Catatan isteri saya sewaktu seminar

Catatan isteri saya sewaktu seminar

Pada post yang telah lepas, saya telah menulis tentang “kesilapan-kesilapan” yang saya lakukan dalam pengurusan kewangan keluarga. Saya telah membuat beberapa perubahan sejak hampir 2 bulan lalu. Alhamdulillah, saya merasa lebih gembira dan hati tenang kerana dapat bercuti. Isteri saya juga telah diberi kuasa veto untuk membuat keputusan tentang percutian dan jalan-jalan cari makan memandangkan beliau memegang kuasa mutlak untuk menguruskan tabung “Play Account”.

Hari ini saya ingin berkongsi secara detail tentang pengurusan yang saya rasakan adalah lebih baik berbanding apa yang saya buat sebelum ini. Apa yang saya kongsikan di sini bukanlah pandangan sebagai seorang pakar kewangan, tetapi ianya lebih kepada berkongsi pengalaman. Jika anda inginkan sesuatu yang lebih tepat, bolehlah mencari pakar pengurusan kewangan (certified financial planner / certified islamic financial planner) yang bertauliah. Akan tetapi, setakat apa yang saya pelajari berdasarkan buku-buku yang dibaca, konsepnya masih sama.

Konsep utama yang paling penting ialah “saving” atau menyimpan duit gai yang diperolehi. Di sini, kebanyakan buku-buku kewangan akan menekankan konsep “pay yourself first” iaitu bayar diri anda sendiri. Tetapi maknanya yang mendalam ialah, hendaklah kita menyimpan sebahagian (%) duit gaji yang diperolehi ke dalam simpanan kita yang tidak akan disentuh. Jika berdasarkan buku Azizi Ali “Jutawan Planet Jupiter”, hendaklah menyimpan sekurangnya 10%-30% dari gaji yang diperolehi dan fokus kepada pembinaan duit simpanan rezab. Duit rezab ini berfungsi sebagai duit kecemasan tatkala terputus pendapatan yang membolehkan hidup sekurang-kurangnya 6 bulan. Ini bermakna duit rezab ini tidak boleh disentuh kecuali berlaku perkara diatas. Kelebihan kaedah duit rezab ialah, ia boleh bertindak sebagai “kusyen” penyerap hentakan tatkala berlaku kegawatan ekonomi. Setelah 6 tahun saya dan isteri saya mengamalkan kaedah membina duit rezab ini, kami sudah berjaya menyimpan cukup-cukup wang untuk kecemasan selama 6 bulan. Kami juga telah mula melabur dalam unit amanah dan sedikit dalam hartanah. Akan tetapi, pulangan dari pelaburan sebenarnya adalah tidaklah lumayan memandangkan konsep pelaburan menekankan jangka masa yang sangat panjang.

Berdasarkan ilmu ‘baru’ yang kami perolehi semasa seminar, gaji yang diperolehi hendaklah dipecahkan kepada enam (6) akaun iaitu:

1. Financial Freedom Account (FFA) – 10% dari gaji

Setiap kali gaji masuk, maka perkara yang WAJIB dilakukan ialah menyimpan terus sebanyak 10% dari jumlah gaji yang diterima. Contohnya gaji yang diterima ialah RM10 000, maka sebaik sahaja gaji masuk hendaklah menyimpan RM1000 ke dalam akaun yang tidak akan disentuh sehingga umur mencecah 55 tahun. Jika duit tidak mencukupi untuk disimpan kerana bebanan hutang piutang keliling pinggang dan tengkuk, maka bermulalah walaupun dengan nilai yang kecil iaitu RM0.10, RM1, RM10, RM100 tetapi hendaklah KONSISTEN setiap bulan. AWAS, akaun ini tidak boleh dikorek semula melainkan umur mencecah 55 tahun. Di manakah duit ini perlu disimpan? Ada yang mencadangkan ianya disimpan dalam simpanan tetap (fixed deposit) kerana ianya lebih stabil dan selamat. Ada pendapat extreme mencadangkan lepas simpan bakar terus buku akaun, supaya duit hanya boleh masuk tapi tak boleh keluar. Tetapi saya mengesyorkan agar simpanan dibuat dalam akaun islamik seperti tabung haji yang juga selamat dan memberikan prestasi pulangan yang tinggi setiap tahun. Bagi saya ini adalah akaun yang sangat-sangat WAJIB kerana ia penentu keadaan hidup di masa hadapan kita sewaktu pencen. Persoalan yang mungkin timbul adalah; saya sudah ada KWSP atau pencen?!. Ya betul, akan tetapi, kedua-dua skim itu adalah suatu yang ‘belum pasti’ diperolehi memandangkan polisi kerajaan mungkin boleh berubah-ubah. Selain itu, kita tidak mempunyai kawalan ke atas duit pencen dan kwsp. Saya juga mendapat tahu bahawa terdapat skim PRS (Private Retirement Scheme) yang menguruskan duit simpanan dan pelaburan untuk persaraan kita. Duit tersebut akan dilabur ke dalam saham unit amanah islamik bergantung kepada profil risiko diri kita. Buat masa ini saya tidak sempat lagi untuk mengkaji tentang PRS ini, akan tetapi saya merasakan secara umumnya ianya sangat bagus kerana ia mendisiplinkan diri kita untuk menyimpan dan tidak mengeluarkan duit sehingga umur mencecah 55 tahun.

2. Long Term Saving & Spending Account (LTSS) – 10% dari gaji

Akaun ini adalah simpanan untuk perbelanjaan dalam jangka masa panjang. Contohnya jika saya ingin membeli sebuah rumah banglo, kereta baru, peti sejuk baru dan menyelesaikan pinjaman perumahan lebih cepat dari sepatutnya, maka akaun ini akan digunakan. Matlamat yang ditetapkan hendaklah bersifat jangka masa panjang bukannya sebulan dua atau setahun dua. Kelebihan mempunyai akaun seperti ini ialah ia mengelakkan kebocoran dari akaun FFA. Ianya memberikan ketenangan kepada diri kita kerana tidak perlu mengorek simpanan yang FFA yang terpenting. Duit dalam akaun ini digunakan untuk membeli berdasarkan keperluan bukannya berdasarkan nafsu kemahuan yang bersifat impulsive.

3. Necessity Account (NEC) – 55% dari gaji

Akaun ini digunakan untuk menampung kos ASAS kehidupan bulanan seperti loan rumah, kereta, petrol, elektrik, air, kos tadika anak-anak, barangan dapur, streamyx dan lain-lain. Akan tetapi, perlu diingat, percutian, makan-makan di secret recipe, kenny rogers bukanlah dikorek dari akaun ini. Akaun ini HANYA untuk menampung BASIC needed dalam keluarga. Kalau nak bermewah-mewah dan enjoy-enjoy maka hendaklah mengorek dari akaun seterusnya. Biasanya bagi yang berpuluh tahun kerja tanpa mempunyai perancangan pengurusan kewangan, kos keperluan sangat tinggi, malah lebih tinggi dari gaji yang diperolehi. Ini akibat dari sifat boros, membeli mengikut nafsu (tahsiniyyat) bukannya keperluan (dhoruriyyat atau hajiyyat). Keadaan ini dipanggil belanjawan defisit (seperti yang berlaku di negara kita). Saya pernah tergolong dalam golongan defisit selama hampir 2 tahun. Akhirnya saya dan isteri mengambil langkah tekad dengan mengawal semula keadaan kewangan kami dengan lebih berdisiplin. Sememangnya selepas 6 bulan, berlaku peningkatan mendadak dari segi kualiti status kewangan kami.

4. Education Account (EDU) – 10% dari gaji

Saya dulu tersilap faham dengan tabung pendidikan. Saya merasakan tabung-tabung ini adalah untuk pendidikan anak-anak memasuki universiti bagi mengelakkan mereka meminjam duit PTPTN. Akan tetapi, saya lupa, bahawa saya adalah orang yang paling penting untuk di educate buat masa ini. Dua bulan yang lepas, kami telah membuat simpanan sebanyak 10% dari total gaji untuk tujuan pendidikan diri kami bukannya simpanan pendidikan anak-anak. Duit yang disimpan itu dibelanjakan terus setiap bulan untuk membeli buku-buku yang meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam diri kami. Sehingga sekarang, kami telah menghadiri 2 seminar yang agak mahal (pada pandangan orang) dan membeli buku yang agak mahal (pada pandangan orang). Setelah saya berfikir semasak-masaknya, pelaburan dalam pendidikan diri sendiri adalah pelaburan yang paling tinggi pulangannya dengan syarat kita melaksanakan ilmu yang dipelajari secepat mungkin “fast action fast result”. Insiden yang berlaku sebelum ini juga membuka mata saya agar melabur lebih agresif untuk pendidikan diri sendiri. Antara pulangan yang sangat bermakna bagi diri saya dalam pendidikan diri sendiri ialah; terselamat dari skim scam, penurunan berat badan (setelah hampir 5 mengidamkanya), part time bisnes isteri saya dan reset minda. Saya rasa inilah akaun yang sangat bermakna untuk diri saya.

5. Play Account (PA) – 10% dari gaji

Inilah akaun yang sangat membahagiakan isteri saya. Beliau sudah lama mengidam untuk berjalan-jalan melancong dan cuti-cuti malaysia. Sebelum ini kami bekerja sebagai MO di Hospital yang sangat sibuk, maka hendak bercuti adalah suatu perkara yang mustahil. Setelah menghadiri seminar, saya dengan berbesar hati melantik isteri saya menjadi “Head of Department, CEO, Director, etc” bagi akaun ini. Hatta, saya tidak punyai kuasa sedikit pun untuk campur tangan dalam keputusan beliau. Jika beliau mahukan pergi bercuti di Gambang Water Park, maka tugas saya hanya menjadi driver kereta dan tukang anggup kepala tanda setuju. Percutian kami yang pertama ialah semasa Tahun Baru Cina 2013, kami bercuti-cuti ke masjid kristal di Terengganu. Ikhlasnya, saya bukanlah seorang yang suka berjalan-jalan, tetapi demi keluarga saya paksa diri ini. Hasilnya saya gembira kerana anak-anak dan isteri gembira. Akaun inilah memberi ruang kepada jiwa kita untuk berasa enjoy dan gembira untuk hidup “live your life to the fullest”. Tidak perlu menjadi jutawan baru hendak bermula untuk bercuti-cuti dan bergembira, kerana waktu tu mungkin kita sudah tua kerepot dengan pelbagai penyakit arthritis. Ianya boleh dimulakan sekarang tetapi mengikut kemampuan iaitu hanya 10% dari gaji. Pendek kata, kalau nak isteri gembira, bagi mereka kuasa veto untuk menguruskan akaun ini. Tetapi ingat! HANYA 10% dari gaji sahaja.

6. Charity Account – 5% dari gaji

Ini merupakan akaun untuk menjana saham akhirat. 2.5% sudah digunakan untuk membayar zakat. Selebihnya kami peruntukkan untuk ibu bapa, adik-adik yang masih belajar, tabung keamanan syria. Buat masa ini, jumlah nilai peruntukan ini agak sedikit memandangkan gaji kami masih ciput. Insya Allah, dengan peningkatan jumlah pendapatan kami akan konsistenkan percentage ini sehingga nilai sumbangan juga meningkat. Yang penting ialah konsisten bersedekah, bukan segedebuk sekali dalam 100 tahun.

Kesimpulannya: asasnya kena menyimpan, berbelanja dengan berhemah, jangan boros dan rancang sebaik-baiknya kewangan.

Bagaimana pula jika timbul persoalan? Saya tidak dapat menyimpan kerana beban hutang? Belanjawan defisit? Zero saving? Soalan ini pernah ditanya sewaktu seminar tersebut. Maka jawapannya secara umum ialah, kurangkan (cut down) perbelanjaan yang tidak perlu (membazir) dan tingkatkan pendapatan. Maka dari situlah, saya yakin bahawa setiap orang jika hendak mengubah hidup ke arah lebih baik hendaklah bermula untuk membuat part time job atau bisnes. Insya Allah, jika ada peluang saya akan bercerita tentang apa minat saya tentang bisnes yang tidak menjadi-jadi heheheh.

Semoga perkongsian ini dapat membantu untuk meningkatkan mutu kehidupan kita semua.

7 Thoughts on “6 Tabung Kewangan

  1. salam..terima kasih kerana berkongsi..saya tak pernah pergi kursus berbayar selain yang ditaja oleh company bekerja..google2 ttg tabung ni akhirnya terjumpa..dapat tahu dari kakak2 yang sertai program DAO..cuma nak tanya akaun2 ni seeleoknya persendirian atau sharing suami isteri..kalau sharing penyumbang dari kedua2 pihak atau suami sahaja..

    • drsolah on December 25, 2013 at 8:09 pm said:

      sharing tabung suami isteri adalah yang lebih baik bagi mengelakkan ketirisan dari salah seorang. Biasanya bila sharing, maka sebarang perbelanjaan berdasarkan keputusan bersama.

  2. terima kasih atas perkongsian ini. membolehkan saya lebih fokus dlm membuat bajet keluarga

  3. Ir. sam on January 8, 2014 at 10:19 pm said:

    Terimakasih atas perkongsian ini. Saya juga mempunyai cara pembahagian tabung kewangan berdasarkan gaji bulanan campur 12% sumbangan EPF dari majikan.
    60% untuk perbelanjaan tetap termasuk pemotongan cukai bulanan.
    10% untuk perbelanjaan yang tak diplanned.
    10% untuk play account, bercuti dan sebagainye.
    10% untuk tabung simpanan
    10% terakhir untuk sumbangan untuk EPF (individu dan majikan)
    Saya memang track perbelanjaan saya setiap hari dengan menggunakan Microsoft Money Plus Sunset yang boleh didownload percuma.

  4. Alhamdulillah. Perkongsian tips yang sangat bagus. Saya suka part account #6 (Sadaqah). Yes, ia mesti diwujudkan dan moga kita istiqamah dalam mengerjakannya.

    Kita juga ada pilihan untuk menyimpan, memcarum, menabung di pelan Takaful yang komprehensif (ia meliputi simpanan, pendididikan, perubatan, pampasan dan pelaburan) dan ia patuh syariah.

    #KZTakaful
    Putrajaya

Post Navigation