on-taking-a-long-time-to-finish-1111634

Kerap kali saya ditanya tentang cara untuk memohon menjadi trainee lecturer di fakulti perubatan di universiti. Tetapi malangnya kebanyakan pertanyaan adalah dari pelajar perubatan yang baru grad, houseman yang sudah mahu berhenti separuh jalan.

Fenomena seperti ini agak merisaukan saya. Terus terang, saya dan kebanyakan pensyarah akan membuat tanggapan “prejudis” terhadap golongan ini. Menjadi trainee lecturer akan dianggap seperti “escape route” dari training houseman.

Sampai sekarang saya masih terfikir, apakah punca sampai doktor muda sekarang yang baru grad tidak mahu menghabiskan training houseman? Ada yang sudah pengecut awal-awal lagi tidak mahu memasuki training houseman.

Houseman dulu dan sekarang: 

Dulu houseman hanya setahun, kini sudah dilanjutkan dua tahun, takziah diucapkan. Apa boleh buat, ini keputusan pak  menteri.

Akan tetapi, dulu tiada sistem syif, sekarang ada sistem syif. At least pak menteri pun ada hati perut.

Dulu houseman 8 orang untuk satu jabatan. Sekarang houseman sudah ada 30 orang untuk satu wad. Secara relatifnya, mungkin workload berkurangan.

Workload kerja adalah perkara yang sangat “subjektif”. Sejak zaman berzaman, doktor tua dan senior merasakan zaman mereka workload adalah lebih tinggi. Bagi saya ianya sama sahaja.

Training houseman pada zaman dahulu dan sekarang adalah sama tough. Tetapi peluang untuk belajar adalah lebih baik pada zaman sekarang dengan kecanggihan teknologi smartphone dan whatsapp. Perbincangan dan komunikasi adalah lebih baik. Jika dimanfaatkan sepenuhnya teknologi, sepatutnya kecekapan kerja dan teamwork adalah lebih baik .

Kenapa tidak mahu menghabiskan houseman? 

Antara alasan diberikan adalah tidak minat! Aikk, pelik sungguh. Teringat kata-kata pensyarah pakar jantung sewaktu saya di UKM dulu, “tiada siapa letak pistol di kepala kamu memaksa kamu menjadi doktor”. Ianya alasan yang tidak dapat diterima. Saya merasakan alasan tidak minat tidak sepatutnya ada dalam diri. Berhempas pulas selama 6-10 tahun menjadi doktor, akhirnya tidak mahu memasuki training houseman atas alasan tiada minat; suatu alasan tidak diterima oleh akal yang sihat. Saya merasakan sindrom tidak minat ini bukan hanya pada kerjaya, mungkin mereka juga tidak minat untuk meneruskan kehidupan.

Alasan lain pula ialah “saya menaruh minat untuk menjadi pensyarah sejak dari menjadi pelajar perubatan lagi” KERANA “saya minat mengajar”. Ingin saya jelaskan, bahawa menjadi pensyarah tidak sama dengan menjadi seorang guru/cikgu sekolah. Di universiti, kerja utama seorang pensyarah ialah BUKAN mengajar, memberi syarahan (lectures) TETAPI kerja utama ialah membuat kajian (research) saintifik, menulis paper publication. Kerja utama inilah yang menjadi kriteria utama pernilaian sesebuah universiti untuk menaikkan pangkat atau tidak.

Dua alasan di atas adalah alasan utama untuk melepaskan diri dari melalui training houseman.

Adakah salah untuk tidak menghabiskan houseman? 

Oh, tidak sama sekali. Bahkan jika seseorang doktor baru grad ingin berniaga di pasar malam, menternak ayam, membela kambing, melakukan perniagaan di facebook, menjadi agen unit amanah, menjadi agen takaful dan sebagainya sepenuh masa. Bagi saya ianya tidak menjadi kesalahan utama. Bahkan saya akan menggalakkan supaya menjadi usahawan, memandangkan di negara malaysia masih kekurangan usahawan muslim melayu yang berjaya. Saya juga ikhlas mengatakan, jika seseorang doktor baru grad, pandai berniaga dan berjaya memperolehi pendapatan yang konsisten puluhan ribu sebulan hasil dari perniagaan, dan minat mendalam terhadap perniagaan diceburi, maka terserahlah untuk mereka berhenti dari kerjaya doktor. Tetapi jangan lupa akan kontrak biasiswa dengan kerajaan, selesaikanlah dengan cara terbaik.

Apakah implikasi kerjaya jika tidak menghabiskan houseman? 

Implikasi ini terjadi jika mereka ingin melepaskan diri menjadi trainee lecturer di universiti. Implikasi ini tidak terpakai bagi mereka yang sudah menjadi usahawan berjaya dengan duit berkepuk-kepuk di dalam poket setiap bulan. Saya ingin sebut mengikut urutan;

  1. Tidak menghabiskan houseman
  2. Tiada pendaftaran penuh dengan MMC
  3. Tiada lesen praktis – annual practice certificate (APC)
  4. Tidak layak untuk praktis sebagai doktor
  5. Jika mahu memasuki universiti sebagai trainee lecturer, mereka tidak layak untuk mendapat skim trainee lecturer DU51p, kerana antara syarat untuk dilantik ke skim DU51p ialah mempunyai pendaftaran penuh dengan MMC. Akan tetapi ada juga yang terlepas masuk. Tetapi dengar khabar, universiti akan mengetatkan kriteria ini.
  6. Oleh itu, golongan tidak menghabiskan houseman, selayaknya dilantik sebagai academic trainee skim DS.
  7. Academic trainee adalah taraf non-medical graduate, seperti biomedic, sciences, etc.
  8. Tangga gaji adalah sangat berbeza dan carrier pathway juga jauh berbeza.
  9. Jika taraf sama seperti non-medical graduates, maka sia-sialah hempas pulas selama 6-10 tahun untuk menjadi doktor.

Pelik bin Ajaib!

Kebanyakan yang berminat nak join jadi trainee lecturer ialah golongan houseman separuh jalan dan yang pengecut tidak mahu melalui training houseman.

Apabila mereka telah berjaya melalui training houseman dan menjadi MO, mereka mula menyepi. Tiada pula MO yang ingin bertanya khabar untuk menjadi trainee lecturer dan menunjukkan minat menjadi pensyarah. Mungkin setelah menjadi MO, mereka mula berada dalam comfort zone.

Mungkin tidak salah tanggapan prejudis pensyarah-pensyarah senior di sini. Mereka lebih berpengalaman tentang isu ini.

Nasihat dan cadangan saya: 

  1. Jika benar dan sebenar-benarnya mahu menjadi pensyarah pelatih (trainee lecturer), habiskan houseman terlebih dahulu. Dapatkan pendaftaran penuh dan APC agar ianya menjadi backup untuk masa hadapan. Kerana terdapat kes di mana trainee lecturer tidak lulus master, pihak universiti telah menamatkan jawatan mereka dan menyaman agar dibayar semula gaji yang telah diberi. Kos sekitar RM400 ribu ke atas. Ianya bukan jumlah yang sedikit.
  2. Rancang kewangan secara baik, jika dah jadi houseman, dengan gaji seciput janganlah pakai kereta mewah-mewah. Simpan duit sebanyak yang boleh.  Kenapa perlu rancang kewangan secara baik? Kerana trainee lecturer adalah jawatan yang tidak disahkan sehingga memperolehi master atau phd. Maka pihak universiti berhak memecat bila-bila masa staff yang tidak disahkan jawatan. Jika dipecat, ada duit simpanan backup dan sijil pendaftaran penuh, maka boleh buat lokum atau bekerja di klinik swasta untuk menampung hidup.
  3. Apabila menjadi lecturer, masa sememangnya terluang banyak untuk keluarga. Kerja hanya ofis hour (untuk preklinical lecturer). Akan tetapi, tidak semuanya indah, terutama tekanan untuk membuat research, penulisan artikel bersifat ilmiah yang agak sukar dibuat.

Kesimpulan…

Jika tidak mahu habiskan houseman, tidak mengapa dan saya pun tak kisah, saya cuma memberitahu hakikat dan implikasinya.

Pada houseman generasi Y, jangan diturutkan hati yang manja…. Tiada kerjaya yang mudah di dunia ini.

Comments are closed.

Post Navigation