Alhamdulillah, semalam sambil menghadiri program sempat menghabiskan buku karangan Osman Affan yang bertajuk “Teknik Memori Smart Study”.

Saya sangat kagum dengan kesungguhan dan keikhlasan penulis sehingga berjaya menghasilkan suatu teknik yang sangat bermanfaat untuk diaplikasikan oleh pelajar sekolah bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Pada awalnya, saya merasakan buku ini agak kebudak-budakan kerana penggunannya lebih fokus kepada pelajar sekolah. Akan tetapi, apabila meneliti lebih lanjut teknik dan konsep yang diajarkan dalam buku tersebut, saya yakin ianya boleh diaplikasikan secara meluas pada peringkat universiti dengan sedikit modifikasi yang sesuai dengan bidang-bidang di universiti.

Berdasarkan penulisan beliau, ia menunjukkan beliau sentiasa berusaha dan berfikir untuk membantu pelajar-pelajar untuk lebih berjaya. Ia adalah suatu sikap yang jarang ditemui oleh para guru dan pensyarah yang sering suka menyalahkan pelajar jika tidak faham tentang apa yang diajar. Beliau lebih suka mengambil pendekatan bahawa penambaikan dalam sistem pembelajaran hendaklah bermula dari pengajar itu sendiri.

Setakat ini, buku seumpama yang menceritakan tentang teknik mengingat banyak di tulis oleh penulis dari barat seperti Harry Lorayne, Dominic O Brien, Kevin Trudeu.

Buku-buku yang menceritakan kaedah mengingat sangat sedikit ditulis di Malaysia. Kaedah ini hanya disentuh secara superficial dalam program dan ceramah motivasi. Boleh dikatakan, ianya tidak pernah diterokai secara lebih mendalam.

Sebenarnya kaedah mengingat dari dulu lagi mempunyai konsep yang sama 99.99%. Cuma aplikasinya dalam bahasa lain dan tempat mungkin agak berbeza.

Jika diteliti, kaedah yang ditulis oleh osman affan terutamanya dalam mengingati nombor ceria, akronim dan akrostik adalah sama dengan apa yang telah ditulis oleh Harry Lorayne dalam buku bertajuk “How to develop super power memory”.

Osman Affan telah memudahkan lagi penggunaan kaedah ini dalam konteks pelajar sekolah rendah dan menengah. Teknik yang diolah oleh beliau sangat sesuai digunakan dalam bahasa melayu.

Untuk memahirkan diri dalam teknik ini, yang paling penting ialah; kreativiti.

Kreativiti menjadi halangan utama untuk terus menggunakan kaedah ini. Akan tetapi, jika berjaya mahir kaedah ini, saya rasa untuk mengingati hampir semua perkara menjadi tidak mustahil.

Adalah lumrah, apabila ingin menguasai sesuatu kemahiran “skills”; ia memerlukan komitmen, kesabaran dan latihan yang berulang-ulang kali. Apabila sudah mahir, tidak mustahil hanya dengan “skills” tersebut ia boleh menjadikan seseorang lebih berjaya, kaya raya dan terkenal di negara.

Setakat ini, dalam ilmu perubatan, kaedah yang terkenal digunakan ialah kaedah mnemonics. Akan tetapi, kaedah ini terdapat kekurangan dimana boleh menyebabkan kekeliruan apabila terlalu banyak huruf yang sama digunakan. Saya masih tercari-cari buku yang memudahkan cara untuk mengingat fakta-fakta dalam bidang perubatan. Saya merancang hendak membuat sedikit carian dalam www.amazon.com untuk mendapatkan buku tersebut. Sewaktu zaman medical student dahulu, terdapat buku fotostat bertajuk mnemonics in medicine. Akan tetapi buku itu telah hilang tanpa jejak.

Alangkah baiknya jika dapat mengingat hampir semua fakta dalam bidang perubatan. Tidak perlu risau tentang kegagalan.

Post Navigation