Saya meminati ilmu kewangan. Ilmu kewangan bukanlah berkisar HANYA semata-mata tentang ilmu membuat duit, atau ilmu menguruskan duit atau melabur. Tetapi terdapat satu missing puzzle iaitu agihan kekayaan yang meliputi infaq, sedekah, hibah, waqaf dan pewarisan harta pusaka menurut islam.

Secara umumnya, karier doktor adalah mempunyai gaji yang paling tinggi dalam kerajaan bagi penjawat awam jika dibanding dengan karier lain. Walaupun, perbezaan itu mungkin hanya sekitar RM100 sahaja berbanding karier lain.

Doktor adalah spesies manusia yang sibuk; oncall, night shift, post call, PM off dan macam-macam lagi istilah sibuknya. Secara umumnya kesibukan itu akan membantutkan mereka untuk mengambil tahu urusan kewangan mereka. Walaupun masalah ini adalah juga berlaku dalam karier lain, tetapi saya lebih suka menceritakan tentang dunia doktor di mana saya pernah laluinya dan sedang melaluinya.

Antara langkah-langkah yang secara rutinnya dilakukan oleh doktor apabila memperolehi gaji ialah membeli sebuah kereta yang agak mewah. Pembelian kereta yang mewah menyebabkan bayaran bulanan yang agak membebankan, ditambah pula dengan kos petrol dan kos maintainance yang agak tinggi. Awal-awal lagi bebanan kewangan sudah muncul.

Langkah seterusnya, ialah membeli rumah atau tanah dengan tergesa-gesa dengan alasan kerana rumah akan naik harga dan juga tanah akan naik harga dan ianya boleh menjadi aset. Tetapi ramai tidak sedar apa itu istilah aset dan juga liabiliti. Jika merujuk kepada buku Rich Dad Poor Dad yang ditulis oleh Robert T.Kiyosaki, rumah dan tanah tidak semestinya menjadi aset, bahkan kebanyakan masa menjadi liabiliti yang akan mengecilkan duit poket. Jika menggunakan alasan rumah dan tanah akan naik harga nanti, umpama mengira anak ayam dari telur yang belum menetas.

Langkah seterusnya yang dilakukan ialah, membuat renovation rumah dan juga membeli kereta ke dua. Dengan alasan, long journey travelling perlu kereta lebih baik. Ini menambah lagi parah status kewangan doktor.

Jika mereka tidak bernasib baik, akan di approach oleh penggiat MLM skim piramid penipu tegar, yang menjanjikan keuntungan 300% serta merta hanya dengan meletakkan sejumlah besar wang sebagai modal pelaburan, maka doktor itu mulalah membuat personal loan yang menambahkan lagi keparahan status kewangan. Biasanya skim MLM piramid akan ‘mampus’ dalam masa tidak sampai 6 bulan, seperti skim Buluh Mas.Ini menjadikan status kewangan individu terbabit menjadi umpama kanser peringkat terakhir yang sukar dipulihkan.

Saya pernah mengenali seorang doktor, beliau merupakan peminat MLM tegar, dia mempunyai pendapat jika mahu kaya, satu-satunya jalan ialah dengan MLM. Saya sangat kurang bersetuju dengan pendapat ini. Kerana jalan kekayaan bukan satu jalan sahaja. Dalam Islam, terdapat 4 langkah untuk menjadi kaya dunia dan akhirat meliputi, wealth generation (cari kerja), wealth growth (pertumbuhan), wealth protection (takaful) dan wealth distribution (waqaf, infaq, hibah dan sedekah). Ini adalah steps yang dinyatakan dalam modul IFP (islamic financial planning) untuk mencapai Al-Falah (kejayaan) di dunia dan akhirat.

Pada pendapat saya, apa yang penting ialah bermula dengan gaji pertama seorang doktor, mereka hendaklah menyimpan sebahagian gaji, paling minimum 30% dari total gaji untuk membina reserve money untuk survival 6 bulan tanpa kerja. Kemudian membeli takaful untuk protection. Selanjutnya meletakkan portion dari gaji untuk investment dalam pelaburan saham-saham yang patuh syariah. Tetapi langkah terakhir yang dilupai dan diabaikan oleh kebanyakan orang Islam termasuk saya  ialah “wealth distribution” . Ianya meliputi penulisan wasiat agar harta kita tidak dibekukan oleh Bank dan etc selepas kita mati, hibah atau hadiah kepada seseorang dan waqaf untuk ‘pelaburan akhirat’ .

Disini saya suka highlight sedikit suatu kisah tentang isu waqaf “2 anak yatim pada zaman Rasulullah saw yang mewaqafkan sekeping tanah untuk tujuan pembinaan masjid nabawi. Cuba bayangkan berapa juta, billion, zillion pahala yang mereka dapat sejak lebih seribu tahun lalu, sudah pasti mereka telah mendapat tempat di syurga”.Walaupun kita tidak berupaya mewaqafkan sebidang tanah, mungkin kita boleh bermula dengan mewaqafkan sekeping duit seringgit hingga lima puluh ringgit.

Oleh itu, sebagai seorang doktor, amatlah penting untuk mengambil tahu tentang status kewangan masing-masing. Ilmu tentang Islamic Financial Planning tidak akan datang kecuali kita mencarinya. Saya sudah menemui cara mendapat ilmu Islamic Financial Planning, dan saya berazam untuk mempelajarinya dan mendapatkan sijil tersebut demi kepentingan diri dan keluarga. Semoga Allah swt memberikan umur cukup panjang dan kejayaan dalam usaha ini.

P/S:

“Bukanlah penting sebanyak mana gaji diperolehi, tetapi sebanyak mana yang disimpan itu paling penting”

“Menyimpan adalah langkah awal paling asas ke arah kekayaan, menyimpan ditempat yang sesuai adalah paling penting”

“Tentang pelaburan, dalam Islam tiada pelaburan boleh menjanjikan pulangan, kerana adalah ‘nature’ pelaburan mesti ada untung dan rugi, paling penting sebelum melabur ialah tahu risiko pelaburan tersebut”

Post Navigation