Bagi seorang doktor yang telah mencapai status MO (medical officer / menurut order). Kebiasaan yang berlaku ialah rotation untuk dihantar ke district posting. Hampir setiap negeri rotation ini adalah wajib walaupun ianya tidak termasuk dan tidak langsung memberi markah untuk permohonan program master. District posting ini ialah satu peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing untuk memberikan keadilan kepada doktor-doktor yang berada di district agar dapat kembali bertugas di hospital besar.

Antara sebab kenapa MO dari hospital besar perlu dihantar ke district ialah:

  1. Menampung / mengganti doktor yang telah lama berada di district ataupun doktor yang telah resign (dan mungkin juga doktor yang telah mati)
  2. Mendedahkan doktor yang baru bergelar MO (mo junior) kepada pengalaman yang lebih mencabar di district hospital.
  3. Sebagai hukuman kerana mempunyai masalah tingkah laku (kes yang sangat jarang)

Dan tidak lupa juga, adalah sebab-sebab kenapa MO dari district kempunan sangat-sangat hendak kembali ke hospital besar:

  1. Mahu tinggal di bandar, lebih banyak kemudahan dan lebih dekat dengan keluarga.
  2. Mahu mendapat tempat bagi memohon master / pakar kerana pengalaman di hospital besar dikira sebagai markah untuk berjaya mendapat tempat master (posting district tiada markah satu sen di mata universiti)
  3. Mahu bekerja dalam suasana yang lebih mengkhusus kepada bidang-bidang tertentu seperti sakit puan, internal medicine, anesthetic supaya kepala tidak pening memikirkan banyak perkara
  4. Supaya tidak dimarahi oleh MO sombong dan bongkak yang berada dihospital besar. Apabila berada dihospital besar, MO sombong bongkak tidak memarahi mo ini, dan MO ini mungkin akan jadi MO sombong bongkak juga selanjutnya mereka boleh membuli MO district semula (vicious cycle).
  5. Supaya tidak dimarahi oleh pakar yang mengantuk diwaktu malam
  6. Dan banyak lagi.

Jika kita memerhatikan sebab di atas, jelaslah ramai doktor MO suka bekerja dihospital besar berbanding di district hospital. Akan tetapi, bagi saya terdapat banyak kelebihan bekerja di hospital district yang mungkin tidak diketahui oleh ramai doktor MO junior.

Antara kelebihan bekerja di district hospital ialah:

  1. Markah SKT tahunan yang tinggi, kerana pengarah tu kamceng ajo dengan kita. Kalau yang bergaduh dengan pengarah tu, biasanya MO itu yang bermasalah, tetapi ada juga kes di mana pengarah pun ‘tersumbat’ sedikit.
  2. Oncall yang ringan. Keseriusan kes di district tidaklah teruk seperti di hospital besar, kalau teruk skit, hantar sahaja ke hospital besar supaya boleh di handle oleh MO bongkak dan sombong. Yang pasti, mereka juga terkial-kial berusaha menyelamatkan pesakit itu.
  3. Makanan waktu oncall boleh ditempah, kalau mahu menu telur goreng boleh cakap ajo kat tukang masak bahagian dapur. Makanan sedap dan boleh tahan.
  4. Menjadi bos ke -dua di hospital itu. Oleh kerana tiada pakar di district hospital, kita akan dihormati sebagai bos kedua oleh jururawat. Manakala di hospital besar, Houseman dan Junior MO ni tak lebih kuli terhina dan terhormat pada pandangan mata jururawat dan sister-sister.
  5. Pengalaman yang banyak dalam pelbagai bidang, di district hospital sistem rotation dalam bidang sakit puan, pembedahan, perubatan dan lain lain selalu dilakukan. Secara tidak langsung, banyak pengalaman secara superficial boleh dilalui dalam setiap bidang.
  6. Claim oncall yang lumayan. District hospital oncall adalah kerap setiap bulan, aktif dan pasif.
  7. Staff yang mesra dan baik hati.
  8. Kemudahan rumah kuarters yang besar dan selesa giler.
  9. Pesakit mengenali kita dan sentiasa beramah mesra.
  10. Jauh dari kesibukan bandar
  11. Pakar yang membuat lawatan ke district hospital juga menghormati kita kerana mereka memerlukan kita sebagai assistant untuk tengok pesakit kat klinik. Jadi takleh nak tunjuk lagak, kerana kalau kita tak tolong mereka di klinik, sampai maghrib pun tak habis tengok pesakit.
  12. Tiada masalah parking kereta.
  13. Kos sara hidup yang rendah, pergi kerja hanya berjalan selama 3 minit sahaja.
  14. Dan banyak lagi fadhilat di district hospital ….yang tidak larat saya nukilkan di sini

Akan tetapi, tidak semuanya perkara itu sempurna. Posting district hospital juga mempunyai beberapa kelemahan:

  1. Tiada pakar. Jadi kebanyakan kes perlu dikonsultasi melalui telefon, kerap juga terdapat kelewatan dan miscommunication dalam consultation kes.
  2. Terpaksa bekerja dalam semua bidang / multi tasking, sekejap sakit puan, sekejap kes kanak-kanak, sekejap kes postmortem, sekejap kes rogol, kejap kes anak luar nikah, kejap kes tangkap basah, tangkap dadah, kes pukul dan berpuluh-puluh variasi kes yang memeningkan kepala.
  3. Oncall yang persisten dan banyak. Walaupun oncall tidaklah heavy, tetapi jumlah oncall yang banyak boleh mengganggu kualiti hidup kerana mengantuk sentiasa selama bertahun-tahun.
  4. Dimarahi oleh MO junior dan MO bongkak sombong tahap cipan. Mereka yang suka marah ini biasanya tidak pernah dihantar ke district. Punca mereka marah ialah kerana mengganggu tidur mereka di waktu mereka oncall, mereka tidak pandai nak handle kes yang dirujuk, mereka malas, mereka fikir district ni hanya tahu rujuk kes sahaja.
  5. Tidak lupa juga, terdapat pakar yang suka memarahi MO dari district kerana mereka diganggu waktu tidur mereka, takut dipertanggungjawabkan jika konsultasi dengan mereka.
  6. Pengalaman yang berharga tetapi tidak dihargai oleh pihak universiti untuk memohon bidang master / pakar.
  7. MO district dianggap hina dan tidak dihargai oleh MO hospital besar walaupun kebanyakan pesakit dihantar telah di stabilkan oleh mereka. Isu yang selalu dibangkitkan berkenaan MO district ialah tidak stabilkan pesakit sebelum dirujuk, sedangkan kes ini hanyalah sedikit dan jarang berlaku.

Itulah antara pengalaman saya bekerja di district hospital. Bagi mereka yang akan dihantar ke district posting, lihatlah kelebihannya supaya anda bersemangat untuk bekerja. Selepas 2 tahun, barulah anda lihat kelemahannya dan bolehlah anda kembali ke hospital besar.Pengalaman posting di hospital district sangat memberi kesan kepada hidup saya, malah lebih memberi kesan dari pengalaman dihospital besar.

Sudah lama aku tidak meng’update’ blog aku ini. Buat masa ini aku masih lagi sibuk dengan persediaan untuk proposal presentation. Dunia research yang aku ceburi ini adalah sangat berbeza dengan dunia klinikal yang telah aku tinggalkan. Akan tetapi, hakikatnya hidup tetap sama, kerja tetap kerja.

Bagi kawan-kawan seperjuangan yang masih setia dan berkhidmat dengan KKM, hujung tahun adalah waktu yang dinantikan kerana terdapat temuduga dan juga entry exam untuk memohon bidang master / kepakaran samaada dalam bidang klinikal atau bidang klinikal yang tidak perlu aktif oncall. Masing-masing akan mempersiapkan diri dan meletakkan azam dan angan-angan yang kuat agar terpilih untuk memasuki master dalam bidang kepakaran yang diidamkan selama ini.

Aku pernah melalui temuduga untuk memohon bidang Emergency Medicine di sebuah universiti yang terkenal dan canggih. Dengan berbekalkan pengalaman dalam bidang anaesthetic selama 14 bulan dan sokongan ketua jabatan anaest yang bertaraf JUSA, aku mencuba nasib dalam temuduga ini. Rata-rata yang menghadiri temuduga mempunyai latar belakang pengalaman yang berlainan. Ada yang masih baru dengan dunia emergency, ada yang sudah lama bekerja dalam Emergency Department. Kebiasaannya sesiapa yang ada pengalaman dalam bidang emergency akan memperolehi keutamaan untuk mendapat tempat dalam bidang master itu.

Mungkin tahun itu adalah langkah silap bagi diri aku, kerana bidang Emergency Medicine ini menjadi bidang ‘hot’ pada tahun itu berbanding dengan bidang lain. Tambahan pula, tahun tersebut tiada pre-entry exam untuk bidang emergency medicine. Maka, kelayakan akan diukur berdasarkan performance dalam bidang temuduga.

Disini, aku ingin berkongsi  tentang suasana temuduga yang aku lalui. Biasanya sebelum temuduga, panel penilai terdiri dari wakil dari universiti, wakil dari KKM. Segala maklumat tentang diri kita telah siap sedia di atas meja mereka.

Berikut ialah soalan-soalan cepu emas yang telah ditanya oleh penemuduga:

  1. Perkenalkan diri anda?
  2. Kenapakah anda berminat untuk menceburi bidang ini?

Seperti yang dijangkakan, soalan di atas adalah soalan yang sangat tipikal untuk sesiapa sahaja dan dalam bidang apa sekalipun di atas muka bumi ini. Selepas itu, maka bermulalah soalan sedikit merapu yang diutarakan oleh penemuduga (ketua jabatan Emergency). Dalam bracket (  ) ialah jawapan yang sepatutnya aku jawab waktu itu.

  1. Awak mempunyai pengalaman yang lama dalam bidang anesthetic, saya boleh tolong dapatkan tempat untuk awak dalam bidang master anesthetic jika awak mahu? (macam laa dia ada kuasa nak push orang lain tempat dia suka)
  2. Jika awak tidak mendapat tempat dalam universiti ini, mahukah awak saya dapatkan tempat di universiti lain? (sama seperti diatas)
  3. Adakah awak sanggup komited dengan bidang ini? (sudah pasti, kalau tak saya tidak terhegeh-hegeh datang ke temuduga ini)
  4. Adakah awak sanggup dihantar untuk misi perubatan ke PALESTINE??? (Apahal tetiba isu palestine ni, semua pakar emergency medicine ni akan jadi mujahidin ke? bab jihad ni mana boleh tipu…aku pun takut mati kena tembak oleh israel)
  5. Adakah isteri awak sanggup ditinggalkan awak kerana misi bantuan perubatan ke palestine? (yang tu kena tanya isteri dulu)
  6. Adakah awak akan memohon lagi tahun depan jika awak tidak berjaya dalam temuduga ini? (kalau soalan merapu macam ini juga yang akan ditanya, saya pasti tidak akan memohon)

Dan pelbagai lagi soalan ‘merapu’ yang diutarakan.

Pada pendapat aku, jika anda telah terpilih dalam temuduga…maka sebenarnya tempat anda telah ditentukan dari awal lagi. Temuduga itu hanyalah gimik  / lakonan ataupun minor factor sahaja untuk anda diterima atau tidak.

Jika anda mendapat soalan-soalan ‘merapu’ diatas, itu bermakna anda telah ditolak mentah-mentah untuk mendapat tempat dan penolakan itu adalah disebabkan anda tidak berjaya mempamerkan sifat hipokrit bagi menjawab soalan di atas.

Bagaimana pula jika anda diterima, soalan mereka itu adalah lain dari yang lain…contohnya ialah:

  1. Anda sudah kawin, jika masih bujang nanti saya tolong carikan calon ?
  2. Kalau anda diterima, anda mahu menyewa rumah di mana? mungkin saya boleh tolong..
  3. Kirim salam kepada bos anda di Hospital anda. …

Itu adalah tanda-tanda positif bahawa anda telah diterima.

Persoalannya ialah……keprofesionalism seorang penemuduga itu tidak langsung dipamerkan. Aku merasakan sedikit kecewa ditolak walaupun dengan pengalaman kerja yang mencukupi, tetapi akhirnya aku bersyukur kerana mendapat tempat di Universiti lain.

Akan tetapi aku lebih beruntung… Kerana ada lagi seorang doktor perempuan lagi mendapat soalah yang lebih teruk (dalam temuduga di universiti yang lain),  Soalannya ialah: “Adakah anda komited untuk bidang ini, bayangkan jika anda terlalu sibuk dan suami anda berlaku curang dengan menjalinkan hubungan sulit dengan perempuan lain…adakah anda masih komited untuk meneruskan master??? Bayangkan betapa sakit hatinya bila dihadapkan soalan sebegini.

Secara kesimpulannya, kalau anda ingin mengetahui preliminary result anda berjaya atau tidak dalam temuduga itu. Maka lihatlah soalan yang ditanya. Pada masa sekarang, pre-entry exam telah dilaksanakan dalam semua bidang master, mungkin peluang lebih adil untuk semua calon.

Good Luck..hehe

clinical doctorSudah hampir setahun aku meninggalkan dunia klinikal dan beralih ke dunia akademik sebagai trainee lecturer. Kebiasaannya dunia akademik dikenali sebagai dunia pre-klinikal. Dalam erti kata  lain, seorang doktor yang melibatkan diri dalam dunia pre-klinikal dianggap tidak akan merawat pesakit buat selama-lamanya. Tidak dinafikan perasaan rindu pada dunia klinikal masih ada dalam diri ini.

Bidang klinikal dan juga segala bidang kepakaran yang berkaitan dengannya merupakan satu bidang dipandang mulia, tinggi, berprospek hebat dan sebagainya di mata sesetengah individu. Cuba bayangkan, apabila 2 orang doktor pakar menyebut…Si ‘A’ menyebut: Saya adalah pakar jantung / bedah / bedah tulang , dan bandingkan dengan seorang pakar ‘B': saya pakar patologi aje, saya pensyarah basic sciences anatomy aje. Begitu juga senario yang berlaku antara doktor-doktor apabila mereka bertanya kepada rakan-rakan semedical, “buat master apa?’, alaa..patologi ajo / anatomy aje dan lain-lain. Umpama pakar klinikal dan preklinikal ibarat langit dan bumi.

Terdapat banyak sebab yang mendorong saya mengubah haluan klinikal kepada preklinikal. Sebab utama ialah sebab peribadi yang tidak dapat dinyatakan. Akan tetapi, sebab-sebab yang lain adalah sama dan typical dengan kebanyakkan doktor yang mengubah haluan seperti saya. Ketika awal bekerja, saya pernah berjumpa dengan Senior Medical Officer yang sememangnya dikenali dalam bidang bius (anaesthesiology), saya menganggap dia akan menjadi seorang pakar bius yang terkemuka, akan tetapi dia dengan merendah diri mengatakan “I don’t think my life will be ended as anaesthesiologist. Bahkan terdapat ramai rakan-rakan semedical yang mengubah haluan dari menjadi senior MO O&G kepada bidang pathology, Bius kepada bidang pathology, dan ada juga yang mengidamkan menjadi seorang pakar bedah mengubah haluan kepada bidang ENT sahaja. Bahkan ada lebih ‘extreme’ lagi terus resign dan menjadi GP yang terkaya. Antara sebab yang typical kenapa para doktor mengubah haluan klinikal kepada preklinikal ialah tidak tahan dengan bebanan kerja terutamanya oncall, tidak tahan dengan karenah pesakit yang kurang ajar, hilang hidup sosial, hilang masa dengan anak-anak dan keluarga, tidak tahan dengan HOD yang suka marah-marah waktu mortality audit dan banyak lagi.

Ramai antara doktor yang cuba bersabar sehinggalah ada diantara mereka pasrah dengan sebab di atas. Oncall selama lebih 30 jam sehari selama 8 kali seminggu selama 2-3 tahun berturut merupakan suatu perkara yang sangat membebankan. Jika di analogikan oncall itu kepada ibadat malam atau ‘qiam’, berapa ramaikah antara orang beriman zaman sekarang sanggup berjaga dari pukul 1 pagi sehingga 1 tengahari esok dengan sembahyang tahajud tanpa henti selama 8 kali sebulan atau jika masih kuat, 15 kali sebulan? Sudah pasti ramai yang tidak sanggup. Sedangkan oncall ini sesuatu yang memerlukan komitmen tenaga, fikiran, emosi, kesabaran (kena marah dengan pesakit, keluarga, pakar yang mengantuk). Kerja tetap ikhlas, jika ikhlas itu hilang pada pukul 3.00 pagi sekalipun, nyawa pesakit tetap menjadi keutamaan. Merawat pesakit ketika mengantuk adalah satu kekecewaan bagi diri saya kerana kerap kali diagnosis tersasar. Sudah pasti penyelesaian yang terbaik ialah menambah bilangan doktor….ini sudah terjadi kerana sudah ramai yang grad menjadi doktor. Dan paling baik ialah, mengubah sistem oncall ini kepada sistem syif. Walaupun idea ini mungkin akan ditentang oleh sesetengah pihak, tetapi ia adalah satu langkah yang baik untuk mengurangkan ‘penderitaan’ sleep deprivation syndrome di kalangan doktor-doktor.

Antara sebab yang lain ialah hilang social life, walaupun hakikatnya doktor ialah orang yang bersosial dengan manusia setiap hari. Akan tetapi bersosial dengan orang sakit dan sihat sudah semestinya dua dunia yang berbeza.Bagi mereka yang suami isteri berkarier sebagai doktor, masa yang berkualiti dengan keluarga merupakan satu perkara yang terpaksa dikorbankan. Atas sebab itulah, ramai pasangan doktor yang memilih untuk menjadi pakar klinikal dan preklinikal salah seorang dari mereka.

Apa pun pilihan yang dibuat, saya merasakan ada kelebihan dan kekurangan yang mesti diterima dengan redha oleh diri sendiri. Jika bertanya kepada 1001 manusia, sudah pasti 1001 pendapat yang berlainan yang keluar dari mulut-mulut mereka. Ibarat cerita hikayat arab, penunggang keldai dan anaknya yang melalui pasar, akhirnya mereka keldai yang ditunggang mereka terpaksa diangkat lantaran terikut pendapat orang ramai.

Oleh itu, jika anda belum menjadi doktor dan ingin menjadi doktor, maka teruskanlah niat mulia anda, dan jika anda ingin menjadi pakar klinikal maka teruskanlah niat mulia anda itu, jika anda ingin mengubah haluan preklinikal…fikirkanlah dan teruskanlah niat mulia anda itu.

Menulis blog merupakan suatu salah satu impian saya. Hampir setiap individu mempunyai blog masing-masing yang mempunyai pelbagai tujuan dan matlamat. Ada blog di tulis sebagai personal diari, menceritakan kisah-kisah hidup dan yang paling mengujakan ialah menggunakan blog sebagai salah satu cara untuk membuat pendapatan sampingan dan tetap.

Matlamat saya menulis blog ialah untuk merekodkan segala maklumat yang berfaedah untuk dikongsi. Tidak dinafikan juga, saya berharap dapat mendapat sedikit keuntungan dari penulisan dalam blog ini.Terdapat banyak platform bagi penulisan blog yang percuma antaranya yang paling popular ialah blogspot.com dan wordpress.com.

Akan tetapi setelah menimbangkan prospek jangka masa panjang, saya memikirkan adalah lebih baik jika saya memillih hosting yang berbayar daripada hosting percuma.

Berikut adalah sebab kenapa saya perlu memilih hosting bog yang berbayar dan tidak patut menggunakan hosting percuma:

  1. Kredibility: harga kos untuk hosting berbayar yang saya gunakan ialah sebanyak RM120.00 setahun. Di sini saya tidak menerangkan detail tentang ciri-ciri (features) samaada dari segi bandwith limit dan juga space yang disediakan. Ini bermakna saya perlu membelanjakan sebanyak RM10 sebulan untuk menampung blog kos blog ini. Jika saya menggunakan blog percuma, dan blog itu semakin maju, sudah pasti ramai akan mempertikaikan kredibiliti blog percuma terutama apabila ia melibatkan urusan bisnes
  2. Domain name yang panjang: blog percuma biasanya menyebabkan nama domain website kita menjadi panjang. contohnya ialah jika saya menggunakan blogspot.com sebagai hosting saya. Nama blog saya akan menjadi www.drsolah.blogspot.com berbanding domain name berbayar ialah www.drsolah.com
  3. Lack of customize features: sudah menjadi adat, segala yang percuma biasanya ada limitasinya. Blog percuma biasanya tidak dilengkapi dengan ciri-ciri yang advance. Blog yang berbayar boleh dicustomize mengikut citarasa
  4. Customer support: Bayangkan jika anda menggunakan blog percuma dan blog anda menjadi semakin maju dan mempunyai banyak readers dan followers dengan posting yang anda tulis mencecah ribuan post. Tiba-tiba blog anda mengalami masalah teknikal menyebabkan kehilangan data dan segala post yang anda tulis selama bertahun-tahun. Mungkin menangis adalah penyelesaian utama. akan tetapi hosting berbayar menyediakan customer support dan juga database backup yang boleh mengelakkan anda mendapat masalah yang memeningkan kepala anda.

Apa yang saya gunakan sekarang ialah pakej yang paling asas oleh penyedia webhosting dari malaysia. Kenapa saya lebih suka menggunakan khidmat local? Ini bukanlah kerana saya dipengaruhi oleh iklan belilah barangan buatan malaysia. Ini adalah kerana customer support. Saya boleh menelefon mereka jika masalah tidak dapat diselesaikan secara online. Lagipun kos untuk telefon juga adalah jimat. Jika saya menggunakan khidmat hosting luar negara, bayangkan kos bil telefon yang terpaksa ditanggung, lebih-lebih lagi perbualan semestinya dalam bahasa English.

Setakat ini, pengalaman dengan customer support dari syarikat ini adalah sangat baik. Quick and good response. Jika sesiapa berminat boleh lah mencuba khidmat webhosting ini http://www.internet-webhosting.com . Hanya RM10 sebulan sekali dengan domain name. Saya rasa cukup berbaloi untuk newbie yang ingin membina blog.

Sekian.