Skill paling penting...

Skill paling penting…

Alhamdulillah, adik saya yang belajar perubatan di Universiti Mansourah Mesir telah berjaya menghabiskan pengajian. Beliau merasa agak risau untuk menempuh alam kerjaya memandangkan tidak biasa dengan sistem hospital di Malaysia.

Pada pendapat saya, mana-mana graduan doktor dari mana-mana universiti sekalipun akan mengalami suatu tempoh masa  ‘adjustment period’. Biasanya paling cepat pun akan mengambil masa 1 minggu, kebiasaan adalah 2 minggu. Paling malang jika dalam masa sebulan masih belum boleh pick up sistem kerja di hospital.

Masalah-masalah yang dihadapi biasa sewaktu mula bekerja ialah untuk memahami ‘sistem’ pengurusan pesakit, dari saat pesakit datang ke hospital, melalui klinik atau kecemasan, dimasukkan dalam ward, pemeriksaan klinikal dan seterusnya sehinggalah pesakit keluar hospital dalam keadaan sihat atau meninggal dunia. Ke semua proses itu perlu difahami agar kerja yang dilakukan oleh houseman menjadi cekap.

Antara halangan lain bagi houseman sewaktu mula-mula memasuki alam kerjaya ialah untuk menguasai common skill dalam melaksanakan prosedur tertentu seperti blood taking, ABG taking, branula insertion.

Teringat sewaktu zaman saya memulakan kerja sebagai houseman di Jabatan Surgeri HRPZII. Dalam hati, saya bersyukur kerana diletakkan di jabatan yang sederhana sibuk jika dibandingkan dengan Medical atau O&G. Pada awal bekerja agak blurr, tidak mahir dalam melakukan prosedur seperti blood taking. Dalam masa 2 minggu, saya berjaya untuk menguasai kemahiran tersebut. Teringat juga kawan saya yang lulusan dari Mesir, dia mengeluh dan selalu berdoa agar berjaya menguasai kemahiran memasukkan branula, dan blood taking. Sekarang beliau bukan setakat mahir bahkan dalam program master klinikal dan akan menjadi pakar tidak lama lagi.

Sewaktu houseman, saya menetapkan matlamat bagi diri saya agar menguasai kemahiran tertentu dalam setiap posting. Untuk posting pertama iaitu posting surgeri saya bercita-cita agar dapat melakukan prosedur dengan mahir seperti chest tube insertion, CVP line insertion, suturing simple wound. Bagi posting O&G pula, saya cuba belajar cara menggunakan mesin ultrasound dari MO untuk kes-kes yang simple seperti location of placenta, fetal parameter, AFI. Untuk posting pediatrik saya menetapkan matlamat agar mahir dengan IV line insertion dan intubation. Walaupun kesemua prosedur ini agak mudah dan remeh bagi MO dan pakar-pakar yang agak senior, tetapi ianya sangat berharga dan menyumbang sesuatu yang tidak ternilai dalam menyelamatkan nyawa pesakit.

Posting yang paling bermakna bagi saya ialah Posting Anaesthesiology. Di dalam posting inilah saya belajar banyak perkara untuk melengkapkan diri dengan skill-skill yang menjadikan saya lebih survivor apabila dihantar ke hospital daerah. Antara skill yang sangat bermakna bagi saya ialah femoral line insertion, CVP short line insertion (short line) dan yang paling penting ialah Intubation. Bagi saya, tiadalah guna menjadi seorang doktor jika tidak tahu melakukan prosedur intubation kerana itulah prosedur asas yang sangat penting.

Pun begitu, masih banyak lagi skill-skill yang saya belum mahir. Saya merasakan hanya menguasai tidak sampai 1% dari skill-skill klinikal yang pelbagai. Pada masa sekarang, saya rasa skill-skill yang dipelajari tidak lagi digunakan memandangkan saya menukar halatuju dalam bidang preklinikal.  Alangkah baiknya, jika dapat di transferkan sudah pasti saya akan berikan pada adik saya segala skill yang dipelajari.

Pada masa sekarang, saya rasa survivor houseman ditentukan oleh Attitude dan Knowledge. Saya lebih suka menekankan attitude kerana sehebat mana sekalipun ilmu yang ada belum pasti mereka boleh menjadi seorang doktor yang baik. Akan tetapi, knowledge hendaklah pada tahap sekurang-kurangnya menjadikan mereka doktor yang kompetitif. Kalau kosong ilmunya, agak susah juga untuk survive.

Saya melihat houseman sekarang lebih mencabar di alam kerjaya mereka. Zaman sekarang teknologi berkembang pesat, pesakit mungkin lebih bijak dan terlebih bijak dari doktor. Di sini saya ingin mencadangkan agar houseman menggunakan teknologi yang ada seperti smartphone sebagai leverage untuk rujukan pantas dalam sesuatu isu.

Saya mengucapkan selamat berkerjaya pada adik lelaki saya. Saya yakin generasi zaman sekarang berpotensi untuk menjadi lebih baik dari zaman saya. Semoga segalanya dipermudahkan. Hidup anda baru bermula….

Alhamdulillah, pada minggu yang lepas sebelum PRU13, saya telah mendapat tunjuk ajar dari rakan seperguruan tentang petunjuk ke arah menulis thesis dengan mudah. Saya sangat gembira kerana mendapat tunjuk ajar ini kerana sebelum ini saya hanya tahu kaedah penulisan berdasarkan kaedah KJ Method yang lebih sesuai kepada penulisan buku. KJ Method juga merupakan kaedah yang hebat dan boleh digunakan untuk menulis thesis, tetapi terdapat beberapa perkara lain perlu dipelajari lagi untuk memantapkan dan mempercepatkan penulisan thesis.

Buat masa sekarang, secara ikhlas, saya masih termangau-mangau dalam mencari ‘tajuk’ yang sesuai untuk kajian peringkat Phd. Pertemuan secara tidak rasmi telah dibuat dengan bakal-bakal supervisor yang berpotensi. Akan tetapi masih keliru dalam menetapkan bidang kajian yang hendak dibuat.

Antara perkara yang saya ingin kongsikan ialah tentang penulisan thesis ialah seperti gambar dibawah ini.

20130513-161535.jpg

Saya cukup kagum dengan Dr Othman Talib yang sangat bersungguh-sungguh membantu ramai pelajar Post Graduate dalam proses menulis thesis dengan cepat. Terdapat 6 siri ebook yang ditulis dengan penulisan simple berharga sangat murah iaitu RM60.00 sahaja.  Saya hanya berjaya membaca sampai siri-2 setakat ini. Masih banyak lagi Siri-siri yang perlu dibaca. Sememangnya saya rasa ini adalah buku yang terbaik setakat saya jumpai dan komprehensif yang menceritakan tentang mudahnya menulis thesis.

Antara perkara baru yang saya pelajari dari buku ini ialah: kaedah mencari ‘tajuk’ atau bidang yang sesuai untuk dijadikan title research. Beliau juga memperkenalkan beberapa kaedah yang mudah untuk menulis article / literature review dengan pantas.

Sebelum ini, skill yang ada pada saya tentang menulis thesis lebih kepada technical skill yang melibatkan : penggunaan microsoft word yang optimum, penggunaan software citation manager (EndNote, Mendeley) dan Dropbox software. Dengan menggunakan teknikal skill dan software diatas, penulisan thesis dapat dipercepatkan. Saya yakin, jika saya berjaya menguasai segala kemahiran yang diterangkan oleh buku Othman Talib, insya Allah penulisan thesis menjadi lebih mudah dan seronok.

Saya mencadangkan agar pelajar Master, Phd dan juga researcher agar membaca buku beliau. Tiada komisen saya perolehi dari beliau. Tetapi saya mengharapkan komisen dari Allah swt jika berkongsi sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Cindai Solah

Syukur alhamdulillah, setelah menghadiri seminar yang percuma semalam (30/03/2013) berkesempatan berjumpa dengan seorang kenalan dari seminar yang lepas. Beliau lebih ceria pada hari ini berbanding dengan seminar yang lepas. Seperti biasa, saya akan bertanya khabar dan ‘progress’ tentang bisnes homestaynya. Alhamdulillah, menurut beliau rumah Homestay Kemaman menjadi sibuk dengan tempahan pelanggan bertalu-talu dan siap di booked terus selama 3 bulan terus. Saya bertanya apakah rahsia pemasaran (marketing strategy) yang digunakan? Beliau berkata, sejak balik dari seminar reset minda yang lepas, dia dan isterinya sentiasa positif, bersyukur dengan apa yang ada. Tiba-tiba rezeki datang tanpa diduga. Perkara ini merupakan tamparan lembut bagi diri saya. Terasa dalam hati “Tiada apa yang berlaku pun dalam hidup aku” . Akan tetapi sebenarnya banyak telah berlaku dalam hidup saya, cuma saya lupa untuk bersyukur. Antaranya ialah apartment saya yang dibeli setahun lebih telah mendapat penyewa bermula March2013

Saya meminati pelaburan hartanah sejak tahun ke -3 bekerja. Bagi saya, impian keemasan adalah untuk memiliki hartanah yang memberikan pendapat pasif sebulan sebanyak lebih RM10 ribu. Akan tetapi, ianya bukan suatu yang  mudah kerana banyak ‘perangkap’ yang perlu diketahui. Tanpa ilmu, boleh menyebabkan kerugian yang sangat tinggi. Oleh itu saya bermula dengan hartanah yang agak murah (bawah RM100k) sebagai permulaan (mengikut saranan buku yang ditulis oleh seorang peguam).

Saya telah pun membeli sebuah apartment medium cost dari seorang agen hartanah pada tahun 2011. Pada mulanya prosedur agak senang memandangkan agen itu bersungguh-sungguh dan pembelian hartanah berjalan dengan baik. Selepas itu agen itu menjanjikan akan membawa masuk penyewa, akan menyelesaikan sambungan elektrik, air, membaiki sedikit kerosakan apartmen. Setelah proses pembelian selesai, agen itu memegang kunci apartment dengan alasan senang baginya untuk membawa masuk penyewa. Setelah setahun berlalu, agen itu agak sukar untuk dihubungi. Saya merasakan seolah-olah meminta sedekah setiap kali hendak menghubungi beliau. Apartment saya tiada penghuni selama setahun. Ia menyebabkan saya kerugian hampir RM4000. Pada awalnya, agen memberitahu bahawa elektrik dan air telah disambung, beberapa kali penyewa sudah booked apartment. Akan tetapi, penyewa telah membatalkan semula hasrat mereka. Saya agak kehairanan dengan perkara ini.

Ianya terjawab setelah saya berjaya mendapatkan kunci apartment tersebut dari agen bawahannya. Agen bawahannya sangat muda, nampak blurr dan bodoh. Tidak keterlaluan saya katakan agak bangang sedikit. Mereka tidak tahu dimana apartment itu terletak, keadaaan apartment, sambungan elektrik, air dan lain-lain. Nampaknya mereka hanya sekadar duduk di kerusi empuk membiarkan penyewa menelefon mereka.  Baru saya tahu, bahawa apartment tersebut tidak mempunya bekalan elektrik dan air lagi. Keadaan apartment kotor, walaupun agen telah berjanji akan membasuh. Wiring yang dibuat sangat teruk, tidak mengikut standard budak sekolah menengah (kemahiran hidup). Saya menanggung kerugian hampir RM1000.00 untuk kos segalanya. Itu tidak dikira dengan kos servis apartment, cukai majilis daerah, indah water dan kos penyambungan elektrik dan air. Patutlah tiada penyewa sanggup masuk apartment tersebut, ini adalah kerana tiada sambungan elektrik dan air dibuat. Saya kira, jin dan setan pun belum tentu sanggup nak duduk rumah dalam keadaan macam ini.

Alhamdulillah, sejurus sebelum seminar reset minda saya hadiri, saya berpeluang pergi ke apartment saya untuk menyelesaikan sambungan elektrik, air, menyelesaikan kos tertunggak. Setelah program berakhir, saya telah tekad untuk turun semula ke KL, untuk membasuh dan meletakkan iklan dalam mudah.my. Saya juga telah melantik agen tidak rasmi yang lebih dipercayai untuk menguruskan penyewa masuk ke apartment. Alhamdulillah agen kali ini adalah penduduk kawasan tersebut, yang lebih amanah dan jujur. Seharian saya membasuh apartment, memanggil juruteknik elektrik untuk membaiki wiring bangang yang dibuat oleh agen hartanah. Saya bersyukur kerana segala urusan telah dimudahkan oleh Allah swt.

Setelah diiklankan, bertalu-talu panggilan telefon masuk, sampailah ke hari ini. Apartment telah dibooked dan disewa tidak sampai seminggu. Barulah saya tahu kenapa apartment tidak disewa, ini adalah disebabkan agen hartanah tahi kucing sebelum ini yang pemalas, tidak komited membantu pelanggan.

Pengajaran yang saya dapat ialah:

  1. Jika mahu melibatkan diri dengan pelaburan hartanah, beli lah yang murah terlebih dahulu (bawah RM100k) supaya jika tiada penyewa maka bayaran bulanan bank tidak memberi kesan besar ke atas kewangan kita.
  2. Saya lebih suka membeli apartment kerana terdapat cash-flow positif disamping capital appreciation, tetapi ianya agak perlahan dan sedikit sahaja.
  3. Pembelian melalui agen hartanah biasanya agak mudah kerana mereka menguruskan pinjaman dan khidmat guaman. Akan tetapi..
  4. JANGAN sesekali membiarkan urusan penyewa itu diberi kepada agen hartanah, kerana sebenarnya agen yang ada kebanyakan sangat muda umurnya (lepasan universiti), lebih malang lagi sangat pemalas, mereka tidak pernah melihat apartment tersebut. Hanya setakat mengiklankan di website sahaja.
  5. Agen hartanah sebenarnya pemalas untuk menguruskan urusan sewa, tetapi mereka sangat mengharap untuk mendapat komisyen duit sewa.
  6. Biasanya apartment dikawasan strategik akan mendapat penyewa paling lambat pun dalam masa 2 minggu.
  7. Sediakan duit back up sekurang-kurangnya selama 6 bulan loan instalment untuk persediaan jika tiada penyewa.
  8. Adalah lebih baik jika hartanah yang disewakan berdekatan dengan tempat tinggal kita
  9. Hartanah tidak semestinya ASET, ianya boleh menjadi LIABILITI jika tidak diuruskan dengan betul
  10. Paling penting, tuntut ilmu dengan membaca buku, menghadiri seminar berkenaan hartanah. Jangan beli ikut suka hati sahaja, kelak tidak mampu membayar pinjaman bulanan bank, hartanah kena lelong, nama kena blacklist oleh bank.

Alhamdulillah, penyewa sudah pun memberi mesej meminta no akaun bank untuk membuat bayaran sewa. Insya Allah mulai bulan depan, beban bayaran pinjaman bulanan bank terlepas, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan ini. Saya berdoa agar Allah swt mengurniakan penyewa yang beriman dan jujur. Insya Allah saya akan memberikan servis yang terbaik untuk penyewa.

Perancangan saya selepas ini masih sama, ingin membeli lagi apartment ditempat strategik untuk disewakan. Insya Allah pengajaran dari pengalaman ini saya akan gunakan sebaiknya agar tidak berulang kembali.

Catatan isteri saya sewaktu seminar

Catatan isteri saya sewaktu seminar

Pada post yang telah lepas, saya telah menulis tentang “kesilapan-kesilapan” yang saya lakukan dalam pengurusan kewangan keluarga. Saya telah membuat beberapa perubahan sejak hampir 2 bulan lalu. Alhamdulillah, saya merasa lebih gembira dan hati tenang kerana dapat bercuti. Isteri saya juga telah diberi kuasa veto untuk membuat keputusan tentang percutian dan jalan-jalan cari makan memandangkan beliau memegang kuasa mutlak untuk menguruskan tabung “Play Account”.

Hari ini saya ingin berkongsi secara detail tentang pengurusan yang saya rasakan adalah lebih baik berbanding apa yang saya buat sebelum ini. Apa yang saya kongsikan di sini bukanlah pandangan sebagai seorang pakar kewangan, tetapi ianya lebih kepada berkongsi pengalaman. Jika anda inginkan sesuatu yang lebih tepat, bolehlah mencari pakar pengurusan kewangan (certified financial planner / certified islamic financial planner) yang bertauliah. Akan tetapi, setakat apa yang saya pelajari berdasarkan buku-buku yang dibaca, konsepnya masih sama.

Konsep utama yang paling penting ialah “saving” atau menyimpan duit gai yang diperolehi. Di sini, kebanyakan buku-buku kewangan akan menekankan konsep “pay yourself first” iaitu bayar diri anda sendiri. Tetapi maknanya yang mendalam ialah, hendaklah kita menyimpan sebahagian (%) duit gaji yang diperolehi ke dalam simpanan kita yang tidak akan disentuh. Jika berdasarkan buku Azizi Ali “Jutawan Planet Jupiter”, hendaklah menyimpan sekurangnya 10%-30% dari gaji yang diperolehi dan fokus kepada pembinaan duit simpanan rezab. Duit rezab ini berfungsi sebagai duit kecemasan tatkala terputus pendapatan yang membolehkan hidup sekurang-kurangnya 6 bulan. Ini bermakna duit rezab ini tidak boleh disentuh kecuali berlaku perkara diatas. Kelebihan kaedah duit rezab ialah, ia boleh bertindak sebagai “kusyen” penyerap hentakan tatkala berlaku kegawatan ekonomi. Setelah 6 tahun saya dan isteri saya mengamalkan kaedah membina duit rezab ini, kami sudah berjaya menyimpan cukup-cukup wang untuk kecemasan selama 6 bulan. Kami juga telah mula melabur dalam unit amanah dan sedikit dalam hartanah. Akan tetapi, pulangan dari pelaburan sebenarnya adalah tidaklah lumayan memandangkan konsep pelaburan menekankan jangka masa yang sangat panjang.

Berdasarkan ilmu ‘baru’ yang kami perolehi semasa seminar, gaji yang diperolehi hendaklah dipecahkan kepada enam (6) akaun iaitu:

1. Financial Freedom Account (FFA) – 10% dari gaji

Setiap kali gaji masuk, maka perkara yang WAJIB dilakukan ialah menyimpan terus sebanyak 10% dari jumlah gaji yang diterima. Contohnya gaji yang diterima ialah RM10 000, maka sebaik sahaja gaji masuk hendaklah menyimpan RM1000 ke dalam akaun yang tidak akan disentuh sehingga umur mencecah 55 tahun. Jika duit tidak mencukupi untuk disimpan kerana bebanan hutang piutang keliling pinggang dan tengkuk, maka bermulalah walaupun dengan nilai yang kecil iaitu RM0.10, RM1, RM10, RM100 tetapi hendaklah KONSISTEN setiap bulan. AWAS, akaun ini tidak boleh dikorek semula melainkan umur mencecah 55 tahun. Di manakah duit ini perlu disimpan? Ada yang mencadangkan ianya disimpan dalam simpanan tetap (fixed deposit) kerana ianya lebih stabil dan selamat. Ada pendapat extreme mencadangkan lepas simpan bakar terus buku akaun, supaya duit hanya boleh masuk tapi tak boleh keluar. Tetapi saya mengesyorkan agar simpanan dibuat dalam akaun islamik seperti tabung haji yang juga selamat dan memberikan prestasi pulangan yang tinggi setiap tahun. Bagi saya ini adalah akaun yang sangat-sangat WAJIB kerana ia penentu keadaan hidup di masa hadapan kita sewaktu pencen. Persoalan yang mungkin timbul adalah; saya sudah ada KWSP atau pencen?!. Ya betul, akan tetapi, kedua-dua skim itu adalah suatu yang ‘belum pasti’ diperolehi memandangkan polisi kerajaan mungkin boleh berubah-ubah. Selain itu, kita tidak mempunyai kawalan ke atas duit pencen dan kwsp. Saya juga mendapat tahu bahawa terdapat skim PRS (Private Retirement Scheme) yang menguruskan duit simpanan dan pelaburan untuk persaraan kita. Duit tersebut akan dilabur ke dalam saham unit amanah islamik bergantung kepada profil risiko diri kita. Buat masa ini saya tidak sempat lagi untuk mengkaji tentang PRS ini, akan tetapi saya merasakan secara umumnya ianya sangat bagus kerana ia mendisiplinkan diri kita untuk menyimpan dan tidak mengeluarkan duit sehingga umur mencecah 55 tahun.

2. Long Term Saving & Spending Account (LTSS) – 10% dari gaji

Akaun ini adalah simpanan untuk perbelanjaan dalam jangka masa panjang. Contohnya jika saya ingin membeli sebuah rumah banglo, kereta baru, peti sejuk baru dan menyelesaikan pinjaman perumahan lebih cepat dari sepatutnya, maka akaun ini akan digunakan. Matlamat yang ditetapkan hendaklah bersifat jangka masa panjang bukannya sebulan dua atau setahun dua. Kelebihan mempunyai akaun seperti ini ialah ia mengelakkan kebocoran dari akaun FFA. Ianya memberikan ketenangan kepada diri kita kerana tidak perlu mengorek simpanan yang FFA yang terpenting. Duit dalam akaun ini digunakan untuk membeli berdasarkan keperluan bukannya berdasarkan nafsu kemahuan yang bersifat impulsive.

3. Necessity Account (NEC) – 55% dari gaji

Akaun ini digunakan untuk menampung kos ASAS kehidupan bulanan seperti loan rumah, kereta, petrol, elektrik, air, kos tadika anak-anak, barangan dapur, streamyx dan lain-lain. Akan tetapi, perlu diingat, percutian, makan-makan di secret recipe, kenny rogers bukanlah dikorek dari akaun ini. Akaun ini HANYA untuk menampung BASIC needed dalam keluarga. Kalau nak bermewah-mewah dan enjoy-enjoy maka hendaklah mengorek dari akaun seterusnya. Biasanya bagi yang berpuluh tahun kerja tanpa mempunyai perancangan pengurusan kewangan, kos keperluan sangat tinggi, malah lebih tinggi dari gaji yang diperolehi. Ini akibat dari sifat boros, membeli mengikut nafsu (tahsiniyyat) bukannya keperluan (dhoruriyyat atau hajiyyat). Keadaan ini dipanggil belanjawan defisit (seperti yang berlaku di negara kita). Saya pernah tergolong dalam golongan defisit selama hampir 2 tahun. Akhirnya saya dan isteri mengambil langkah tekad dengan mengawal semula keadaan kewangan kami dengan lebih berdisiplin. Sememangnya selepas 6 bulan, berlaku peningkatan mendadak dari segi kualiti status kewangan kami.

4. Education Account (EDU) – 10% dari gaji

Saya dulu tersilap faham dengan tabung pendidikan. Saya merasakan tabung-tabung ini adalah untuk pendidikan anak-anak memasuki universiti bagi mengelakkan mereka meminjam duit PTPTN. Akan tetapi, saya lupa, bahawa saya adalah orang yang paling penting untuk di educate buat masa ini. Dua bulan yang lepas, kami telah membuat simpanan sebanyak 10% dari total gaji untuk tujuan pendidikan diri kami bukannya simpanan pendidikan anak-anak. Duit yang disimpan itu dibelanjakan terus setiap bulan untuk membeli buku-buku yang meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam diri kami. Sehingga sekarang, kami telah menghadiri 2 seminar yang agak mahal (pada pandangan orang) dan membeli buku yang agak mahal (pada pandangan orang). Setelah saya berfikir semasak-masaknya, pelaburan dalam pendidikan diri sendiri adalah pelaburan yang paling tinggi pulangannya dengan syarat kita melaksanakan ilmu yang dipelajari secepat mungkin “fast action fast result”. Insiden yang berlaku sebelum ini juga membuka mata saya agar melabur lebih agresif untuk pendidikan diri sendiri. Antara pulangan yang sangat bermakna bagi diri saya dalam pendidikan diri sendiri ialah; terselamat dari skim scam, penurunan berat badan (setelah hampir 5 mengidamkanya), part time bisnes isteri saya dan reset minda. Saya rasa inilah akaun yang sangat bermakna untuk diri saya.

5. Play Account (PA) – 10% dari gaji

Inilah akaun yang sangat membahagiakan isteri saya. Beliau sudah lama mengidam untuk berjalan-jalan melancong dan cuti-cuti malaysia. Sebelum ini kami bekerja sebagai MO di Hospital yang sangat sibuk, maka hendak bercuti adalah suatu perkara yang mustahil. Setelah menghadiri seminar, saya dengan berbesar hati melantik isteri saya menjadi “Head of Department, CEO, Director, etc” bagi akaun ini. Hatta, saya tidak punyai kuasa sedikit pun untuk campur tangan dalam keputusan beliau. Jika beliau mahukan pergi bercuti di Gambang Water Park, maka tugas saya hanya menjadi driver kereta dan tukang anggup kepala tanda setuju. Percutian kami yang pertama ialah semasa Tahun Baru Cina 2013, kami bercuti-cuti ke masjid kristal di Terengganu. Ikhlasnya, saya bukanlah seorang yang suka berjalan-jalan, tetapi demi keluarga saya paksa diri ini. Hasilnya saya gembira kerana anak-anak dan isteri gembira. Akaun inilah memberi ruang kepada jiwa kita untuk berasa enjoy dan gembira untuk hidup “live your life to the fullest”. Tidak perlu menjadi jutawan baru hendak bermula untuk bercuti-cuti dan bergembira, kerana waktu tu mungkin kita sudah tua kerepot dengan pelbagai penyakit arthritis. Ianya boleh dimulakan sekarang tetapi mengikut kemampuan iaitu hanya 10% dari gaji. Pendek kata, kalau nak isteri gembira, bagi mereka kuasa veto untuk menguruskan akaun ini. Tetapi ingat! HANYA 10% dari gaji sahaja.

6. Charity Account – 5% dari gaji

Ini merupakan akaun untuk menjana saham akhirat. 2.5% sudah digunakan untuk membayar zakat. Selebihnya kami peruntukkan untuk ibu bapa, adik-adik yang masih belajar, tabung keamanan syria. Buat masa ini, jumlah nilai peruntukan ini agak sedikit memandangkan gaji kami masih ciput. Insya Allah, dengan peningkatan jumlah pendapatan kami akan konsistenkan percentage ini sehingga nilai sumbangan juga meningkat. Yang penting ialah konsisten bersedekah, bukan segedebuk sekali dalam 100 tahun.

Kesimpulannya: asasnya kena menyimpan, berbelanja dengan berhemah, jangan boros dan rancang sebaik-baiknya kewangan.

Bagaimana pula jika timbul persoalan? Saya tidak dapat menyimpan kerana beban hutang? Belanjawan defisit? Zero saving? Soalan ini pernah ditanya sewaktu seminar tersebut. Maka jawapannya secara umum ialah, kurangkan (cut down) perbelanjaan yang tidak perlu (membazir) dan tingkatkan pendapatan. Maka dari situlah, saya yakin bahawa setiap orang jika hendak mengubah hidup ke arah lebih baik hendaklah bermula untuk membuat part time job atau bisnes. Insya Allah, jika ada peluang saya akan bercerita tentang apa minat saya tentang bisnes yang tidak menjadi-jadi heheheh.

Semoga perkongsian ini dapat membantu untuk meningkatkan mutu kehidupan kita semua.

Koleksi buku kewangan

Koleksi buku kewangan

Kerap kali saya berjumpa dengan manusia yang terlalu berkira-kira dalam isu untuk membeli buku dan menghadiri seminar. Minda mereka sudah di ‘setting’ kan dengan mentaliti “membeli buku adalah merugikan”, “membeli buku tidak akan menjadikan kaya”, “ilmu dapat dicari melalui sheikh google”, “membaca buku membazirkan masa”.

Sepanjang saya hidup, saya tidak pernah berkira membeli buku. Teringat sewaktu di Tahun 2 medical student, saya menyimpan duit biasiswa yang diperolehi dan menggunakannya untuk membeli buku Atlas Histopathology (bukannya photostat), sememangnya saya rasa sedikit menyesal kerana apabila junior meminjam buku tersebut, ianya telah hilang. Dah la harga buku itu sangat mahal, sekitar RM200.

Pada masa sekarang, apabila sudah berkerjaya, mempunyai duit sendiri, saya lebih fokus kepada pembelian buku berdasarkan personal interest. Personal interest saya bermula dengan buku-buku pengurusan kewangan peribadi, pelaburan hartanah, kemahiran komputer, membaca, mengingat dan buku-buku agama. Sememangnya terdapat peruntukan untuk menebus balik cukai ke atas setiap pembelian buku (maksimum RM1000 pembelian buku).

Secara jujur saya katakan JANGAN BELI BUKU jika kita mengharapkan:

1. Buku boleh menjadikan kita jutawan sekelip mata TANPA usaha yang betul dan gigih

2. Buku boleh mendatangkan duit kedalam akaun simpanan kita tiba-tiba

3. Buku menjadikan kita seorang pakar dalam sekelip mata

4. Buku boleh memberikan segala macam ilmu dengan hanya satu pembelian sebuah buku sahaja

Sememangnya saya tidak lagi mencapai taraf jutawan walaupun hampir setiap tahun saya membeli buku. Bermula dari tahun 2004 saya menghabiskan sekitar RM1000.00 untuk membeli buku. Jika dicampur jumlah duit saya dan isteri saya, ianya mencecah hampir RM2000 setahun kami “membazirkan duit membeli buku”.

Secara jujur saya katakan, saya juga kadang kala merasa membeli buku ini adalah merugikan.

Sehinggalah terjadinya suatu kejadian pada bulan lepas.

Saya telah dijemput untuk berjumpa dengan wakil dan pengasas sebuah syarikat yang beroperasi di negeri Antah Berantah. Orang yang memperkenalkan saya dengan syarikat tersebut merupakan kenalan yang sudah lama. Setelah melalui satu jam setengah sesi penerangan tentang pelaburan dari wakil syarikat, saya dapat meringkaskan bahawa:

1. Pelaburan mereka dikatakan berasaskan hartanah iaitu dengan membeli tanah lot pertanian kosong. Kemudian tanah tersebut ditukar status dari pertanian kepada tanah kediaman. Sepanjang pengetahuan saya, pelaburan seperti ini sememangnya boleh menjana keuntungan sehingga 100% setahun kerana setelah tanah ditukar status dan dipecahkan lot, harga akan meningkat dengan mendadak. Akan tetapi, ianya HANYA berlaku jika tanah itu sememangnya ditempat strategik dan peluang untuk mendapat tanah seperti ini sangat-sangat sedikit.

2. Syarikat tersebut juga mengatakan mengusahakan tanaman gaharu melalui program joint venture ke atas tanah lot yang dibeli. Telah sedia maklum pokok gaharu ini mempunyai banyak potensi untuk dimajukan dalam pelbagai produk. Akan tetapi, isunya ialah Thailand juga telah menjadi pengeluar gaharu, maka secara tak langsung persaingan agak sengit. Lagipun syarikat tersebut tidak mengatakan secara jelas ke manakah gaharu akan dijual. Sepanjang pengalaman saya, taktik ini agak sama seperti Jati Emas, Serai wangi di mana orang menanamnya akhirnya tidak dapat menjualnya kerana tiada orang membeli produk tersebut. Jati emas juga menjadi salah satu projek gagal dan scam kerana penanaman pokok tersebut agak sukar untuk hidup.

3. Satu lot tanah yang ditawarkan jika ditanam gaharu boleh mendatangkan keuntungan sekitar 1000% dalam masa 5 tahun. Ini merupakan suatu kejutan pada saya. Yang lebih terkejut ialah mereka juga mencadangkan agar pinjaman peribadi dibuat, dan akan mendapat keuntungan bulanan dengan pelaburan yang dibuat akan cukup untuk cover bayaran bulanan bank.

4. Mereka juga memberikan satu jaminan akan membeli balik tanah jika kita tidak mahu dengan harga top up 8%/tahun dari harga asal tanah. Ini suatu yang agak meragukan dari sudut syariah kerana jaminan beli balik.

Dan banyak lagi tawaran menarik yang ‘too good to be true’ ditawarkan oleh mereka.

Alhamdulillah, dengan ilmu dan pembacaan buku selama ini, saya dapat mengenali dengan mudah penipuan mereka. Pelaburan ini sangat berisiko tinggi kerana 100% saya yakin adalah penipuan semata-mata. Saya bersyukur kerana diberi petunjuk oleh Allah swt supaya tidak meleburkan duit dalam program scam ini. Sekarang barulah saya sedar, bahawa kos yang dikeluarkan untuk membeli buku sememangnya berbaloi. Jika dikira pulangan pelaburan membeli buku dari kejadian ini, saya sudah terselamat sekurang-kurangnya RM50-100 ribu. Jika saya masih dengan mentaliti bangang seperti pada tahun pertama saya bekerja, sudah pasti saya akan muflis dan bankrap. Saya juga sangat bersyukur kerana orang yang memperkenalkan saya kepada syarikat tersebut pun tidak terlanjur menjadi agen mempromosikan perkara ini. Dia juga terselamat dari melebur dalam skim ini. Jika dinilai keseluruhan manfaat yang diperolehi dengan kos buku yang dibeli selama ini, pulangannya untung seolah-olah tiada had.

Oleh itu, mulai bulan lepas, saya dan isteri telah menyusun semula perancangan kewangan dengan lebih baik. Kami membuat peruntukan khusus 10% dari gaji setiap bulan untuk meningkatkan ‘education level’ kami. Bukan setakat buku yang akan kami beli, tetapi kami telah mula menghadiri seminar-seminar yang agak ‘mahal’ yang sememangnya sangat berbaloi untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran kami.

Kesimpulannya, jangan berkira sangat untuk menuntut ilmu melalui seminar dan membeli buku kerana ianya suatu pelaburan yang paling tinggi pulangannya. Peruntukkan 10% dari gaji setiap bulan untuk meningkatkan ilmu agar kita lebih survival untuk masa hadapan.