Program kemuncak bantuan kepada mangsa banjir

Program kemuncak bantuan kepada mangsa banjir, dianggarkan 500 sukarelawan turun dari seluruh Malaysia

Alhamdulillah, walaupun agak terkejut dengan banjir di Kuantan 2013 ni, saya bersyukur kerana diberikan peluang yang jarang ditemui iaitu membantu mangsa banjir menerusi kerja sukarelawan IKRAM Pahang.

Setelah saya kembali ke Kuantan  (dari Muar) pada hari Selasa 3hb Disember 2013, kami melalui perjalanan agak sukar untuk sampai ke Kuantan. Di Muadzam Shah, jalan raya tidak dapat dilalui berikutan jalan runtuh (lubang besar), kami terpaksa berpatah balik ke Temerloh dan bermalam di sana. Untuk sampai ke Kuantan, hanya satu jalan melalui Jabor sahaja boleh dilalui. Ke semua jalan dinaiki air dan tidak selamat untuk diredah. Apabila sampai di Kuantan, mujurlah bekalan elektrik yang terputus selama hampir 12 jam disambung semula. Bekalan elektrik terpaksa diputuskan kerana pencawang berdekatan ditenggelami air banjir. Akan tetapi, bekalan air paip masih terputus selama 2 hari.

Sememangnya banjir tahun ini sangat-sangat teruk. Tahun 2012 banjir kilat hanya berlaku di bandar Kuantan dan sekejap sahaja. Tetapi banjir pada tahun ini seolah-olah keadaan darurat telah berlaku. Bayangkan, sejurus air banjir naik secara tiba-tiba, bandar Kuantan terjejas teruk, kawasan perumahan dinaiki air tenggelam dari paras betis hingga ke leher. Ramai menyelamatkan diri dengan mengharungi air banjir. Pasukan keselamatan tidak cukup tangan dan bot penyelamat untuk membawa mangsa banjir ke tempat penempatan banjir. Tambahan pula, lebih mengejutkan, sekolah yang menempatkan mangsa banjir pun tenggelam sehingga aras tingkat 1.

Rentetan bekalan elektrik terputus, telekomunikasi terjejas teruk. Mesin-mesin ATM tidak dapat digunakan untuk mengeluarkan duit, ramai beratus panjang di stesen minyak untuk mengisi petrol. Bahkan ada juga beberapa stesen minyak tenggelam dalam banjir.

Tanah runtuh di sana sini, jalan ditenggelami air. Kereta yang tenggelam sangat banyak, menjangkau ribuan buah kereta. Ada juga memberitahu saya kereta yang mewah dan nombor plat baru juga tenggelam. Saya hanya boleh menelan air liur, terbayang dalam hati, jika kereta second hand citroen saya tenggelam, mahunya menangis dalam hati.

Kebanyakan mangsa banjir hanya dapat membawa barang-barang yang penting sahaja iaitu smartphone, baju sehelai sepinggang dan dokument penting. Air naik secara mendadak dan tidak dijangka menyebabkan mereka tidak sempat mengangkat harta benda ke tempat lebih tinggi. Boleh dikatakan total loss segala harga benda.

Tempat penempatan banjir mulai sesak dengan ribuan orang ramai. Maka masalah bermula dari pakaian, alas lantai, makanan dan minuman, tandas, masalah keselamatan, selimut, tuala wanita, baju bayi, pampers dan segalanya barang keperluan asas. Ada yang kelaparan hanya mengunyah biskut sekeping dua sehari untuk menggalas perut.

Maka IKRAM Pahang mula menggerakkan inisiatif untuk membantu mangsa banjir. Bilik gerakan operasi di aktifkan di Pejabat IKRAM di Bandar Indera Mahkota 8. Saya yang sebelum ini agak tidak aktif terlibat, mula bersemangat berikutan jasa IKRAM negeri Johor terhadap keluarga saya dan adik lelaki yang kemalangan jalan raya.

Pada mulanya saya hanya menghantar pakaian dan makanan ke tempat-tempat penempatan mangsa banjir. Setelah berlalunya 24 jam, tempat-tempat mangsa banjir mendapat stok makanan yang berlebihan. Penempatan yang terputus hubungan akibat dinaiki air adalah tempat paling kritikal kerana stok makanan, pakaian dan keperluan asas sangat sedikit. Hanya bot penyelamat sahaja yang boleh memasuki kawasan tersebut. Tidak dapat digambarkan, kawasan taman yang biasa dilalui sebelum ini menjadi lautan yang luas dengan air sedalam aras dada.

Setelah 2 hari, banjir mulai surut dan terdapat penduduk yang kembali ke rumah masing-masing. Pada waktu yang sama, bantuan mula mencurah masuk dari segenap pelusuk Malaysia. Bantuan dalam bentuk makanan, minuman, pakaian terpakai (yang paling banyak), keperluan dapur dan sebagainya.

Pada waktu itu, team sukarelawan berpeluang untuk masuk ke kampung mengagihkan barangan makanan dan keperluan lain. Alhamdulillah, saya telah diberi kesempatan untuk merasa membuat kerja di lapangan. Kampung yang di lawati merupakan antara terjejas teruk. Sedih mendengar ceritanya seorang Atok yang meredah air sedalam paras dada untuk sampai ketempat yang selamat. Bantuan bot penyelamat yang ditunggu tidak sampai, pun begitu beliau pasrah kerana mengetahui ramai lagi yang lebih memerlukan bantuan dari beliau.

Agihan makanan kepada mangsa banjir. Memang mahu menunjuk-nunjuk agar ia menjadi suatu promosi ke arah kebaikan.

Agihan makanan kepada mangsa banjir. Atok inilah yang meredah air banjir sedalam paras dada untuk menyelamatkan diri.

Saya amat kagum dengan sukarelawan yang turun terdiri dari pelajar IIUM Kuantan, UMP, Shahputra dan sebagainya. Mereka turun tanpa banyak soal. Semua berkumpul untuk membantu mengagihkan bantuan walaupun terpaksa meredah hujan yang lebat.

Rumah mangsa ditenggelami air sedalam aras dada. Kehilangan harta benda.

Rumah mangsa ditenggelami air sedalam aras dada. Kehilangan harta benda.

 

Antara pelajar-pelajar yang terlibat sebagai sukarelawan

Antara pelajar-pelajar yang terlibat sebagai sukarelawan.

Sememangnya kerja pengagihan agak memenatkan. Mujurlah tidak demam akibat meredah hujan. Saya telah mencuba beberapa tugas-tugas, tugas yang paling menyeronokkan ialah mencuci rumah kerana saya boleh bermain-main dengan pressure water jet dan merasa puas hati apabila melihat hasilnya rumah menjadi bersih.

Mempunyai cita-cita untuk memiliki water jet ini untuk menggantikan yang lama. Yang ini lebih "berkuasa".

Mempunyai cita-cita untuk memiliki water jet ini untuk menggantikan yang lama. Yang ini lebih “berkuasa”.

Manakala isteri saya pula “hanya” membuat tugasan di sebalik tabir sebagai admin Facebook IKRAM Pahang. Facebook yang telah lama pasif menjadi aktif semula. Maklum la isteri saya mempunyai kepakaran dalam facebook marketing seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. Page IKRAM Pahang telah melonjak angka “Like” dari 1400 likes sehingga mencecah 2000 like hanya dalam masa tidak sampai 2 minggu. Ini merupakan pencapaian yang agak memberansangkan. Tambahan pula, total like tersebut dicapai hanya dengan organic post sahaja tanpa melibatkan facebook ads. Facebook ads hanya digunakan selama 2 hari sahaja untuk menawarkan khidmat bantuan bersih rumah kepada mangsa banjir sahaja. Akan tetapi, tidak dinafikan facebook page lain seperti IKRAM Pusat dan negeri lain turut menyumbang kepada peningkatan promosi. Hasilnya dari promosi tersebut, ramai lebih sedar dan prihatin. Bantuan dan derma masuk mencurah-curah. Alhamdulillah, bantuan yang masuk telah berjaya diagihkan secepat mungkin, habis dan ramai telah menerimanya.

Saya merasakan apa yang saya buat ini hanyalah picisan kecil dari apa yang telah dilakukan oleh sukarelawan lain. Ada antara mereka sangat hebat berjaya masuk ke kampung yang tidak pernah dikunjungi dan mendapat sebarang bantuan, ada yang berjaya mengutip derma puluhan ribu ringgit dan mengagihkan dengan cekap kepada mangsa banjir, ada yang berada siang malam di pejabat bagi membungkus makanan-makanan dan keperluan, ada yang lagi hebat mengkordinasi segala operasi gerakan bantuan mangsa banjir, dan yang paling hebat ialah antara sukarelawan tersebut ialah mangsa banjir yang total loss harta benda (kecuali kereta berjaya diselamatkan) juga komited selama seminggu membantu mangsa banjir. Kesimpulannya, semua telah menyumbang dari segi tenaga, wang ringgit dan masa. Samaada sumbangan itu banyak atau sedikit, ikhlas dan sebaliknya hanya Allah swt layak menilai.

Setelah menyumbang sedikit picisan tenaga dalam aktiviti ini, saya berharap diri ini menjumpai jawapan kepada persoalan untuk “Apakah yang berbaloi untuk dibawa apabila mati nanti”?

Semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada saya untuk terus memberikan sumbangan walaupun sedikit.

p/s: Jika anda ingin menyumbang walaupun RM1.00 sekalipun, boleh la merujuk kepada Facebook page IKRAM Pahang

Saya yakin semua pihak telah menyumbang dengan penuh komitmen dan keikhlasan, tiada prasangka saya letakkan dalam diri saya. Jutaan terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat.

Post Navigation