takaful

Pada tahun ini, saya telah menyumbang dalam takaful. Polisi yang diambil agak besar. Takaful yang diambil sebelum ini telah pun ditamatkan memandangkan polisi terbaru ini sudah lebih dari cukup.

Pada permulaan bekerja houseman, saya kerap di approach oleh mereka yang tidak dikenali di dalam kawasan hospital. Saya memikirkan dua kemungkinan mereka mendekati saya; mereka mengenali saya (tetapi saya tidak ingat) ataupun mereka baru keluar dari wad sakit jiwa di berek 12 dan terlupa menelan Haloperidol pada hari tersebut.

Setelah sekian lama, barulah saya tahu, rupa-rupanya mereka ialah agen takaful / insuran yang ingin memancing doktor-doktor muda yang jahil tentang takaful. Akhirnya saya telah “membeli” takaful melalui kawan karib dengan caruman bulanan yang agak rendah sesuai dengan gaji pada waktu itu.

Akan tetapi, setelah sekian lama, agen tersebut mendiamkan diri dan menyebabkan saya pening kepala kerana tidak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku dengan polisi saya. Sijil polisi juga tidak pernah diperolehi sehingga saya terpaksa mendapatkannya dari pejabat takaful itu sendiri.

Tetapi saya tidak pernah “serik”. Takaful tetap perlu untuk diri saya. Yang bermasalah ialah agen. Tanggungjawab saya ialah mengambil tahu dan belajar juga tentang takaful, bukan hanya mendengar dari agen semata-mata.

Apa yang saya faham tentang takaful?

1. Ianya mematuhi syariah. Jangan pilih insurance kerana ianya tidak mematuhi syariah dan banyak unsur gharar dan riba.

2. Takaful untuk perlindungan, ianya BUKAN pelaburan. Jika kita “membeli takaful” untuk tujuan pelaburan ialah suatu kesilapan yang ketara.

3. Takaful perlu “dibeli” berdasarkan kemampuan status kewangan masing-masing. Terdapat istilah “overinsured” dimana ramai yang membeli polisi yang mahal dan tidak diperlukan. Seperti seorang suri rumah tidak mempunyai sumber pendaptan membeli polisi yang mahal untuk cover segala macam aspek perlindungan.

4. Jika mahu melabur, takaful ada juga yang menawarkan “linked investment” yang patuh syariah. Sebahagian duit sumbangan bulanan akan disalurkan ke dalam unit trust. Pada pendapat saya, pulangannya ialah sedikit. Sebaiknya untuk melabur, terus pergi ke unit amanah (patuh syariah) atau mula belajar tentang hartanah.

5. Untuk lima tahun pertama, duit sumbangan bulanan takaful biasanya menjadi komisyen agen. Untuk 5 tahun pertama, duit simpanan tidak banyak. Jadi jangan menjadikan takaful sebagai tempat menabung duit. Lebih baik diletakkan di dalam tabung haji jika tujuan utama ialah menyimpan.

6. Jika tidak mampu membayar bulanan takaful, maka tamatkan sahaja polisi atau beralih kepada polisi yang lebih murah.  Jangan difikirkan tentang duit simpanan kerana tujuan utama takaful ialah untuk perlindungan BUKANNYA simpanan atau pelaburan.

7. Lagi mahal polisi diambil, maka coverage biasanya akan lebih tinggi. Itu sudah lumrah alam, “pay more and you will get more”

8. Agen takaful biasanya akan “persuade” agar kita mengambil polisi paling mahal gilerrrrr. Jarang-jarang diantara mereka yang menganalisa tentang status kewangan kita, berapakah caruman yang perlu kita ambil dan mampu bayar. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk mengetahui status kemampuan kewangan kita dan menentukan jenis polisi yang perlu diambil untuk diri kita.

9. Antara ciri-ciri agen yang baik ialah yang mempunyai “common sense” dalam ilmu pengurusan kewangan. Mereka tidak terlalu bias dalam mempromosikan produk takaful mereka. Sepatutnya mereka hendaklah fokus kepada mendidik client mereka dalam pengurusan kewangan dan kemudian barulah menekankan kepentingan takaful dalam pengurusan kewangan.

10. Ambil takaful sewaktu sihat. Seboleh-bolehnya syarikat takaful mahu cover orang yang sihat sahaja. Orang yang sakit akan bermasalah untuk diluluskan permohonan mereka.

11. Cara mengira coverage yang perlu diambil bagi polisi takaful ialah (ini apa yang saya faham dari website agen takaful):

Kira keperluan kehidupan bulanan. Contohnya saya perlukan RM5000.00 sebulan untuk keperluan hidup seperti loan rumah, kereta, anak-anak, makan minum etc. Maka untuk setahun saya perlukan RM60k untuk survive.

Berdasarkan kiraan di atas, saya reversekan formula. Maka saya ambil polisi yang cover saya (jika berlaku kematian) sekitar RM1 juta. Bayangkan situasi begini; setelah saya mati, isteri saya akan mendapat RM1 juta. Jika duit itu disimpan di dalam tabung haji atau unit trust (patuh syariah) yang sederhana agresif, maka pulangan tahunan ialah sekitar 7-10% setahun. Maka setelah setahun, dividen diperolehi ialah sekitar RM70k – 100k. Purata bulanan dividen ialah sekitar RM6k – 8k. Maka isteri saya telah mendapat purata pendapatan bulanan sekitar RM6k -RM8k. Jumlah ini cukup memandangkan keperluan hidup bulanan hanya RM5k sahaja.

Untuk mendapat polisi sekitar RM1 juta, anggaran kos sumbangan bulanan ialah sekitar RM700. Jumlah ini agak besar, tetapi memandangkan keperluan bulanan agak tinggi, biasanya gaji pun agak tinggi.

Tetapi jika seseorang memerlukan RM500 ajo setiap bulan untuk survive, maka tidak perlu mengambil polisi yang tinggi, cukuplah polisi sekitar RM100k (anggaran bulanan RM100 -200) sahaja.

Akhir sekali…

12. Jangan ambil takaful dari agen yang “cakap tidak serupa bikin”. Maknanya agen itu sendiri tidak ada takaful bagi dirinya. Ini menandakan dia juga tidak yakin dengan produk yang di promosikannya. Sepatutnya dia mengambil takaful walaupun polisi murah untuk menunjukkan keseriusan dia dengan takaful.

Itu sahaja apa yang saya faham tentang takaful. Ini berdasarkan pembacaan saya yang tidak formal. Saya yakin agen takaful boleh berikan point-point 3 kali ganda dari apa yang saya senaraikan.

Post Navigation