20131103-000430.jpg

Istilah “spoon feeding” kerapkali diungkapkan oleh pensyarah. Saya masih teringat lagi hampir 15 tahun lepas sewaktu menjejakkan kaki ke fakulti perubatan. Istilah ini disebut-sebut berulangkali oleh pensyarah. Lazimnya tujuan mereka adalah baik dan sangat bagus; iaitu mereka tidak mahu pelajar MALAS, mereka mempunyai ‘expectation’ agar pelajar banyakkan membuat research dengan sendiri tentang persoalan yang tidak di fahami. Istilah ini tidak pernah didengari sewaktu sekolah tadika hinggalah sekolah menengah. Oh, itu sudah pasti, sekolah tidak boleh disamakan dengan universiti.

Dari dulu lagi, saya akur dan patuh taat dengan istilah ini. Ianya membuatkan pelajar lebih senyap dan tidak bertanya soalan kepada pensyarah. Kenapa perlu tanya soalan ini? Nanti dijawabnya “go back and read by yourself” , saya tidak boleh bagi jawapan, nanti spoon feed.

Agak pelik dan ajaib istilah “spoon feeding”. Ianya suatu kata-kata frasa keramat yang berkuasa menutup pintu mulut pelajar kepada sebarang pembelajaran yang interaktif.

Dari dulu sampai sekarang, dalam fikiran saya banyak timbul persoalan antaranya:

“Apakah tujuan sekolah dan universiti ditubuhkan? Jika “spoon feeding” adalah suatu perkara yang di HARAM kan, maka sejauh manakah limitasi ilmu yang boleh diajar kepada pelajar?

Jika spoon feeding diharamkan, kenapakah terdapat banyak buku teks perubatan yang ditulis secara detail? Bukankah lebih senang penulis-penulis buku ini hanya menulis secara ringkas dan meletakkan ayat “no spoon feeding, go and read by yourself”.

“Lecturer” bukankah ia bermaksud seseorang yang memberikan syarahan. Jika bersyarah hanya sekadar outline sahaja dan menyuruh pelajar atau pendengar belajar sendiri, maka tiada gunalah fungsi lecturer itu.

Yang pelik dan ajaib, saya meronda-ronda ke website universiti luar negara, website universiti di sana sangatlah informatif. Siap ada nota pembelajaran yang lengkap, modul yang detail dan buku rujukan yang perlu dibaca jika pelajar-pelajar masih tidak faham atau ingin menambahkan lebih banyak pengetahuan. Tiada pula amaran tentang spoon feeding.

Saya ingatkan perkara ini hanya berlaku di Universiti saya sewaktu menjadi medical student. Tetapi nampaknya gejala “anti spoon feeding” ini masih banyak lagi terutama pensyarah-pensyarah yang senior. Tetapi bukan semuanya seperti ini, hanya segelintir yang cukup merimaskan.

Apa yang saya faham, spoon feeding ini ada kebenarannya dari sudut tertentu iaitu:

Pelajar tidak boleh mengharapkan segala-galanya diajar oleh pensyarah kerana terdapat limitasi ilmu yang boleh disampaikan.

Begitu juga pensyarah, mereka juga tidak boleh mengajar segala-galanya kerana terdapat limitasi ilmu yang boleh disampaikan.

Dan paling penting, pensyarah perlu ingat, pelajar juga tidak boleh belajar segala-galanya dengan sendiri kerana terdapat juga limitasi dari segi pengalaman dan ilmu.

Akan tetapi, tidak salah bagi pelajar untuk belajar lebih atas usaha mereka sendiri. Dan juga pensyarah juga tidak salah untuk mengajar lebih dari apa yang sepatutnya.

Teringat waktu subjek Farmakologi perubatan yang di ajar 15 tahun lepas di universiti dahulu, seorang pensyarah yang sangat anti dengan nota kuliah, masuk kelas hanya membawa sehelai kertas yang merupakan outline kepada tajuk yang diajar. Beliau hanya mengatakan, balik dan baca buku Katzung. Malangnya, tajuk yang diajar itu adalah tajuk yang paling penting dalam farmakologi. Maka, tidak dinafikan ramai pelajar tersangkut dalam peperiksaan apabila soalan keluar dari tajuk tersebut.

Mungkin pensyarah itu tidak salah. Pelajar biasanya dipersalahkan atas kebodohan dan kemalasan mereka. Tetapi, saya risau jika saya menjadi pensyarah seumpama itu. Apakah yang akan saya jawab dihadapan Allah swt. di akhirat kelak.

Teringat kata-kata seorang mentor “The more you give the more you will get”. Hidup ini banyakkan memberi. Saya rasa tiada salah jika seorang pensyarah memberikan nota kuliah yang agak lengkap pada pelajar mereka, tetapi dengan pesanan, hendak pelajar mendalami dengan merujuk buku rujukan yang berkaitan. Bahkan ada pensyarah yang menulis buku yang ringkas dan padat untuk memudahkan pelajar berjaya dalam peperiksaan.

Teringat hadis Nabi Muhammad SAW, jika mati anak adam, terputus daripadanya kecuali tiga perkara. Antaranya ialah ilmu yang bermanfaat. Nak hurai lebih lanjut saya tidaklah cukup berilmu. Cuma dalam konteks spoon feeding ini, saya yakin ianya agak tidak bertepatan dengan konsep yang disebut dalam hadis nabi. Jika saya berusaha mengajar yang terbaik, memberi nota yang lengkap, menulis buku, memberikan latihan extra kepada pelajar dan menulis sesuatu yang bermanfaat di blog dan seumpamanya ianya tidaklah salah.

Lagipun apa ruginya saya…”the more you give the more you will get”.

Post Navigation