akan tetapi, isunya ialah Thailand juga telah menjadi pengeluar gaharu, maka secara tak langsung persaingan agak sengit. Lagipun syarikat tersebut tidak mengatakan secara jelas ke manakah gaharu akan dijual. Sepanjang pengalaman saya, taktik ini agak sama seperti Jati Emas, Serai wangi di mana orang menanamnya akhirnya tidak dapat menjualnya kerana tiada orang membeli produk tersebut. Jati emas juga menjadi salah satu projek gagal dan scam kerana penanaman pokok tersebut agak sukar untuk hidup.

3. Satu lot tanah yang ditawarkan jika ditanam gaharu boleh mendatangkan keuntungan sekitar 1000% dalam masa 5 tahun. Ini merupakan suatu kejutan pada saya. Yang lebih terkejut ialah mereka juga mencadangkan agar pinjaman peribadi dibuat, dan akan mendapat keuntungan bulanan dengan pelaburan yang dibuat akan cukup untuk cover bayaran bulanan bank.

4. Mereka juga memberikan satu jaminan akan membeli balik tanah jika kita tidak mahu dengan harga top up 8%/tahun dari harga asal tanah. Ini suatu yang agak meragukan dari sudut syariah kerana jaminan beli balik.

Dan banyak lagi tawaran menarik yang ‘too good to be true’ ditawarkan oleh mereka.

Alhamdulillah, dengan ilmu dan pembacaan buku selama ini, saya dapat mengenali dengan mudah penipuan mereka. Pelaburan ini sangat berisiko tinggi kerana 100% saya yakin adalah penipuan semata-mata. Saya bersyukur kerana diberi petunjuk oleh Allah swt supaya tidak meleburkan duit dalam program scam ini. Sekarang barulah saya sedar, bahawa kos yang dikeluarkan untuk membeli buku sememangnya berbaloi. Jika dikira pulangan pelaburan membeli buku dari kejadian ini, saya sudah terselamat sekurang-kurangnya RM50-100 ribu. Jika saya masih dengan mentaliti bangang seperti pada tahun pertama saya bekerja, sudah pasti saya akan muflis dan bankrap. Saya juga sangat bersyukur kerana orang yang memperkenalkan saya kepada syarikat tersebut pun tidak terlanjur menjadi agen mempromosikan perkara ini. Dia juga terselamat dari melebur dalam skim ini. Jika dinilai keseluruhan manfaat yang diperolehi dengan kos buku yang dibeli selama ini, pulangannya untung seolah-olah tiada had.

Oleh itu, mulai bulan lepas, saya dan isteri telah menyusun semula perancangan kewangan dengan lebih baik. Kami membuat peruntukan khusus 10% dari gaji setiap bulan untuk meningkatkan ‘education level’ kami. Bukan setakat buku yang akan kami beli, tetapi kami telah mula menghadiri seminar-seminar yang agak ‘mahal’ yang sememangnya sangat berbaloi untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran kami.

Kesimpulannya, jangan berkira sangat untuk menuntut ilmu melalui seminar dan membeli buku kerana ianya suatu pelaburan yang paling tinggi pulangannya. Peruntukkan 10% dari gaji setiap bulan untuk meningkatkan ilmu agar kita lebih survival untuk masa hadapan.

Post Navigation