internet banking with a business man happy

Sejak dari dulu saya mempunyai impian menjana duit dari internet. Dulu tokoh-tokoh internet marketers tidak ramai seperti sekarang. Antara tokoh-tokoh yang saya baca dan pulun buku mereka ialah Irfan Khairi dan Gobalakrishnan. Saya sememangnya meminati internet. Di rumah, saya TV kecil tak apa, yang penting internet laju.

Tulis blog / website adalah cara paling mudah, modal bermula dari zero (kecuali modal masa dan komitment), tiada risiko. Oleh itu terdapat istilah “website monetization / blog monetization” – ataupun jadikan blog kita tu tempat jana duit.

Walaupun nak jana duit berpuluh-puluh ribu raban hingga berjuta-juta bukanlah senang. Tetapi ia tidaklah sama sekali mustahil. Setakat ratus-ratus ringgit itu adalah mudah.

Kenapa kita perlu menulis blog? 

Saya pernah menggalakkan adik beradik saya agar bermula untuk menulis dalam blog / website. Tidak perlu ditulis perkara yang sangat ilmiah. Cukuplah sekadar berkongsi pengalaman hidup yang mungkin memberi manfaat kepada orang lain. Saya juga mengakui tidak mampu menulis blog yang sangat ilmiah seperti Ustaz Zaharuddin dan Saifulislam. Website mereka mendapat rating yang bagus dalam google page rank dan alexa.

Akan tetapi, tidak semua sanggup menulis disebabkan beberapa halangan antaranya faktor masa, writer’s block, tidak yakin dengan penulisan dan mungkin malu.

Saya juga pernah merasai semua ini. Malu apabila melihat penulisan yang berkecamuk, tunggang langgang, tajuk yang tidak menarik. Malu juga apabila terdapat sindiran dari individu tertentu. Tetapi tak mengapalah, yang penting kita tidak menulis keburukan orang lain.

Hakikatnya, “editor” dan pengkritik utama apabila menulis di website adalah diri sendiri. Diri yang mempunyai minda terlalu negatif.

Beberapa kali juga website ini hampir mati, kerana masalah tidak update dan masalah teknikal. Akhirnya sekarang ianya lebih stabil. Cuma saya tidak bersemangat untuk update lebih kerap. Insya Allah azam untuk update dengan lebih kerap di masa hadapan.

Antara sebab lain kenapa perlunya kita menulis di website ialah sebagai catatan yang berguna tentang pengalaman hidup kita. Kerana pengalaman hidup tiada tertulis di mana-mana buku rujukan. Ianya unik dan berbeza-beza dari individu lain. Pernah saya berjumpa seorang pakar bedah tulang bertaraf konsultan. Beliau bercerita banyak tentang pengalaman hidup beliau, tetapi merasa agak kesal kerana tidak membukukan pengalaman hidup tersebut agar memberikan manfaat pada generasi seterusnya.

Ok…apa kaitan dengan buat duit melalui website. Adakah ianya sekadar fantasi atau realiti? 

Ianya realiti! Ya saya pun hampir tidak mempercayainya. Inilah ringkasan pengalaman saya membuat sedikit duit (website monetization) dengan menulis di website:

Pengiklanan Nuffnang

Saya setakat ini menjana sebanyak RM2.14 sahaja :( hasil dari meletakkan iklan nuffnang pada sidebar disebelah kanan website ini. Agak menyedihkan. Mungkin hasil sedikit kerana saya tidak fokus kepada content marketing. Setakat ini trafik pelawat harian ke blog ini hanyalah sekitar 100-150 orang sahaja. Itulah faktor kenapa nuffnang tidak memberikan hasil yang besar untuk website ini.

Menjana duit melalui link affiliate 

Ianya percuma, tanpa modal dan tanpa risiko.

Ebook Tulis Tesis Cepat oleh Dr. Othman Talib, ebook Mendeley, ebook Atlas.Ti. Ebook ini saya beli untuk tujuan pembelajaran dalam kehidupan akademik saya. Oleh kerana saya mendapati ianya sangat berguna, maka saya kongsikan di website ini. Alhamdulillah, rupa-rupanya ramai juga yang berminat dengan buku ini. Hasilnya saya telah dapat sedikit komisyen dari jualan melalui link affiliate yang diletakkan dalam website ini. Tiada kos pengiklanan dikeluarkan. Walaupun hasilnya sedikit, tetapi ianya cukup untuk dijadikan modal menampung kos sewaan hosting dan domain ini untuk setiap tahun.

Komisyen affiliate ebook tulis tesis cepat

Komisyen affiliate ebook tulis tesis cepat

Ebook sistem saham. Ebook ini antara ebook yang bagus saya beli kerana minat saya untuk mula melabur dalam Bursa Malaysia. Saya kongsikan pengalaman starting point ke arah melabur dalam bursa malaysia. Alhamdulillah, sebenarnya komisen tidaklah banyak, tetapi mendapat ranking yang agak bagus telah memotivasikan saya untuk terus menulis.

Ranking Klikjer.com - Promosi ebook sistem saham

Ranking Klikjer.com – Promosi ebook sistem saham

Ebook Kevin Zahri. Tetapi saya agak kecewa apabila sales yang terhasil dari link saya tidak di update. Setelah setahun baru saya sedar, rupa-rupanya saya telah menjana sales yang agak banyak. Tetapi status “pending approval” menyebabkan saya agak kecewa. Apa pun, itulah salah satu pahit manis ber affiliates. Insya Allah akan diselesaikan secara baik dengan pihak kevin zahri kerana saya mengkagumi Kevin Zahri. Ebooknya pun sangat TERBAIKKK!!!!

Ebook kevin zahri terbaik!

Ebook kevin zahri terbaik!

Merenung kembali….

Apabila merenung kembali sejak dari blog ini dibina. Saya telah membuktikan pada diri saya, sebenarnya menjana seciput duit dari internet bukanlah mustahil. Itu tidak dikira lagi dengan picisan duit yang terhasil dari perniagaan isteri saya membuat pavlova tersedap hanya menggunakan facebook. Sekarang isteri saya tak aktif buat pavlova tersedap kerana menyambung Phd.

Saya telah berjaya, cuma masih belum “berjaya sepenuhnya” mengikut apa yang hendak dicapai. Impian saya ialah menjana ribu raban dari internet. Setakat ini hanyalah sekitar ratusan ringgi sahaja untuk setiap 3-4 bulan. Hmmmm….

Segala komisen yang diperolehi adalah tanpa sebarang pengiklanan dan juga promosi melalui facebook. Ianya adalah hasil dari page ranking google. Jika anda membuat search keyword “membeli kereta terpakai, tips pelaburan saham”. Insya Allah website ini berada dalam page pertama hasil carian google. Itulah sumber trafik terbesar ke website ini.

Saya agak malu untuk mempromosi website ini melalui facebook. Mungkin ini adalah halangan utama kenapa ianya masih tidak memberikan pulangan besar.

Saya berharap, agar mereka yang ingin menjana duit melalui internet, mulakan dengan menulis blog. Usah risau jika blog mati hidup banyak kali. Itu adalah lumrah. Tulislah blog untuk memberi manfaat kepada orang lain. Jangan terlalu mengkritik diri sendiri apabila menulis. Setiap orang mempunyai keunikan dalam hidup masing-masing. Keunikan ini memberi manfaat kepada orang lain jika dikongsi bersama.

Elakkan menulis perkara yang sensitif seperti isu perkauman, perbalahan politik, kutuk mengutuk kerana ianya tidak memberikan manfaat dan tidak menebalkan duit poket. Silap-silap kena tangkap bawah akta hasutan.

Saya sentiasa mengingatkan diri saya…jika ianya tidak dimulakan, maka ianya tidak akan bermula sama sekali. Begitu juga menulis blog, tidak tulis sepatah perkataan, maka sepatah perkataan dan satu ayat tidak akan terhasil.

“Just do it”… buat ajo. Insya Allah lagi kerap tulis, lagi cepat pandai. Kalau saya yang tak pandai ni boleh dapat duit sikit, insya Allah saya yakin ramai lagi orang lain boleh lebih berjaya.

Semoga bermanfaat.

Post Navigation