Bursa Malaysia

Bursa Malaysia

Sememangnya saya agak prejudis dan skeptikal tentang pelaburan saham di Bursa Malaysia. Pernah juga terdetik di hati ingin membuka CDS akaun, tetapi tidak tercapai sehingalah seminggu yang lepas. Saya lebih gemar melabur dalam saham unit amanah kerana ianya lebih mudah. Letak ajo duit dan biarkan ianya diuruskan oleh syarikat pelaburan unit amanah. Tidak perlu monitor setiap hari dan tidak perlu risau. Pulangan dari unit amanah juga agak lumayan sebenarnya iaitu sekitar 10-12% setahun bergantung pada suasana ekonomi.

Tidak dinafikan, dalam diri saya juga terdapat kepercayaan mitos berkenaan pelaburan saham di Bursa Malaysia antaranya ialah berisiko tinggi, istilah “main saham”, spekulasi, “berjudi nasib”, dan banyak lagi. Lagipun saya juga setuju dengan pendapat Azizi Ali “pelaburan tidak menjana pulangan yang tinggi kecuali jumlah yang dilabur dan jangka masa diambil adalah signifikan”.

Sehinggalah suatu hari, terdapat seorang kenalan yang menyatakan bahawa beliau telah berjual beli saham di Bursa Malaysia. Beliau menafikan istilah “main saham” kerana ianya tidak tepat. Yang tepat ialah berjual beli saham dan bergantung pada diri masing-masing samaada ingin berjual beli dalam tempoh yang pendek, sederhana atau panjang. Perbualan yang pendek dengan kenalan tersebut membuatkan saya mula tertarik untuk mengetahui dan belajar lebih lanjut tentang pelaburan saham.

Akan tetapi saya terlebih dahulu suka merujuk pandangan ustaz zaharuddin agar tidak terjebak dengan isu ketidakpatuhan syariah. Risau juga jika dah untung berganda, akhirnya diketahui ianya tidak halal. Untuk keterangan lanjut tentang urusniaga jual beli saham. Saya cadangkan luangkan sedikit masa untuk membaca tulisan UZAR berkenaan jual beli saham di sini

Antara maklumat-maklumat yang membuatkan saya tertarik dengan jual beli saham di Bursa Malaysia ini ialah:

  1. 70% dari saham yang terdapat di Bursa Malaysia adalah patuh syariah. Wow! ini cukup membanggakan sebagai rakyat Malaysia apabila mengetahui perkara ini. Jadi rasanya tidak patut ada isu dalam memilih saham yang patuh syariah. Bagi yang melabur dalam saham yang tidak patuh syariah mungkin terdapat 2 sebab iaitu teramat jahil dan tidak kisah tentang isu halal -haram.
  2. Kebanyakan pelabur runcit (kecil-kecilan) yang melabur di Bursa Saham rugi kerana berjual beli secara membabi buta tanpa ilmu yang secukupnya. Malah ada yang lebih suka melabur berdasarkan ikut suka-suka. Dengan ilmu, teknik, bimbingan mentor dan kumpulan support yang betul, maka kerugian dapat dielakkan.
  3. Mana-mana pelaburan juga mempunyai risiko. Yang membezakan ialah kecil atau besar, ketahanan status kewangan kita untuk bertahan dengan risiko dan pilihan saham yang dibeli.
  4. Zaman sekarang terdapat banyak seminar-seminar dan workshop yang berkualiti, juga facebook group, whatsapp group yang membuatkan komunikasi lebih pantas. Menggunakan teknologi sepenuhnya juga dapat meningkatkan peluang untuk membuat keuntungan.
  5. Di Bursa Malaysia terdapat saham “blue chips” yang kukuh dan stabil. Serta memberikan dividen setiap tahun. Saham ini bagus untuk dibeli untuk pelaburan jangka masa panjang.
  6. Terdapat 2 jenis analisa saham yang terkenal iaitu fundamental dan teknikal. Tidak dinafikan kedua-duanya amat penting dalam pelaburan saham. Terdapat ramai yang telah membuat keuntungan dengan kaedah fundamental, teknikal dan kedua-duanya sekali.
  7. Kebanyakan orang yang kaya dan terkenal, mereka pasti mempunyai saham. Maka kalau nak kaya, kot mana pun kena terlibat juga dengan saham.
  8. Sebenarnya tidak susah untuk jual beli saham, cuma perlukan sedikit pembacaan, hadiri workshop dan seminar. Bermula melabur dengan lebihan duit dikhususkan untuk pelaburan.
  9. Jika dibuat dengan teknik, kaedah dan cara yang betul, ianya berpotensi menjana pulangan yang lumayan.
  10. Tidak ramai golongan Bumiputera yang melibatkan diri dalam jual beli saham berbanding non-bumiputra. Ini adalah suatu perkara agak merugikan.
  11. dan banyak lagi…

Antara starting point yang buat ialah menyertai workshop Basic and Advance Analisis Teknikal Saham pada 25.1.2014 di Shah Alam. Penceramahnya ialah En. Hafiz Faizal.

workshop teknikal analisis

Analisis Teknikal Saham: Basic dan Advance

Oleh kerana otak masih kosong dan blurr lagi tentang saham. Maka tidak dapat saya serap banyak ilmu dari workshop ini. Terutama banyak istilah yang digunakan terlalu teknikal. Akan tetapi, ianya sangat membuka mata saya seluas-luasnya untuk lebih minat lagi tentang pelaburan di Bursa Malaysia. Workshop ini saya berikan rating 3.5/5.0. Ianya amat sesuai bagi mereka yang telah ada CDS akaun saham dan lebih cenderung kepada analisa teknikal dalam berjual beli saham. Teknik dan strategi di ajar bagi mendapatkan keuntungan dan meminimumkan kerugian. Workshop ini FOKUS kepada teknikal analisis sahaja. Nota yang diberikan agak ringkas tetapi padat. Bagi orang yang terlalu newbie, saya rasa tidak sesuai (nama pun advance workshop). Saya rasakan masa satu hari agak pendek untuk menjelaskan banyak perkara tentang saham.

Seterusnya juga saya telah mula membeli ebook dengan tujuan menambahkan kefahaman tentang jual beli saham. eBook tersebut ialah Sistem Saham yang ditulis oleh En.  Khairul Arifin Bin Selamat. Walaupun beliau bukanlah merupakan remiser berlesen, tetapi beliau menulis berdasarkan pengalaman beliau dalam urusan jual beli saham. Sistem yang dinyatakan dalam ebook juga agak teratur yang berkesan pada diri beliau. Sejauh mana ianya berkesan pada orang lain, itu saya tidak pasti. Buku ini lebih berkisar tentang teknikal analisis dan tidak banyak menceritakan fundamental analisis. Yang menarik sekali ialah di akhir ebook ini, beliau menceritakan rutin harian beliau dalam mengkaji pasaran saham. Langkah yang diberikan agak teratur. Saya rasa berminat untuk mencuba kaedahnya dan menguji adakah ianya berkesan.

Setelah itu, saya terbeli juga DVD Momentum Saham yang dihasilkan oleh En. Najib Assadok yang merupakan internet marketers terkenal di Malaysia. DVD ini dihasilkan dengan kerjasama seorang pelabur yang mempunyai pengalaman yang lama dalam jual beli saham di Bursa Malaysia iaitu Cikgu Razak. Ianya merupakan rakaman seminar yang telah dibuat oleh Cikgu Razak berkenaan pelaburan saham. Fokusnya ialah fundamental analisis. Bagi saya rating DVD ini ialah 3.0/5.0. Akan tetapi ianya sangat-sangat sesuai bagi mereka yang zero knowledge tentang saham. Antara maklumat berguna dalam DVD ini ialah tentang asas tentang CDS akaun, kaedah mahu membeli dan menjual saham, asas analisis fundamental. Saya rasa pendekatan yang dibawa oleh Cikgu Razak ini lebih “play safe” dan tidak terlalu agresif dalam pelaburan.

017d7ac926b4d542e4ea5be0c88064d876d9056bbe

DVD Momentum Saham

Walaupun harga DVD ini agak mahal, saya rasa lebih mahal untuk menghadiri kursus kerana yuran kursus berkenaan saham tiada yang dibawah RM10.00 dan ditambah pula dengan kos pengangkutan dan sebagainya. Saya rasa agak berbaloi jika DVD ini dibeli bagi yang kesuntukan masa untuk menghadiri kursus.

Perkara yang saya lakukan setelah menghadiri kursus ialah berjumpa remiser saham dan membuka akaun CDS. Langkahnya sangat mudah, bawa salinan IC, slip gaji dan penyata bank. Isi borang dan sign…tup tup 3 hari sudah siap akaun. Yang menariknya akaun ini tidak perlu deposit dan bayaran. Bahkan remiser tersebut sangat supportive dan sanggup mengajar face-to-face tanpa apa-apa bayaran. Wow!…tapi tidak hairan, kerana setiap kali transaksi jual beli saham (samaada untung atau rugi) beliau tetapi mendapat komisen atas bayaran brokerage fees yang dikenakan. Jadi gunakan remiser anda secara optimum hehehe. Saya beruntung kerana remiser saya juga seorang yang sangat berpengalaman dan menguasai ilmu fundamental dan technical analysis. Beliau mencadangkan saya membaca beberapa buah buku. Antara buku yang saya beli ialah I Love Stocks di tulis oleh Pauline Yong. Ini merupakan satu-satunya buku dihasilkan berdasarkan pasaran saham bursa Malaysia. Buku “starting point” yang terbaik untuk dibaca oleh sesiapa. Cuma ianya dalam bahasa Inggeris, pun begitu lenggok bahasanya amat mudah.

Buku yang sangat bagus untuk tahap permulaan, sangat ringkas, menyeluruh dan padat

Buku yang sangat bagus untuk tahap permulaan, sangat ringkas, menyeluruh dan padat

Perancangan saya di masa hadapan ialah menambah lagi sedikit ilmu pengetahuan dengan menghadiri workshop / kursus berkaitan pelaburan bursa saham. Saya menahan diri saya agar tidak tergesa-gesa meletakkan duit dalam pelaburan yang saya tidak pasti dan tidak dianalisa dengan sebaiknya. Yang penting segala apa tindakan yang dilakukan mestilah mempunyai asas ilmu yang betul. Kemungkinan rugi tetap ada, tetapi yang penting ialah keuntungan diperolehi sentiasa melebihi kerugian.

Antara website yang saya rasa memberikan info yang sangat berkualiti tentang saham ialah: http://www.faizalyusup.net/. Saya rasa ini adalah sumber yang agak sohih memandangkan beliau merupakan remiser yang berpengalaman.

Apa pun, tidak rugi menuntut ilmu. Gunakan teknologi facebook, whatsapp dan google untuk meningkatkan pendapatan dan nilai hidup.

Sekian.

Alhamdulillah setelah lama tidak sempat mengupdate blog, akhirnya masalah teknikal yang dihadapi telah selesai. Rasanya hampir 2-3 bulan blog ini tidak dapat di update sebarang new post. Setiap kali mahu update pasti akan ada error 404 keluar. Saya hampir putus asa dan mahu sahaja menutup blog ini. Bahkan saya telah terdelete blog ini 2 hari lepas. Mujurlah penyedia perkhidmatan hosting sangat supportive dan mereka telah restore semula blog ini. Masalah tidak dapat update blog juga telah selesai apabila isu security server yang menjadi punca conflict dengan wordpress ini telah diselesaikan.

Berbalik dengan isu banjir yang telah melanda Kuantan sejak Isnin minggu lepas pada 2 hb Disember 2013. Sebenarnya terdapat kisah sebaliknya sebelum banjir melanda yang saya rasakan perlu ditulis di sini agar ianya menjadi peringatan untuk diri saya pada masa hadapan.

Ianya bermula hari Khamis petang 5hb Disember apabila menerima panggilan dari orang tidak dikenali sekitar pukul 5.30 petang. Hati saya berdebar apabila pemanggil tersebut bertanya adakah saya abang kepada Encik X. Hati saya berdebar-debar, kerana biasanya jika situasi ini berlaku, tidak lain tidak bukan mesti adik saya terlibat dalam kemalangan yang teruk.

Sememangnya tekaan saya tepat, apabila adik saya terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan kereta juga, ia berlaku di Ledang Johor. Perlanggaran berdepan dengan kereta lain. Adik saya tidak mampu menelefon menggunakan telefonnya…semua ini mempunyai ciri-ciri kemalangan yang teruk. Sebagai seorang doktor yang telah melihat banyak kes-kes kemalangan di Unit Kecemasan, maka apa yang terlintas di hati saya ialah: “adik tidak dapat menelefon, sesak nafas untuk bercakap (chest injuries), sakit perut (intraabdominal injury), sakit kaki (fracture lower limb), segala macam diagnosis sudah terlintas di fikiran saya. Pada saat itu, saya merasakan akan kehilangan salah seorang adik lelaki.

Pada waktu tersebut, saya hanya berfikir untuk terus ke Johor, walaupun tidak pernah lagi seumur hidup memandu dari Kuantan ke Muar Johor. Saya dan keluarga terus bertolak ke Johor, dalam masa 4 jam selamat sampai di Hospital Muar.

Pendek cerita, adik saya dimasukkkan ke hospital Muar, Johor dengan disyaki diagnosis MVA with patella fracture and suspected chest and intraabdominal injuries. Alhamdulillah, setelah pemeriksaan rapi, pihak doktor telah mengesahkan tiada sebarang kecederaan dalaman dan juga tiada kecederaan pada dada. Yang confirm hanyalah retak pada tempurung lutut kanan yang memerlukan pembedahan. Kecederaan lain hanyalah ringan sahaja seperti lebam di bahagian perut dan dada. Pun begitu, adik saya merasa sesak nafas dan sakit dibahagian perut akibat perlanggaran tersebut.

Jika melihatkan pada kerosakan keretanya, total loss!. Saya juga terkejut, hairan dan sangat bersyukur kerana adik saya selamat. Sememangnya ada hikmah disebalik kejadian ini.

Kereta total loss, pemandu masih selamat

Kereta total loss, pemandu terselamat

Antara hikmah yang saya lihat disebalik kejadian ini ialah:

Adik beradik saya yang telah bergegas ke sana telah di santuni oleh pihak pertubuhan IKRAM Johor, mereka lah yang menyediakan penginapan homestay semalaman bagi memudahkan urusan. Terdapat juga doktor yang merupakan ahli IKRAM telah melawat dan mengupdate perkembangan terkini adik saya. Ini memberikan gambaran yang baik tentang pertubuhan IKRAM itu dikalangan ahli keluarga saya yang belum mengenali IKRAM. 

Hospital Muar walaupun struktur bangunan agak lama, tetapi ianya hospital yang sangat selesa, ditambah pula dengan kelembutan dan peramahnya kakitangan hospital. Layanan yang diberikan sangat tip top. Ia juga hospital yang mesra ibadah. Sepanjang adik saya dihospital, alhamdulillah beliau tidak pernah meninggalkan solat walau satu waktu sekalipun. Pengalaman menjaga adik lelaki di dalam wad, sempat berkenalan seorang Aunty berbangsa cina. Beliau sangat peramah dan mesra. Beliau terkejut dan hairan bagaimana adik saya boleh terselamat dari kemalangan yang teruk. Yang paling lucu ialah apabila beliau berkata “Lu mesti orang kuat sembahyang punya, sebab itu lu terselamat. Zaman sekarang banyak orang muda mati cepat sebab malas sembahyang”. Kata-kata ini memberi makna mendalam pada diri saya.

Adik saya sentiasa mengungkapkan kata-kata “selepas ini aku mesti lebih banyak bersyukur, bersedekah, bertaubat dan berbuat baik kerana telah terselamat dari kemalangan maut ini”.

Kata-kata ini telah memberikan sedikit keinsafan kepada diri saya. Mungkin saya akan mati terlebih dahulu selepas ini. Saya juga sering mengingatkan diri ini “Apakah matlamat hidup ini?”, “Berapakah kebaikan yang telah dilakukan untuk manusia lain?”, “Apakah bekalan yang telah dipersiapkan untuk masuk kubur?”.

Hati saya gembira dapat berkhidmat menjaga adik saya sepanjang 4 hari terlantar di hospital. Akhirnya beliau dibenarkan keluar dari hospital selepas seminggu.

Penjaga di Hospital Muar

Penjaga di Hospital Muar

Sememangnya Allah swt telah mengaturkan segala kejadian dengan sempurna.

Bermula dari kejadian tersebut… Apabila saya kembali ke Kuantan, saya bersemangat menyumbangkan sedikit tenaga menjadi sukarelawan IKRAM untuk membantu mangsa banjir. Sehingga post blog ini ditulis, hari ini ia merupakan hari terakhir operasi gerakan bantuan mangsa banjir. Jika kejadian kemalangan “final destination” tidak berlaku ke atas adik saya, mungkin saya agak malas. Ia mungkin merupakan peringatan dan teguran ke atas diri saya ini oleh Allah swt agar saya lebih banyak membuat kebaikan kepada masyarakat.

Alhamdulillah…..

Mental Arithmetic

Alhamdulillah,

Cuti hujung minggu ini agak bermakna. Kami sekeluarga menghadiri Seminar Menghafal Al-Quran Kaedah Darwish Darwisya yang dianjurkan oleh Islamic Parenting Network. Pada awalnya, saya agak tidak berminat dan keberatan kerana ia bukan dalam skop minat saya buat masa ini. Walaupun dalam hati ini memang menyimpan hasrat, cita-cita dan impian untuk diri ini menjadi al-hafiz dan juga 2 orang anak menjadi al-hafiz. Saya sangat menghargai isteri saya kerana beliau telah mengikuti blog Puan Lina sejak setahun lebih tentang pengalaman beliau mendidik anak-anak menghafal surah sejak dari usia sangat kecil. Isteri saya yang sangat-sangat beria-ia nak menghadiri kursus ini. Maka saya menjalankan tugas saya sebagai driver dan peneman setia seperti dalam program-program yang dihadiri oleh kami sebelum ini.

Saya yakin, ini adalah titik permulaan atau “starting point” betapa Allah swt yang maha penyayang ingin memakbulkan hasrat saya ini. Sudah lama berdoa agar anak-anak tergolong dalam golongan penghafal al-quran. Walaupun diakui, diri ini masih malas untuk konsisten membaca al-quran.

Saya amat kagum dengan Puan Lina dan suaminya, mereka bukanlah dari latar belakang ustaz ustazah, alim ulamak tetapi berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi penghafal al-quran. Di samping itu, anak-anak mereka juga berkebolehan dalam bidang mental arithmetic. Saya melihat kedua-dua anak mereka tiada beza dengan anak-anak saya. Sama-sama “nakal”, suka bermain dan mempunyai perangai tipikal seorang budak. Rambut mereka tidak berceracak seperti Albeirt Einstein dan tidak memakai kaca mata yang tebal membawa buku berkilo dan berinci-inci tebalnya. Yang pasti, mereka seperti kanak-kanak lain, iaitu pintar…

Saya tertarik dengan konsep yang diutarakan dalam kursus ini. “semua anak-anak dilahirkan dalam keadaan pintar” bergantung kepada kedua ibu bapa yang mendidik mereka. Kalau mahu ayat sentap lagi, bergantung kepada kedua-dua ibu bapa untuk membodohkan, membangangkan mereka atau meneruskan kepintaran mereka dengan pendidikan yang betul. Apa yang dikongsikan oleh Puan Lina adalah suatu yang praktikal, logik dan mampu dilakukan oleh semua ibu bapa yang ingin anak mereka menghafal al-quran.

Sesungguhnya kursus ini membuka mata minda saya lebih luas lagi, ianya seolah-olah mengetuk kepala otak saya agar sedar dan “do it now” jika benar-benar inginkan anak-anak yang menghafal al-quran.

Negative mind! Apa kata mereka? 

Biasanya minda negatif akan mengkritik kita agar TIDAK menghadiri kursus seumpama ini. Antara hujah minda negatif terhadap kursus sebegini ialah:

“Oh, ianya kursus yang mahal, tidak berbaloi dengan penat lelah dan kos menginap di hotel”

“Alaaa, hantar ajo anak sekolah tahfiz, biar ustaz yang settlekan mereka menjadi tahfiz”

“Semua kaedah yang diajar berlambak kat google, baca ajo boleh dapat free”

Akan tetapi, selepas saya menghadiri kursus me ‘reset’ minda saya …. Segala pemikiran negatif ini saya tangkis. Apa aku kisah!!

Tidak dinafikan saya menghabiskan wang yang agak banyak kerana menampung penginapan 3 hari di hotel. Akan tetapi, yuran kursus yang dikenakan adalah sangat murah, saya juga agak terkejut beruk dengan harga yang dikenakan. Apabila tamat kursus, sememangnya diakui segala maklumat yang diberikan, pengalaman yang di sharekan itu tidak ternilai walaupun boleh di google ajo. Tetapi, jika meng google ianya mungkin mengambil masa selama setahun, sepuluh tahun, seratus tahun untuk mendapat segala maklumat dan pengalaman yang diberikan. Jika menghadiri kursus ini, saya hanya menghabiskan hanya seratus dua ringgit sahaja, tetapi masa saya dijimatkan sebanyak puluhan tahun.

Betul lah….pelaburan dalam mendidik diri sendiri, pulangannya tidak ada had.

Pengajaran dari kursus

Apa yang saya perolehi dari kursus ini?

  1. Tiada ilmu yang original: Puan Lina menegaskan segala ilmu yang dipraktikkan oleh nya bukanlah sesuatu yang novel atau baru sejak kejadian manusia di muka bumi ini. Cuma kita sahaja tidak praktikkan apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Contohnya memperdengarkan bacaan al-quran kepada anak-anak. Kita semua lebih suka memperdengarkan lagu-lagu nasyid, kartun, walt disney dan seumpamanya sejak mereka kecil lagi. Sedangkan al-quran adalah yang terbaik untuk didengarkan kepada anak-anak kita. Memanglah anak-anak pada awalnya agak boring mendengar al-quran, lama-kelamaan mereka akan suka dan menghafal apa yang didengari secara pasif.
  2. Banyakkan mendengarkan bacaan al-quran untuk anak-anak: Saya telah membeli CD bacaan surah muqaddam untuk anak-anak saya. Bacaan al-quran oleh Ahmad Saud (qari muda) lebih digemari oleh anak-anak dari syeikh yang tua. Beli CD ini dan dengarkan kepada anak-anak dalam kereta, dalam bilik tidur mereka dan juga sepanjang hari. Jadikan al-quran sebagai “muzik latar” kehidupan seharian mereka. Insya Allah lama kelamaan mereka akan berjaya menghafal.
  3. Beli flash card 3 set untuk anak-anak: satu untuk dilunyaikan oleh mereka, satu untuk ditampal di dinding, dan satu lagi untuk tujuan pengajaran (boleh dibawa kemana sahaja). Selitkan aktiviti bersama mereka dengan menunjukkan flash card sebanyak 2 kali sehari.
  4. Jangan mudah marah anak-anak jika mereka agak lembab dan tidak fokus. Majoriti kanak-kanak yang suka bermain sewaktu belajar adalah jenis yang kinestetik, suka bergerak-gerak dan tidak boleh duduk diam. Mereka ini sebenarnya lebih cekap untuk absorb ilmu cuma ibu bapa yang kurang faham dan tidak sabar.
  5. Hendaklah faham tahap anak-anak: Contohnya, janganlah terlalu meletak expectation yang tinggi seperti mengharapkan mereka boleh membaca pada umur 1 tahun, boleh mengira dan menghafal pada usia 9 bulan. Itu tidak logik. Sebab itu kita kena hadiri kursus agar kita faham perkembangan anak-anak dan kebolehan yang logik pada umur mereka. Bila over expectation, ibu bapa akan jadi stress, pastu stresskan anak-anak. Yang menderita ialah anak-anak. Sebab itulah kena belajar agar lebih faham dan kaedah pengajaran dipraktikkan kepada anak-anak adalah kaedah yang betul.
  6. Konsisten: ini merupakan cabaran bagi setiap ibu bapa. Saya akui memang susah nak istiqomah nak ajar anak-anak. Insya Allah selepas menghadiri kursus ini saya akan lebih konsisten. Saya sudah insaf dan menyesal kerana banyak perkara telah saya bazirkan bagi umur anak-anak saya. Mereka sepatutnya deserve perkara yang lebih baik dari saya. Akan tetapi, kerana kejahilan saya dan lambat menghadiri kursus seumpama ini, maka mereka telah “dibodohkan” oleh saya.
  7. Tidak semestinya kita mesti menjadi al-hafiz: kadang kala pemikiran negatif selalu mengkritik diri kita, hendaklah kita menjadi al-hafiz kalau nak anak menghafal al-quran. Saya rasa pemikiran sebegini adalah salah. Kalau nak tunggu kita jadi al-hafiz, sampai mampuih seratus kali pun belum tentu. Oleh itu, bermula lah dengan apa yang ada pada diri kita. Puan Lina telah buktikan, dan beliau akui bahawa beliau bukanlah al-hafizah tetapi beliau berjaya mengajar anaknya menghafal 30 surah pada usia 3 tahun. Beliau juga menegaskan, kita akan belajar dari anak kita sepanjang kita mengajar mereka. Kita juga akan menghafal sepanjang mereka menghafal. Ini membuatkan saya kagum dengan Puan Lina. Saya yakin beliau belum lagi al-hafizah pada masa ini, insya Allah jika beliau konsisten tidak mustahil beliau akan menjadi hafizah suatu hari nanti.
  8. Surah al-Kahfi sebagai benteng: Puan Lina mengamalkan surah ini, kedua-dua anak beliau sudah menghafal surah ini. Alhamdulillah, mengikut pengalaman beliau, anak-anak terjaga dari bercakap perkataan yang tidak senonoh dan pengaruh buruk rakan-rakan sekolah.
  9. Letakkan prioriti agar anak menghafal al-quran: Kerana al-quran menajamkan fikiran, kalau ikut teori sains, ia mengaktifkan otak kanan dan kiri. Sememangnya saya sangat bersetuju dengan perkara ini. Tetapi sedih dengan masyarakat Islam sekarang, lebih suka kalau anak-anak menyanyi dan menari dalam TV dan memasuki pertandingan seumpama ini, saya tak pasti otak sebelah mana akan aktif kalau masuk program maksiat seumpama ini.

Pastu apa kaitan dengan kursus mental aritmetik dan hafal al-quran???

Sebenarnya saya menghadiri 2 kursus. Hari pertama ialah kursus menghafal al-quran bagi anak-anak. Pada hari kedua, kursus mental aritmetik. Kursus ini mengajar cara menggunakan abakus (sempoa) untuk mengira. Saya telah membuat beberapa carian dalam google dan youtube. Saya mendapati, sebenarnya menggunakan abakus ini adalah lebih cepat dari kalkulator dan lebih menajamkan minda.

Fasa awal bagi yang belajar akan menggunakan abakus. Fasa seterusnya, setelah mahir, abakus boleh dibayangkan dalam minda sahaja dan pengiraan dapat dilakukan sangat pantas. Boleh search kat youtube untuk melihat kehebatan mental aritmetik. Ianya perlu bermula dengan abakus barulah beralih kepada mental calculation.

Kaitannya dengan hafal al-quran ialah mental aritmetik mengaktifkan otak kiri. Hafal quran aktifkan kedua-dua otak. Hafal quran, mental aritmetik dan melukis akan membantu aktifkan otak kiri dan kanan. Bila otak aktif, nanti ligat laa sikit kanak-kanak ni berfikir. Macam processor CPU komputer la. Barulah anak-anak boleh menjadi genius.

Saya tidak berminat nak detailkan pasal penjelasan dari sudut ilmu sains otak kanan dan kiri. Google lah kalau nak tahu lebih lanjut.

Kesimpulannya: 

  1. Laburkanlah duit untuk mendidik diri sendiri untuk kepentingan diri, anak-anak dan keluarga serta masyarakat. Pulangannya tiada had.
  2. Segalanya bermula dari diri ibu bapa, anak-anak hanya mengikuti apa yang dicorakkan oleh mereka.
  3. Belajarlah dari mereka yang terbukti telah ada hasilnya melalui kaedah yang betul, simple, mudah dan praktikal.
  4. Bermula dengan apa yang ada “Start Where You Are”. Jangan tunggu diri kita sampai betul-betul perfect baru nak start.
  5. Banyakkan doa kepada Allah swt, kerana hanya Dia yang maha kuasa untuk memberi hidayah dan petunjuk.
  6. Apa lagi!!….kalau nak anak hafal quran, pergi booking cepat-cepat tempat kursus ni. Fast action fast result. (Saya tak dapat komisen pun promosi semua ni!)

Sekian…

ebay

Alhamdulillah,

Disini saya ingin berkongsi pengalaman melalui pembelian online di online store yang terkenal iaitu eBay, Lelong dan Amazon. Saya mula berjinak-jinak dengan membeli secara online sejak 4 tahun yang lepas. Faktor utama ialah MALAS untuk ke kedai, ingin mendapatkan banyak pilihan dan harga yang lebih murah dari pasaran. Terdapat juga di kalangan rakan-rakan saya yang agak skeptik dengan pembelian online kerana takut tertipu. Mereka ini golongan konvensional yang lebih suka memandu kereta, mencari tempat parking, membayar tempat parking, berjalan-jalan di sekitar kompleks membeli belah dan akhirnya membeli barang yang diingini.

Saya yakin membeli secara online adalah lebih murah dan mudah. Walaupun terdapat isu risiko ditipu dan waranti barang yang dibeli, untuk meminimumkan kerugian hendaklah mengetahui sedikit maklumat kaedah dan tips-tips membeli secara online.

Disini saya ringkaskan tips membeli secara online agar dapat dikurangkan penipuan:

  1. Membeli dari peniaga yang SAH: peniaga yang sah berdaftar dengan SSM, mempunyai nama syarikat yang sah seperti ABC Enterprise / Sdn Bhd, mempunyai nombor pendaftaran.
  2. Apabila melakukan transaksi, hendaklah no akaun bank yang diberi adalah atas nama SYARIKAT bukannya atas nama akaun persendirian.
  3. Elakkan membeli barang yang ‘TOO GOOD TO BE TRUE’ terutama yang menawarkan harga murah untuk barangan branded seperti : iphone berharga RM500, laptop sony baru berharga RM800 dan sebagainya.
  4. Lihat RATING penjual: mudah dilihat dalam eBay, Amazon dan Lelong
  5. Alexa dan Google Page Rank: walaupun tidak spesifik, tetapi jika ranking website bagus dan google page rank bagus, biasanya kurang penipuan berlaku
  6. Jika membeli melalui website ecommerce, pastikan terdapat certificate security (boleh dilihat dalam browser), simbol kunci seperti maybank, bankislam dan lain-lain
  7. Beli barang yang murah sahaja melalui online. Jangan beli barangan branded secara online. Jika tertipu, tidaklah rugi sangat. Barangan murah seperti aksesori komputer, dakwat printer, kalkulator.

Antara kelebihan membeli secara online:

  1. Menjimatkan MASA , WANG dan TENAGA: tiada masalah parking, pembelian boleh dilakukan di luar waktu pejabat
  2. Semuanya dihujung jari sambil melakukan kerja-kerja lain
  3. Selamat dan mudah (jika dilakukan dengan teknik yang betul)

Akan tetapi terdapat kelemahan pembelian secara online:

  1. Hanya barang-barang yang tahan lama selain makanan sesuai di beli online.
  2. Mengambil masa yang lama untuk sampai terutama jika barang dibeli melalui Amazon dan eBay
  3. Gambar yang dilihat tidak sama dengan kualiti barang yang diterima. Ini adalah lumrah, kerana gambar akan diphotoshop sehingga cantik baru diletakkan dalam listing website

Apa beza eBay, Amazon dan Lelong?

eBay:

  1. Gedung membeli belah terbesar di dunia. Barangan yang famous ialah used item, tetapi barangan yang sangat kompetitif ialah barangan elektronik dan gajet.
  2. Kebanyakan barang elektronik adalah dari China.
  3. Kualiti barang: Jika murah biasanya adalah disebabkan unique item, used item dan barangan tidak berkualiti. Barangan berkualiti harganya mahal seperti di kedai.
  4. Nak membeli amat mudah, tetapi nak menjual agak susah.
  5. Hati-hati kerana terdapat banyak barangan ciplak (cetak rompak) terutama apabila barang tersebut ialah new item, murah (too good to be true).
  6. Amat lambat sampai ke Malaysia. Dua minggu adalah perkara biasa
  7. eBay malaysia: tak best untuk menjual, barangan harganya tidak menarik. Lebih baik membeli di Lelong
  8. Harga barang amat kompetitif. Peniaga yang besar sahaja boleh bersaing untuk menjual di sini kerana mereka boleh menawarkan harga yang lebih rendah dari pesaing mereka.

Lelong.com.my

  1. Barangan yang seronok dibeli ialah gajet elektronik yang tidak berkualiti. Padanlah dengan harganya.
  2. Penghantaran: Sangat laju, beli hari ini, esok sudah sampai. Paling lambat pun 2 hari.
  3. Banyak barangan imitation (cetak rompak).
  4. Peniaga terdiri dari rakyat Malaysia.

Amazon

  1. Beli buku sahaja di sini.
  2. Buku-buku yang tidak didapati di Malaysia, dan harga yang murah boleh didapati terutama used book
  3. Selamat dan penghantaran juga agak cekap (ada kemudahan tracking).
  4. Tempat paling bagus untuk mendapatkan rating dan review sesuatu produk .
  5. Harga barangan lain tidak semurah di Lelong dan eBay.

Setakat ini masalah yang saya hadapi melalui pembelian online ialah: barang lambat sampai dan barang rosak / tidak berfungsi (barang elektronik dari china). Saya sudah tawar hati untuk membeli di ebay kerana kebanyakan peniaga adalah menggunakan sistem dropship, nak claim waranti / refund agak leceh. Sekarang saya lebih suka beralih membeli belah di Lelong.com.my. Bagi amazon, saya jadikan ia tempat untuk mendapatkan info feedback, rating dan review tentang sesutu produk dan buku. Amazon adalah gedung membeli buku terbaik (selain buku-buku Malaysia).

Alhamdulillah, saya suka membeli secara online, saya akan galakkan segala perkara dilakukan secara online. Senang dan mudah, tak payah keluar rumah.

Pelaburan Emas dan Perak

Pelaburan Emas dan Perak

Alhamdulillah, hari ini rasa ada mood sedikit untuk menulis. Mungkin setelah minum ice Blended Mocha tengah hari tadi, caffein effect masih belum hilang sepenuhnya. Ataupun teruja apabila melihat website Public gold yang menunjukkan graf harga emas dan perak menaik sedikit.

Saya mula berminat tentang pelaburan gold and silver hampir 2 tahun yang lepas. Ianya bermula apabila seorang kawan yang menggalakkan saya membeli sedikit emas (sedikittt sahaja). Pada waktu tersebut, sememangnya pelaburan emas sangat-sangat HOT. Kawan saya juga seorang yang jujur dalam memberikan nasihat, maka saya membeli emas dari bank KFH (Kuwait Finance House). Kebetulan pada waktu itu, harga emas secara relatifnya rendah dan setelah beberapa bulan harganya naik mendadak. Setelah menjualnya, saya untung beberapa ratus ringgit. Syukur walaupun rezeki ciput sahaja.

Sambil-sambil itu, saya juga membaca beberapa sumber dari website yang membicarakan dengan panjang lebar tentang tatacara pelaburan emas. Antara website yang sangat berguna untuk mendapatkan info tentang pelaburan emas ialah www.jutawanemas.com. eBook yang sangat berguna untuk dibeli ialah “Rahsia Emas” yang ditulis oleh Azizi Ali.

Secara jujurnya, untuk mengulas lebih lanjut tentang pelaburan emas dan perak. Saya suka mengulang ayat-ayat dalam buku Azizi Ali “Money is Everything” yang lebih kurang bunyinya “Pelaburan adalah jalan yang PERLAHAN ke arah kekayaan”. Agak menyedihkan kerana beliau menulis ayat ini di akhir buku nya. Tetapi beliau sangat menekankan bahawa pelaburan itu perlu dan penting agar duit tidak di mamah oleh inflasi dan sentiasa ada pertumbuhan sepanjang masa. Maka kot mana pun, pelaburan itu WAJIB, cuma ianya bukan jalan pintas untuk kekayaan. Konsep ini amat penting untuk kita faham, kerana mereka yang gelojoh dan menyangka pelaburan adalah jalan pintas kekayaan biasanya akan terjebak dengan skim “scam” cepat kaya. Oleh itu, samalah juga dengan pelaburan emas, ianya bukan pelaburan jangka masa pendek, bahkan ia mengambil jangka masa panjang dan mempunyai risiko-risiko tertentu.

Perkara simple dan penting yang perlu diketahui sebelum melabur atau melebur duit dalam pelaburan emas / perak:

Jenis-jenis emas di pasaran

  1. Jongkong
  2. Dinar / Dirham
  3. Barang kemas
  4. Buku akaun

Yang manakah patut dipilih? Jika saya, saya lebih suka membeli jongkong, kemudian barulah dinar/dirham. Barang kemas hanyalah bagus untuk dibeli kepada isteri sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan atau hari jadi sahaja. Ini adalah kerana, harga emas barang kemas adalah tinggi kerana kos upah (crafmanship). Maka jual beli barang kemas untuk pelaburan adalah suatu langkah yang sangat TIDAK tepat.  Buku akaun emas saya elakkan, kerana terdapat isu hukum ketidak patuhan syariah kerana ianya tidak menjual emas fizikal. Bagi segala isu syariah sekitar pelaburan emas, saya gemar merujuk website UZAR. Alhamdulillah, banyak hikmah apabila kita merujuk hukum syariah terlebih dahulu apabila mempertimbangkan untuk menyertai sesuatu pelaburan.

Harga emas

Harga mestilah berdasarkan market price. Perbandingan harga mestilah dibuat sebelum membeli emas. Harga yang dibandingkan mestilah dari kategori emas yang sama. Adalah tidak adil membandingkan harga emas 999 vs 916. Harga emas berubah-ubah dari setiap minit atau hari. Bank biasanya update harga emas setiap hari satu kali sahaja. Hujung minggu Sabtu dan Ahad mereka cuti.  Public Gold update harga setiap masa kecuali Sabtu dan Ahad. Tapi tak payahla duk buang masa tengok harga emas berjam-jam depan monitor komputer, harganya tak pernah fluctuate terlalu tinggi pun. Kalau ada yang jual jongkong emas yang sangat tinggi dari harga pasaran, hati-hati kerana ianya kemungkinan scam. Contohnya ada syarikat genneva gold scam jual lebih tinggi 25% dari harga pasaran, pastu claim akan bagi ‘hibah’ setiap bulan. Pada harga yang di mark up tu dijadikan ‘hibah’. Akhirnya orang yang melabur dengan syarikat ini menjadi hiba kerana rugi dan tertipu.

Spread Price

Kalau nak melabur dalam emas dan perak, maka hendaklah fahami konsep spread price. Rasanya konsep ini sangat mudah, kerana ia melibatkan pengiraan matematik yang amat mudah. Apa yang saya fahami ialah spread price ialah peratus (%) beza antara harga yang kita beli dan kita mahu jual semula. Contohnya jika kita beli dengan harga RM1.00, jika kita mahu jual semula pada hari yang sama dan waktu yang sama,  syarikat penjual emas tidak mungkin akan membeli dengan kita pada harga RM1.00, bahkan membeli pada harga yang lebih rendah iaitu contohnya RM0.90. Maka peratus beza harga itulah yang dinamakan spread price. Jika syarikat beli pada harga sama, maka mereka akan lingkup kerana tidak boleh menjana keuntungan. Spread price rendah tidak semestinya untung cepat, manakala spread price tinggi pula tidak semestinya rugi. Di sini taktik harga emas dimanipulasi agar mengelirukan mereka yang malas berfikir. Biasanya yang menawarkan spread price rendah, harga emas mereka lebih tinggi berbanding emas-emas lain di pasaran. Manakala yang menawarkan harga emas agak murah, biasanya spread price mereka agak tinggi. Hahahaha, nak tergelak juga bila melihat taktik sebegini. Jadi nak untung cepat, pilih (%) spread price yang rendah DAN harga yang agak rendahhh sedikit, di mana agak sukar nak cari hehehe. Jadi pertimbangkan faktor seterusnya pulak kalau nak beli juga.

Kemanakah hendak dijual semula? 

Saya teringat, kalau tak silap UZAR pernah sebut, kalau ada jaminan akan beli balik, maka ianya bermasalah dari segi hukum. Mana boleh seseorang penjual berjanji akan beli semula barang yang dijual, kalau ada janji-janji pelik macam tu, maka biasanya skim scam la tu. Maknanya tiada kewajiban dari segi hukum dan undang-undang bagi penjual emas nak beli balik emas yang kita dah beli, dan kita tak boleh paksa mereka beli semula.

Kalau nak beli emas, perlu fikir balik suatu hari nanti kalau perlukan duit cash, kemanakah kita akan jual semula emas tersebut. Cuba bayangkan semua orang menyimpan emas dengan banyak, suatu hari ekonomi meleset dengan teruk dan semua terdesak perlukan cash untuk membuat transaksi pembelian sesuatu. Sudah pasti harga emas melambung, dan jumlah yang perlu dibayar sangat tinggi. Maka adakah semua syarikat emas sanggup dan mampu membeli emas-emas tersebut?. Biasanya hanya syarikat yang kukuh sahaja MUNGKIN ada  keupayaan untuk membeli balik kerana mereka mempunyai duit cash yang banyak. Yang pasti, mereka akan mengutamakan emas keluaran syarikat mereka terlebih dahulu untuk dibeli semula. Kedai emas dan pajak gadai sudah pasti tak sanggup beli semula kecuali dengan harga yang sangat rendah. Oleh itu, kalau nak beli emas, beli lah dari institusi yang kukuh seperti Bank Kuwait Finance House, Al Rajhi, Public Gold. Kalau syarikat kecil tiba-tiba muncul entah dari mana asal usulnya, maka elakkan membeli emas mereka walaupun harga yang ditawarkan agak menarik.

Manipulasi pajak gadai

Saya tidak berminat hendak menggunakan kaedah ini kerana ianya agak remeh kerana perlu berulang alik ke pajak gadai dan terdapat perkara yang saya rasa tidak senang hati dari sudut syariah. Rasanya pajak gadai bank sudah tidak menerima jongkong emas kerana mungkin akibat pengaliran cash flow apabila kaedah ini digunakan secara meluas. Buat masa sekarang, hanya barang kemas sahaja yang diterima untuk dipajak gadai. Akan tetapi, barang kemas tidak sesuai untuk dimanipulasi di pajak gadai bagi mendapatkan keuntungan dalam jangka masa yang pendek. Nasihat saya, jika terdesak perlukan duit, barulah gunakan pajak gadai Islam. Itulah tujuan penubuhan pajak gadai Islam, bukannya untuk memanipulasi emas bagi mendapatkan extra cash. Lagipun bank negara pun bijak dalam memantau aktiviti seperti ini.

Keselamatan 

Ini adalah suatu faktor yang perlu dipertimbangkan apabila membeli emas. Kalau beli di KFH, maka emas disimpan di bank dan tiada sebarang caj simpanan dikenakan. Pembeli boleh balik dan tidur senang hati. Jika beli emas berkilo-kilo dan bawa balik rumah, mahunya demam kalau nak simpan dalam rumah. Kalau nak simpan di dalam safe deposit, biasanya caj tahunan agak tinggi dikenakan. Terserah pada keberanian diri masing-masing. Janganlah dek kerana nak protect duit dari inflasi, akhirnya emas yang dibeli pulak yang dicuri. Nauzubillah…

Spekulasi

Ada juga pelabur-pelabur yang suka membaca graf emas seperti membaca graf saham. Mereka akan tengok graf setiap hari dan membuat teknikal analisis. Sampai sekarang saya pening apabila nak mengingati istilah-istilah yang berkaitan seperti bullish, bearish, breakout, resistance, support dan macam-macam lagi. Akhirnya saya dapati satu ajo kesimpulannya iaitu “nobody knows what will happen tomorrow”. Akan tetapi, saya tidak nafikan untuk jangka masa panjang, secara purata harga emas dan perak sememangnya meningkat.  Jadi kalau nak jadi mahir technical analysis, belajarlah betul-betul dan baca banyak-banyak buku. Biasanya kalau level orang awam seperti saya, kalau nak main dengan teknikal analisis, akhirnya akan menjadi ‘gambler’ sahaja (level paling hina dalam tarat investor).

Membeli emas itu sunnah????

Sentimen agama kerap dimainkan untuk melariskan emas. Walhal isu yang penting perlu dititikberatkan dalam urusan jual beli emas ialah kaedah jual beli samaada ianya patuh syariah atau tidak. Zakat perlu dibayar, pembelian mestilah emas fizikal, serahan dan belian berlaku dalam waktu yang sama (tak boleh bertangguh), tak boleh beli emas secara ansuran. Semua itu telah dijelaskan di website UZAR dengan panjang lebar. Hati-hati dengan emas, saya rasa isu syariah sangat banyak berlegar di sekitar jual beli emas. Hisssshhh…amat menakutkan.

Emas dan dividen bulanan

Saya akan tergelak berguling-guling kalau ada yang menawarkan pelaburan emas dengan dividen bulanan tahunan. Hakikatnya, kalau nak dapatkan dividen tahunan, emas bukanlah pilihan yang tepat sama sekali. Tujuan emas dibeli ialah untuk melindungi duit dari inflasi..full stop. Tambahan pula, perlu diingat, dividen bulanan adalah suatu perkara yang mustahil bagi mana-mana pelaburan. Sedangkan syarikat pelaburan unit trust terbesar di Malaysia pun takleh nak janji dividen bulanan, inikan pula syarikat yang tiba-tiba muncul. Contoh paling bagus ialah Genneva Gold, siap ada ‘Hibah’ (yang bertukar jadi hiba) setiap bulan. Biasanya mereka yang gelojoh dan cetek ilmu akan tertipu bulat-bulat dengan tawaran ini. Fakta ini saya baca dalam buku Azizi Ali “Get Into Gold”.

Berapa peratus emas perlu disimpan dari jumlah duit cash yang ada?

Kalau tanya agen emas / perak. Mereka akan mengatakan simpanlah semua duit cash dalam bentuk emas. Ekonomi sudah semakin tenat, duit fiat sudah tidak laku lagi, dunia sudah hampir kiamat, dan macam-macam lagi fakta kelentong yang menakutkan.  Hmmm…nampak sangat temberang dan kelentong mereka. Konsep melabur:  pastikan terdapat duit cash (kecairan yang tinggi) kot mana pun. Bayangkan kalau kita gunakan segala duit cash dalam bank untuk membeli emas, tiba-tiba terdepat kecemasan yang menyebabkan kita terpaksa menjual balik emas. Jika harga tidak naik, kita akan rugi kerana spread price, jika harga naik (agak mustahil dalam masa singkat) untung masih tidak banyak. Yang paling teruk ialah jika harga jatuh, dah laa rugi sebab harga turun, pastu bila jual balik, spread price akan makan profit margin. Jadi kalau nak simpan emas tu, simpanlah paling banyak pun 10% dari duit cash yang kita ada. Ini berdasarkan buku Azizi Ali, bukan dari idea saya sendiri. Kalau kita ‘kasyaf’ sekalipun nampak esok ekonomi merudum, saya rasa 10% cash dalam bentuk emas pun dah cover balik kerugian inflasi yang akan berlaku.

Bilakah perlu beli dan jual? 

Senang ajo jawapannya: beli bila harga rendah, dan jual bila harga naik (lebih tinggi dari harga beli). Tetapi masalahnya tiada siapa boleh jangka bila harga turun dan bila ia akan naik. Macam mana nak tahu harga turun? Senang ajo…bila ramai duk bising-bising kat facebook “harga emas / perak dah turun, tibalah masa untuk menambah stok anda”. Pada waktu itulah, anda boleh buka website dan tengok carta harga emas dan buat perbandingan harga sejak bertahun-tahun sebelum ini. Macam mana nak tahu harga naik? Apabila semua orang tidak sanggup membeli lagi terutama dealer-dealer emas. Lebih ketara ialah dalam Facebook Group yang menjual emas, try laa jual kat situ, mesti ramai yang tak nak beli. Pada pemerhatian saya, sekarang harga emas secara relatifnya agak rendah, tetapi tiada jaminan akan naik dalam masa terdekat. Hari itu, apabila harga turun sangat rendah, saya lihat ramai yang beratur panjang di depan kedai barang kemas (emas) untuk membeli emas. Itu adalah tanda-tanda yang mudah untuk kita lihat. Zaman sekarang semua orang sudah alert tentang perkara ini. Tak tahulah nak komen macam mana lagi kalau ada yang masih tertipu dengan pelaburan scam.

Itulah perkara-perkara yang saya mampu ringkaskan berdasarkan pengalaman ciput saya dalam pelaburan emas. Saya yakin diluar sana ada yang sudah kaya raya dengan emas. Perlu ingat! Mereka bukan kaya dengan melabur semata-mata sebenarnya, tetapi mereka kaya kerana menjadi Agen Syarikat menjual emas. Ya betul, kalau nak kaya cepat yang berkaitan emas, saya nasihatkan jadi agen syarikat emas. Anda akan kaya cepat kerana mendapat komisyen dari setiap jualan emas.

Adakah pelaburan emas itu bagus? 

Ya, secara umumnya ianya suatu pelaburan yang sangat bagus. Secara khususnya, ianya mestilah menepati TUJUAN / MATLAMAT pelaburan kita. Jika tidak menepati matlamat, maka ia bukanlah suatu pelaburan yang bagus untuk kita.

Saya merancang pada masa hadapan untuk FOKUS melabur dalam unit trust dan hartanah sahaja. Pelaburan emas hanya jika harganya betul-betul jatuh merudum sahaja. Untuk menambah pendapatan, alhamdulillah saya dan isteri membuat bisnes part time melalui faceook. Boleh baca di sini. Ultimate aim saya suatu hari nanti ialah nak dapatkan pasif income dari sewaan hartanah. Bisnes adalah jalan yang berpotensi mempercepatkan proses mencapai matlamat tersebut.  Nak tunggu hasil pelaburan duit gaji memanglaa lambat.

Kesimpulan

  1. Sebelum melabur, buat sedikit bacaan untuk mengetahui isu syariah dari sudut jual beli emas dan perak. Letakkan keutamaan untuk mendapat keuntungan halal di dunia dan juga pahala di akhirat.
  2. Baca bahan bacaan yang berkualiti sekurang-kurangnya 5 buah buku berkaitan pelaburan emas. Antara bacaan yang terbaik yang saya pernah baca untuk memahami konsep pelaburan emas ialah “Get Into Gold” Oleh Azizi Ali.
  3. Terdapat juga ebook yang bagus untuk dibaca iaitu “Rahsia Emas” yang saya yakin amat berbaloi untuk dibeli. Ilmu yang diperolehi dari pelaburan membeli buku ini, saya yakin akan mengelakkan puluhan ribu dan ratusan ribu ringgit duit kita dari rugi tertipu dalam pelaburan scam.
  4. Ingatlah sentiasa bahawa “pelaburan mengambil masa yang panjang ke arah kekayaan”. Pelaburan TIDAK bersifat short term, tetapi ianya long term.
  5. Jika mahu cepat kaya, maka belajarlah ilmu tentang bisnes. Mulakan bisnes! tapi sebelum tu pastikan baca buku terlebih dahulu tentang selok belok bisnes. Hadiri seminar berkenaan bisnes. Laburkan duit untuk menimba ilmu bisnes.
  6. Psssttt….rahsia terbongkar, sebenarnya Azizi Ali bukannya kaya cepat dengan pelaburan hartanah dan rumah lelong. Bisnes utama dia ialah seminar hartanah, dan penulisan buku. Syarikat penulisan buku “TrueWealth Marketing Sdn Bh” tu dia punya. Dalam buku dia “Money is Everything” dia ada dedahkan rahsia, kalau jual beli pelaburan hartanah yang hebat pun hanya dapat RM200k dalam masa 2 tahun, tapi bisnes company dia sekarang income RM200k dalam masa sebulan. Faham-faham jelah…

Sekian…