Seminar KAGSS Zamsaham

Seminar KAGSS Zamsaham di PWTC: Bersama kawan yang mempunyai impian yang sama

Sejak meminati saham, saya mulai melaburkan duit untuk menghadiri seminar saham. Teringat kata Dr Azizan Osman di seminarnya, pelaburan dalam ilmu, memberikan pulangan tanpa had.

Ya betul. Selagi mana ilmu itu adalah relevan. Ilmu saham tetap relevan, selagi mana Bursa Malaysia wujud, selagi mana pasaran saham wujud.

Saya tidak pernah terbayang sepanjang hayat saya, bahawa saya akan memahami ilmu Analisa Teknikal Saham (Technical Analysis). Alhamdulillah, ini merupakan nikmat dari Allah swt. Mana mungkin saya akan memahami ilmu ini jika hanya sekadar menggoogle dan mengharapkan ilmu percuma dari wikipedia dan belas ihsan google.

Bersama Zamsaham

Berpeluang bergambar dengan En. Zamsaham

Kenapa saya menghadiri kelas Zamsaham? 

Tidak dinafikan, kebanyakan kelas saham sekarang muncul umpama cendawan. Bahkan lebih banyak dari cendawan. Ada yang mempunyai pengalaman melabur saham setahun dua sudah mula membuat kelas saham. Bagi saya tidak salah, asalkan bukan ilmu sesat yang di ajar. Harganya hendaklah berpatutan dengan track rekod pulangan yang diperolehi.

Kebanyakan kelas mengajar tentang perkara yang sama iaitu Teknikal Analisis. Sebab itulah saya tidak berminat menghadiri semua kelas yang ada di Malaysia, memandangkan isi kandungan tetap sama sahaja. Kecuali mereka menawarkan suatu kelainan dan mempunyai penjelasan yang logik disebaliknya.

Ilmu Technical Analysis saham ini adalah ilmu universal. Ianya boleh diaplikasikan dalam forex trading, FCPO (Future Crude Palm Oil), dan mana-mana pasaran hadapan, samaada di pasaran saham Malaysia atau seluruh dunia.

Cuma saya tertarik dengan Zamsaham, jika di google, beliau antara orang yang banyak menulis tentang pelaburan saham. Berkongsi ilmu di blognya. Apa yang di ajar juga merupakan dari pengalaman yang dilalui “sepak terajang” di bursa Malaysia.

Saya lebih berminat menghadiri kelas seseorang jika mereka “mudah berkongsi ilmu” di luar kelas tanpa berkira-kira. Contohnya menulis di blog, menulis buku dan memberikan sedikit nota-nota dan tips percuma. Terdapat juga mereka terlalu berahsia ilmu kecuali dengan menghadiri seminar tertutup mereka. Dah la tertutup, tiada nota diberikan, makan minum di seminar pun tidak diberi. Bagi saya, ilmu teknikal analysis ini adalah suatu terlalu teknikal, jika tiada nota maka amat susah untuk difahami. Jika membayar beribu-ribu, tiada nota, makan minum diberikan, itu adalah suatu perkara yang pelik.

IMG_2832

Nota yang sangat berharga dari kursus Zamsaham

IMG_2834

Diari Invest Saham. Penting untuk catitan. Hanya yang terbaik dari Zamsaham

Setakat ini, saya telah menghadiri sebanyak 5 kelas saham. Beribu-ribu sudah dilaburkan untuk kelas ini.

Adakah berbaloi? Jika mahu diukur dari pulangan saham yang diperolehi masih tidak cover lagi kos kelas yang dihadiri.

Dimanakah silapnya?

  1. Silapnya ialah apabila kita tidak belajar hingga faham betul-betul sebelum melabur.
  2. Membeli saham berdasarkan ikut-ikutan semata-mata dan malas membuat catitan dan sedikit kajian.
  3. Tidak ikut betul-betul jejak langkah tok guru. Jika tok guru ajar supaya menjadi “investor” jangan pula kita gunakan ilmu beliau untuk menjadi “trader”. Jika kita pergi kelas trader, jangan pula kita guna ilmu untuk jadi “investor”. Kesimpulannya, ikut seketul-seketul jejak langkah tok guru yang telah berjaya, insya Allah akan berjaya.
  4. Market Malaysia ada turun naik, jika sudah beli saham,  ia akan mengalami fasa correction dan consolidation. Selagi mana tidak melanggar emergency exit, maka boleh disimpan, dengan syarat company adalah bagus dan pembelian hendaklah dibeli pada titik harga yang betul. Bukan dipucuk-pucuk. Setakat ini saham yang saya beli sudah pun naik, tetapi turun semula. Agak sukar untuk mengetahui bila perlu jual dan ambil untung.

Apa pun, kerugian dengan ilmu dipelajari tidaklah banyak. Saya rasa, jika saya melabur tanpa ilmu, sudah pasti melingkup segala duit pelaburan saya.

Oleh kerana terdapat banyak kelas saham muncul sejak 6 bulan ini. Saya sarankan jika pelabur yang masih newbies, zero knowledge hendaklah membuat sedikit kajian tentang penceramah yang akan mengajar kelas saham. Tidak semua mempunyai duit yang banyak untuk pergi setiap kelas saham. Saya rasa kelas Zamsaham adalah lain dari yang lain kerana beliau mendidik kita menjadi “investor” dan tidak menggalakkan menjadi agresif trader.

Terdapat juga di wall facebook mengutuk Zamsaham. Saya rasa ini adalah kurang adab dalam erti kata berlapang dada menerima sebarang kelainan. Malangnya kaki mengutuk juga adalah menggunakan ID facebook yang agak palsu.

Terdapat juga yang menggunakan bukan nama sebenar untuk menarik orang ramai menghadiri kelas saham. Sikap tidak telus seperti ini adalah petanda bahawa kelas / seminar mereka perlu dijauhi.

Terdapat ramai pengajar saham yang bagus, menggunakan nama yang betul, telus dan jujur selain zamsaham. Contohnya Faizal Yusup, En. Ahmad Rosdi. Tidak semestinya semua perlu menghadiri kelas zamsaham, sesiapa berhak memilih dengan siapa mereka mahu belajar. Tetapi janganlah terlebih menghina orang lain.

Di dalam pasaran saham, satu perkara sahaja yang penting iaitu “untung mengatasi kerugian, dan kerugian hendaklah minimum”. Itulah matlamat sebenar. Tidak kira ilmu pencak silat atau kungfu apa sekalipun yang digunakan, jika untung tidak diperolehi secara konsisten, maka tiada gunanya juga.

Walaupun saya merupakan peserta kelas zamsaham, saya juga mengikuti group facebook saham yang lain. Akan tetapi, pegangan utama saya ialah ilmu yang diajar oleh Zamsaham. Saya mengikuti group facebook saham lain supaya mendapat info-info tambahan untuk menguatkan lagi asas ilmu yang ada.

Sebenarnya terdapat banyak saya ingin kongsikan pengalaman pahit manis tentang saham. Saya telah membina blog khusus tentang pengalaman saham. Blog ini ialah www.diarisaham.com. Oleh kerana blog drsolah.com ini agak rojak sedikit. Saya rasa mahu lebih fokus menulis sesuatu “isu” dalam blog yang lebih fokus.

Semoga bermanfaat, sekian terima kasih.

Bursa Malaysia

Bursa Malaysia

Sememangnya saya agak prejudis dan skeptikal tentang pelaburan saham di Bursa Malaysia. Pernah juga terdetik di hati ingin membuka CDS akaun, tetapi tidak tercapai sehingalah seminggu yang lepas. Saya lebih gemar melabur dalam saham unit amanah kerana ianya lebih mudah. Letak ajo duit dan biarkan ianya diuruskan oleh syarikat pelaburan unit amanah. Tidak perlu monitor setiap hari dan tidak perlu risau. Pulangan dari unit amanah juga agak lumayan sebenarnya iaitu sekitar 10-12% setahun bergantung pada suasana ekonomi.

Tidak dinafikan, dalam diri saya juga terdapat kepercayaan mitos berkenaan pelaburan saham di Bursa Malaysia antaranya ialah berisiko tinggi, istilah “main saham”, spekulasi, “berjudi nasib”, dan banyak lagi. Lagipun saya juga setuju dengan pendapat Azizi Ali “pelaburan tidak menjana pulangan yang tinggi kecuali jumlah yang dilabur dan jangka masa diambil adalah signifikan”.

Sehinggalah suatu hari, terdapat seorang kenalan yang menyatakan bahawa beliau telah berjual beli saham di Bursa Malaysia. Beliau menafikan istilah “main saham” kerana ianya tidak tepat. Yang tepat ialah berjual beli saham dan bergantung pada diri masing-masing samaada ingin berjual beli dalam tempoh yang pendek, sederhana atau panjang. Perbualan yang pendek dengan kenalan tersebut membuatkan saya mula tertarik untuk mengetahui dan belajar lebih lanjut tentang pelaburan saham.

Akan tetapi saya terlebih dahulu suka merujuk pandangan ustaz zaharuddin agar tidak terjebak dengan isu ketidakpatuhan syariah. Risau juga jika dah untung berganda, akhirnya diketahui ianya tidak halal. Untuk keterangan lanjut tentang urusniaga jual beli saham. Saya cadangkan luangkan sedikit masa untuk membaca tulisan UZAR berkenaan jual beli saham di sini

Antara maklumat-maklumat yang membuatkan saya tertarik dengan jual beli saham di Bursa Malaysia ini ialah:

  1. 70% dari saham yang terdapat di Bursa Malaysia adalah patuh syariah. Wow! ini cukup membanggakan sebagai rakyat Malaysia apabila mengetahui perkara ini. Jadi rasanya tidak patut ada isu dalam memilih saham yang patuh syariah. Bagi yang melabur dalam saham yang tidak patuh syariah mungkin terdapat 2 sebab iaitu teramat jahil dan tidak kisah tentang isu halal -haram.
  2. Kebanyakan pelabur runcit (kecil-kecilan) yang melabur di Bursa Saham rugi kerana berjual beli secara membabi buta tanpa ilmu yang secukupnya. Malah ada yang lebih suka melabur berdasarkan ikut suka-suka. Dengan ilmu, teknik, bimbingan mentor dan kumpulan support yang betul, maka kerugian dapat dielakkan.
  3. Mana-mana pelaburan juga mempunyai risiko. Yang membezakan ialah kecil atau besar, ketahanan status kewangan kita untuk bertahan dengan risiko dan pilihan saham yang dibeli.
  4. Zaman sekarang terdapat banyak seminar-seminar dan workshop yang berkualiti, juga facebook group, whatsapp group yang membuatkan komunikasi lebih pantas. Menggunakan teknologi sepenuhnya juga dapat meningkatkan peluang untuk membuat keuntungan.
  5. Di Bursa Malaysia terdapat saham “blue chips” yang kukuh dan stabil. Serta memberikan dividen setiap tahun. Saham ini bagus untuk dibeli untuk pelaburan jangka masa panjang.
  6. Terdapat 2 jenis analisa saham yang terkenal iaitu fundamental dan teknikal. Tidak dinafikan kedua-duanya amat penting dalam pelaburan saham. Terdapat ramai yang telah membuat keuntungan dengan kaedah fundamental, teknikal dan kedua-duanya sekali.
  7. Kebanyakan orang yang kaya dan terkenal, mereka pasti mempunyai saham. Maka kalau nak kaya, kot mana pun kena terlibat juga dengan saham.
  8. Sebenarnya tidak susah untuk jual beli saham, cuma perlukan sedikit pembacaan, hadiri workshop dan seminar. Bermula melabur dengan lebihan duit dikhususkan untuk pelaburan.
  9. Jika dibuat dengan teknik, kaedah dan cara yang betul, ianya berpotensi menjana pulangan yang lumayan.
  10. Tidak ramai golongan Bumiputera yang melibatkan diri dalam jual beli saham berbanding non-bumiputra. Ini adalah suatu perkara agak merugikan.
  11. dan banyak lagi…

Antara starting point yang buat ialah menyertai workshop Basic and Advance Analisis Teknikal Saham pada 25.1.2014 di Shah Alam. Penceramahnya ialah En. Hafiz Faizal.

workshop teknikal analisis

Analisis Teknikal Saham: Basic dan Advance

Oleh kerana otak masih kosong dan blurr lagi tentang saham. Maka tidak dapat saya serap banyak ilmu dari workshop ini. Terutama banyak istilah yang digunakan terlalu teknikal. Akan tetapi, ianya sangat membuka mata saya seluas-luasnya untuk lebih minat lagi tentang pelaburan di Bursa Malaysia. Workshop ini saya berikan rating 3.5/5.0. Ianya amat sesuai bagi mereka yang telah ada CDS akaun saham dan lebih cenderung kepada analisa teknikal dalam berjual beli saham. Teknik dan strategi di ajar bagi mendapatkan keuntungan dan meminimumkan kerugian. Workshop ini FOKUS kepada teknikal analisis sahaja. Nota yang diberikan agak ringkas tetapi padat. Bagi orang yang terlalu newbie, saya rasa tidak sesuai (nama pun advance workshop). Saya rasakan masa satu hari agak pendek untuk menjelaskan banyak perkara tentang saham.

Seterusnya juga saya telah mula membeli ebook dengan tujuan menambahkan kefahaman tentang jual beli saham. eBook tersebut ialah Sistem Saham yang ditulis oleh En.  Khairul Arifin Bin Selamat. Walaupun beliau bukanlah merupakan remiser berlesen, tetapi beliau menulis berdasarkan pengalaman beliau dalam urusan jual beli saham. Sistem yang dinyatakan dalam ebook juga agak teratur yang berkesan pada diri beliau. Sejauh mana ianya berkesan pada orang lain, itu saya tidak pasti. Buku ini lebih berkisar tentang teknikal analisis dan tidak banyak menceritakan fundamental analisis. Yang menarik sekali ialah di akhir ebook ini, beliau menceritakan rutin harian beliau dalam mengkaji pasaran saham. Langkah yang diberikan agak teratur. Saya rasa berminat untuk mencuba kaedahnya dan menguji adakah ianya berkesan.

Setelah itu, saya terbeli juga DVD Momentum Saham yang dihasilkan oleh En. Najib Assadok yang merupakan internet marketers terkenal di Malaysia. DVD ini dihasilkan dengan kerjasama seorang pelabur yang mempunyai pengalaman yang lama dalam jual beli saham di Bursa Malaysia iaitu Cikgu Razak. Ianya merupakan rakaman seminar yang telah dibuat oleh Cikgu Razak berkenaan pelaburan saham. Fokusnya ialah fundamental analisis. Bagi saya rating DVD ini ialah 3.0/5.0. Akan tetapi ianya sangat-sangat sesuai bagi mereka yang zero knowledge tentang saham. Antara maklumat berguna dalam DVD ini ialah tentang asas tentang CDS akaun, kaedah mahu membeli dan menjual saham, asas analisis fundamental. Saya rasa pendekatan yang dibawa oleh Cikgu Razak ini lebih “play safe” dan tidak terlalu agresif dalam pelaburan.

017d7ac926b4d542e4ea5be0c88064d876d9056bbe

DVD Momentum Saham

Walaupun harga DVD ini agak mahal, saya rasa lebih mahal untuk menghadiri kursus kerana yuran kursus berkenaan saham tiada yang dibawah RM10.00 dan ditambah pula dengan kos pengangkutan dan sebagainya. Saya rasa agak berbaloi jika DVD ini dibeli bagi yang kesuntukan masa untuk menghadiri kursus.

Perkara yang saya lakukan setelah menghadiri kursus ialah berjumpa remiser saham dan membuka akaun CDS. Langkahnya sangat mudah, bawa salinan IC, slip gaji dan penyata bank. Isi borang dan sign…tup tup 3 hari sudah siap akaun. Yang menariknya akaun ini tidak perlu deposit dan bayaran. Bahkan remiser tersebut sangat supportive dan sanggup mengajar face-to-face tanpa apa-apa bayaran. Wow!…tapi tidak hairan, kerana setiap kali transaksi jual beli saham (samaada untung atau rugi) beliau tetapi mendapat komisen atas bayaran brokerage fees yang dikenakan. Jadi gunakan remiser anda secara optimum hehehe. Saya beruntung kerana remiser saya juga seorang yang sangat berpengalaman dan menguasai ilmu fundamental dan technical analysis. Beliau mencadangkan saya membaca beberapa buah buku. Antara buku yang saya beli ialah I Love Stocks di tulis oleh Pauline Yong. Ini merupakan satu-satunya buku dihasilkan berdasarkan pasaran saham bursa Malaysia. Buku “starting point” yang terbaik untuk dibaca oleh sesiapa. Cuma ianya dalam bahasa Inggeris, pun begitu lenggok bahasanya amat mudah.

Buku yang sangat bagus untuk tahap permulaan, sangat ringkas, menyeluruh dan padat

Buku yang sangat bagus untuk tahap permulaan, sangat ringkas, menyeluruh dan padat

Perancangan saya di masa hadapan ialah menambah lagi sedikit ilmu pengetahuan dengan menghadiri workshop / kursus berkaitan pelaburan bursa saham. Saya menahan diri saya agar tidak tergesa-gesa meletakkan duit dalam pelaburan yang saya tidak pasti dan tidak dianalisa dengan sebaiknya. Yang penting segala apa tindakan yang dilakukan mestilah mempunyai asas ilmu yang betul. Kemungkinan rugi tetap ada, tetapi yang penting ialah keuntungan diperolehi sentiasa melebihi kerugian.

Antara website yang saya rasa memberikan info yang sangat berkualiti tentang saham ialah: http://www.faizalyusup.net/. Saya rasa ini adalah sumber yang agak sohih memandangkan beliau merupakan remiser yang berpengalaman.

Apa pun, tidak rugi menuntut ilmu. Gunakan teknologi facebook, whatsapp dan google untuk meningkatkan pendapatan dan nilai hidup.

Sekian.