Income Tax

Income Tax

Tahun 2012 semakin berakhir…..tahun 2013 semakin dekat.

Pada tahun ini saya merasakan pengurusan kewangan peribadi lebih teratur berbanding semasa bekerja sebagai MO di Hospital. Terdapat lebih banyak masa untuk memikirkan tentang masa depan dari sudut kewangan. Tidak dinafikan, saya masih merasakan diri ini masih tidak “secure” dari segi kewangan di masa hadapan.

Alhamdulillah, lega apabila dapat menyelesaikan zakat harta (pendapatan, simpanan etc) 3 hari yang lepas. Rasa terlepas dari bebanan, memandangkan duit itu bukanlah hak kita.

Lumrah bagi seorang doktor, apabila mula bekerja, majoriti tidak mengetahui bahawa kewajipan membayar cukai dan lebih malang apabila tidak tahu perlunya membayar zakat pendapatan, simpanan etc.

Pada permulaan saya bekerja, saya pernah mengunjungi kaunter LHDN untuk pengiraan cukai. Dengan muka tersenyum, pegawai tersebut melihat slip gaji dan juga PCB (potongan cukai berjadual) saya. Setelah membuat pengiraan ringkas, beliau memberitahu “berita gembira” bahawa saya tidak perlu membayar cukai pendapatan. Ya!, itu adalah berita gembira, kerana saya tidak perlu mengeluarkan duit extra untuk membayar cukai. Beberapa bulan selepas itu, saya menerima surat dan borang cukai dari tahun 2001-2004 yang mengarahkan saya agar mengisi borang cukai. Saya agak terpinga-pinga dengan surat tersebut memandangkan masih lagi jahil tentang cukai. Oleh itu saya menghubungi mereka dan mengatakan bahawa saya baru mula bekerja dari tahun 2004 (1 Julai 2004) dan sebelum ini saya tidak pernah mempunyai pendapatan dari mana-mana sumber sekalipun. Saya juga menyertakan surat tawaran kerja dan surat melapor diri. Selepas beberapa minggu, saya mendapat surat balasan balik permohonan maaf kerana kesilapan teknikal dan mereka memulangkan duit lebihan cukai sebanyak RM200.00. Ini membuatkan saya semakin terpinga-pinga tentang isu cukai pendapatan.

Selepas itu saya menyedari bahawa setiap kali masuk gaji, terdapat potongan iaitu PCB (potongan cukai berjadual). Ini bermakna sebelum kita melihat gaji kita masuk ke dalam akaun bank, pihak LHDN telah siap-siap mengambil duit kita sebagai potongan cukai. Potongan itu adalah dari gaji kasar kita. PCB yang diambil sebenarnya kita boleh “claim” / redemption semula apabila kita mengisi borang secara online melalui sistem e-filling dan menyimpan segala bukti-bukti / resit-resit pembelian untuk tuntutan.

Cuba bayangkan, jika setiap bulan potongan yang dikenakan ke atas kita ialah RM200.00, maka dalam setahun jumlahnya RM2400.00. Jika kita tidak pernah merancang “Tax Planning” dan mengisi borang, maka kita tidak berpeluang untuk membuat tuntutan semula PCB yang telah diambil oleh LHDN. Amatlah rugi!, saya mengetahui terdapat rakan saya yang tidak pernah mengisi borang cukai selama 5 tahun. Sedangkan potongan setiap tahun meningkat selaras dengan peningkatan gaji. Jika beliau telah mengisi borang dari sejak 5 tahun lepas, sekurang-kurangnya beliau boleh menebus semula total RM10k. Itu bukanlah jumlah yang sedikit, memandangkan kerja untuk menebus semula amatlah senang. Lagipun duit yang ditebus setiap tahun boleh digunakan untuk membayar zakat dan digunakan untuk merancang tuntutan cukai pada tahun hadapan dengan berbelanja berhemah (pelepasan cukai).

Rupa-rupanya baru saya sedar bahawa “berita gembira” dari pegawai cukai bahawa saya tidak perlu membayar cukai ialah bermaksud “anda tidak perlu membayar cukai kerana pihak kami (LHDN) telah mengambil siap-siap duit dari gaji anda, dan kami berharap anda tidak membuat tuntutan semula demi negara tercinta, hahahahaha”.

Apa yang saya lakukan untuk menebus semula cukai-cukai PCB?

Ini caranya:

Tuntutan cukai boleh dibuat setelah berlalunya tahun tersebut. Contohnya jika saya ingin menebus semula PCB yang telah diambil sepanjang tahun 2012, maka saya perlu mengisi borang pada bulan Januari – March 2013.

Tetapi sebelum itu saya hendaklah membuat anggaran belanjawan agar dapat membuat tuntutan semula. Maka saya akan berbelanja dengan berhemah agar dapat membuat tuntutan balik. Perbelanjaan yang dibenarkan untuk tuntutan semula PCB boleh lah dirujuk di laman web LHDN. Di sini saya ringkaskan sahaja.

Sila rujuk di sini untuk mengetahui list-list pelepasan cukai pendapatan KLIK DI SINI

Zakat

Tuntutan maksimum. Jika jumlah PCB diambil ialah RM1000.00, maka jika zakat dibayar ialah RM1200. Maka jumlah tuntutan semula yang dibenarkan ialah RM1000. Perlu diingat bayaran zakat kepada badan-badan yang dibenarkan seperti majlis agama negeri dan pusat pungutan zakat sahaja yang layak untuk tuntutan semula. Pastikan resit bayaran disimpan untuk tujuan semakan. Jika resit hilang, ia dikira tuntutan palsu dan boleh disaman. Zakat 2012 layak untuk menebus semula PCB 2012 sahaja.

Pembelian buku

Saya akan berbelanja untuk membeli buku sebanyak RM1000.00 untuk setahun. Pembelian buku / majalah / ebook ialah suatu yang sangat bermakna & berharga bagi diri saya. Ia telah banyak membantu saya meningkat ilmu pengetahuan.

Pembelian Komputer

Setiap 3 tahun, tuntutan cukai dibenarkan maksimum sebanyak RM3000 sahaja. Ipad juga termasuk dalam kategori komputer.

Broadband

Pinjaman Perumahan (tertakluk kepada pindaan)

Alatan sukan

Yuran Pendidikan (sambung belajar)

Apa yang penting ialah resit hendaklah disimpan. Saya memfailkan setiap resit dan menyusunnya. Sangat bersyukur kerana isteri banyak membantu dalam perkara ini. Saya nasihatkan agar resit-resit bukti di scan / photostat kerana dakwat di resit itu akan pudar tidak sampai setahun.

Kebiasaannya, tarikh akhir mengisi borang ialah bulan April  setiap tahun. Jika isi di saat terakhir, biasanya server akan jammed dan slow kerana ramai yang menjadi hero di saat akhir.

Pastikan slip gaji dan borang EA diperolehi dari bahagian gaji.

Tax planning merupakan indikator tentang pengurusan kewangan seseorang. Jika mereka alert dan sangat perihatin tentang perkara ini, maka status kewangan mereka berada dalam keadaan baik. Perkara sama juga bagi orang yang menjalankan perniagaan, jika tidak pernah mengisi borang cukai dan tidak pernah mengisytiharkan pendapatan syarikat, maka terdapat dua kemungkinan samaada perniagaan lingkup atau sengaja mahu lari dari cukai. Sedangkan jika peniaga merekodkan dengan teliti perbelanjaan perniagaan dan juga membayar cukai (walaupun jumlah sangat sedikit), ini menggambarkan status perniagaan yang kukuh dan peluang untuk membuat pinjaman micro adalah tinggi.

Setakat ini dahulu, saya harap tulisan ini dapat memberi kesedaran tentang pentingnya Tax planning.

 

Kereta ku lari gagah berani!

Apabila melihat kereta usang yang berusia lebih 6 tahun, teringat zaman awal-awal bekerja sebagai seorang doktor. Setelah grad pada tahun 2004, saya telah berjaya mendapat kerja di Hospital Kota Bharu yang sangat dekat dengan rumah ibu bapa. Perjalanan dengan menggunakan motosikal arwah ayah hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Oleh kerana kehidupan Houseman sangatlah sibuk, selang sehari oncall, maka penggunaan minyak petrol untuk motor hanya menelan belanja RM5 sahaja.

Sememangnya menggunakan motor sangat menjimatkan pada awal bekerja. Ditambah pula, tiada hutang lain yang ditanggung. Apabila masuk tahun ke dua bekerja, terfikir hendak membeli kereta. Salah satu faktor adalah kerana mahu mendirikan rumah tangga. Antara faktor lain ialah kurang enak mendengar keluhan ibu yang mahu melihat anaknya membeli sebuah kereta baru.

Pada awalnya memang agak susah hendak memilih kereta. Banyak survey telah dibuat tentang harga dan jenis kereta yang hendak dibeli. Mungkin rezeki yang mahu ditentukan oleh Allah swt, saya tidak terjebak dengan membeli kereta mewah. Pada awalnya mahu membeli Myvi, oleh kerana harganya mahal dan mengambil masa hampir 6 bulan untuk mendapat stok kereta, maka tawar hati untuk membeli kereta tersebut. Pilihan dibuat hanya berdasarkan produk dari Perodua dan Proton. Ini adalah kerana kereta mewah lain seperti Honda, Hyundai, Spectra, Naza dll sangatlah mahal dan bayaran bulanan yang terpaksa ditanggung sangat membebankan.

Tatkala berbincang dengan rakan sekerja, pelbagai komen dan kutukan telah dilemparkan terhadap kereta buatan Malaysia ini. Berdasarkan pengalaman dan testimoni mereka, proton adalah kereta yang sangat fragile, tidak memuaskan dan mudah rosak. Akan tetapi, saya tekad juga untuk membelinya sehinggalah berjaya ditemukan dengan kereta di atas.

Alhamdulillah, sampai sekarang saya sangat bersyukur kerana telah membeli kereta ini. Memang terdapat sedikit kelemahan kereta ini. Walaubagaimanapun, setakat ini saya bersyukur kerana tiada kerosakan major pada kereta ini.

Mengikut perspektif kewangan, kereta adalah bebanan kewangan dan liabiliti kedua terbesar dalam karier kerjaya. Kadang kala apabila membeli kereta, nafsu lebih diutamakan. Maka alasan akan terkeluar seperti lebih selesa, untuk perjalanan jauh, harga jualan second hand tidak jatuh dan macam-macam lagi alasan tidak logik.

Saya teringat kisah seorang Medical Officer yang sangat particular tentang kereta, pantang mendengar bunyi ‘ngok ngek’ sikit pada keretanya terus rasa stress dan tension. Mungkin MO ini menghidapi penyakit was-was dengan keretanya. Akhirnya dia telah menukar kereta protonnya kepada kereta mewah jenama Hyundai. Setelah ditanya beberapa bulan tentang keretanya, air mukanya masih menampakkan riak yang tidak puas hati dengan prestasi kereta barunya.

Jika merujuk kepada buku AKPK, antara tips yang dicadangkan semasa membeli sebuah kereta ialah:

  1. Dapatkan jumlah pinjaman yang mampu dibayar, jangan berhutang melebihi jumlah 40% dari pendapatan kasar
  2. Kos untuk kereta bukan HANYA meliputi kos bayaran bulanan tetapi kos petrol, penyelenggaraan, cukai jalan dan lain-lain. Maka jumlah kos bulanan sebenarnya lebih tinggi dari jumlah ansuran yang perlu dibayar kepada bank
  3. Cuba sedaya upaya untuk melangsaikan pinjaman secepat mungkin, sebaiknya mengambil tempoh yang pendek dan membayar pendahuluan semaksimum. Ada yang mencadangkan tempoh terbaik bagi pembelian kereta ialah 3-5 tahun sahaja.

**Untuk mengetahui secara detail panduan membeli kereta, rujuk buku terbitan AKPK bertajuk POWER! pengurusan wang ringgit anda**

Alhamdulillah, mujurlah saya telah ditakdirkan menepati semua kriteria diatas kecuali tempoh pinjaman iaitu hampir 7 tahun.

Sekarang, saya menunggu kereta ini hendak dimerdekakan. Kadang kala terasa nafsu ingin membeli sebuah MPV supaya lebih selesa kerana anak sudah besar, tetapi hati gerun dengan hutang yang akan ditanggung. Maka hati pasrah, redha dan bersyukur dengan apa yang ada.

Kadangkala tersenyum apabila mengenangkan komen dari saudara mara “Dua-dua kerja doktor, tetapi kereta proton sahaja”. Jawapan yang terbaik saya rasa ingin berikan ialah “Kami tidak mampu”.

Nasihat saya bagi doktor yang baru bekerja, belilah kereta mengikut keperluan bukan bermewahan. Pastikan anda mencari info dari sudut pandangan pakar kewangan tentang panduan membeli kereta bukannya dari agen kereta.  Kelak anda akan menyesal apabila melihat kereta itu menghakis duit poket anda dan memaksa anda membuat lokum untuk melangsaikan ansuran bulanan. Manakala agen kereta dan pihak bank hanya tersenyum lebar mendapat komisyen dan faedah mereka.

Ilustrasi Skim MLM

Teringat sewaktu setahun selepas bekerja, saya pernah tertipu oleh skim piramid MLM. Oleh kerana kurangnya ilmu dalam bidang kewangan dan pelaburan, saya terpengaruh dengan ajakan salah seorang kawan yang juga seorang doktor untuk melabur dalam skim yang saya sendiri tidak tahu kesahihannya.

Apabila seorang doktor mula bekerja, terdapat ramai ‘individu’ yang tidak dikenali akan mendekati mereka dalam kawasan hospital. Individu itu boleh diklasifikasikan kepada: agen insurans dari berbagai syarikat samaada konvensional atau takaful, agen MLM, agen unit amanah dan mungkin orang tidak siuman. Akan tetapi, tidak semua individu itu adalah penipu sebenarnya.

Saya di approach oleh rakan sekerja, secara jujurnya saya tidak mengatakan beliau seorang penipu, beliau hanya si dungu yang telah ditipu berulang-ulang kali oleh sistem MLM dan masih tidak sedar hidupnya sentiasa di tipu. Beliau mengajak saya melabur dalam sistem MLM, beliau menunjukkan kiraan keuntungan yang PASTI dapat iaitu lebih kurang 30% sebulan (keuntungan tahunan 300% lebih). Oleh kerana saya kurangnya ilmu dalam bidang ini, dan ilmu tentang MLM penipu ini tidak pernah diajar dalam sukatan pelajar perubatan maka duit saya telah hangus sebanyak hampir RM2000.00. Mujurlah jumlah itu tidak sebanyak seperti yang dilaporkan dalam surat khabar seperti puluh ribu dan ada juga ratusan ribu.

Selepas saya kerugian, saya mula mempelajari selok belok tentang ilmu pelaburan dari sudut syariah. Saya berpendapat dan yakin bahawa jika saya mempelajari dan mengambil tahu hukum hakam tentang ilmu kewangan dan pelaburan dari sudut syariah maka saya akan selamat dari penipu skim piramid MLM di dunia dan akhirat. Maka website Ustaz Zaharuddin menjadi rujukan utama saya sampai sekarang.

Seorang doktor memanglah bijak, tetapi hanya dalam bidang perubatan. Ilmu kewangan dan pelaburan bukanlah ilmu yang akan di “congenitally acquired” atau di “genetically inherited” setelah lulus dari fakulti perubatan. Ilmu itu perlulah dicari dan dipelajari. Oleh kerana doktor adalah dalam tarat high income earner dalam sektor awam, maka mereka akan menjadi lubuk emas bagi pengamal skim piramid MLM penipu ini mencari mangsa.

Antara ciri-ciri “typical” skim penipu MLM ialah:

1. Jaminan keuntungan dalam pelaburan

2. Keuntungan dijamin “too good to be true” seperti melebihi 100%- infinity setahun

3. Tiada urus niaga yang jelas tentang produk yang dijual

4. Duit keuntungan tidak jelas datang dari mana

5. Satu produk dijual sebagai “decoy” untuk mengabui ketidakjelasan urusniaga.

6. Syarikat didaftar di atas nama enterprise, tetapi mengutip duit deposit dari orang ramai.

7. Tidak jelas dari sudut syariah tentang urusniaga dijalankan atau tidak mempunyai penasihat syariah

8. Lebih kepada merekrut downline / head hunting dari mempromosikan produk.

9. Duit yang dilaburkan tidak berada di bawah kawalan pelabur, maka jika syarikat MLM ini mahu melarikan diri, mereka dapat melarikan segala duit pelabur.

Apa yang saya paling BENCI ialah apabila ada dikalangan doktor yang menjual produk supplemental ubatan tradisional dan menggunakan title sebagai doktor untuk memberi testimoni kelentong tentang kelebihan produk. Testimoni diberikan pula tidak berdasarkan asas kukuh dari sudut perubatan dan saintifik, dan produk tersebut juga tidak pernah melalui kajian saintifik.

Alhamdulillah, selepas itu, saya tidak lagi ditipu oleh penyangak MLM dan skim piramid. Walaupun selepas peristiwa itu ramai yang datang mempromosikan skim pelaburan kepada saya seperti Swiss Cash, Buluh Emas, Hai-O dan sebagainya. Semua itu saya tolak kerana saya merasakan skim itu terlalu “too good to be true” dan tidak menepati dari sudut syariah (berdasarkan apa yang saya faham dari website Ustaz Zaharuddin). Kebanyakkan skim di atas telah ‘mati’ setelah beberapa bulan.

Persoalannya adakah lebih baik tidak melabur terus dan hanya menyimpan duit di dalam bank sahaja? Tentu sekali tidak. Terdapat banyak pelaburan yang HALAL , sah dan mempunyai penasihat syariah. Kebiasaaan pelaburan halal tidak memberi jaminan PASTI keuntungan dan pulangan yang tetap, tetapi kebiasaannya untung. Adalah rugi jika tidak meletakkan sebahagian gaji dalam pelaburan, kerana gaji yang di simpan dalam bank semata-mata akan di mamah oleh inflasi setiap tahun. Tempat terbaik untuk menyimpan duit bagi saya ialah di Tabung Haji yang memberikan pulangan dividend yang sederhana setiap tahun.

Sekarang, saya mengambil kelas IFP (Islamic Financial Planner) secara part time. Saya membuat keputusan untuk mengambil kelas ini kerana saya merasakan sebagai seorang Islam wajiblah mempelajari ilmu tentang pengurusan kewangan. Semoga saya berjaya nanti untuk mendapatkan sijil profesional dan boleh menguruskan kewangan sendiri dan keluarga dengan lebih islamik dan teratur.

Buku POWER terbitan AKPK

Hari ni tengah boring-boring membelek buku POWER yang ditulis oleh AKPK; agensi kaunseling dan pengurusan kredit. Sebuah agensi under bank negara. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh pergi ke website rasmi www.akpk.org.my. Mereka bertanggungjawab memberi khidmat nasihat dan education tentang financial planning. Akan tetapi, saya berharap, saya tidak berjumpa dengan mereka, kerana kebiasaannya yang pergi ke sana sudah mempunyai masalah kewangan yang tidak dapat dipulihkan.

Sewaktu membelek-belek buku ini, tercengang sekejap dengan kes senario yang diberikan berkisar tentang doktor yang kaya, hidup secara mewah dan menghadapi masalah kewangan. Walaupun kisah ini hanyalah rekaan semata-mata dan ada kena mengena dengan yang hidup, tetapi ia mungkin based on true story. Ia sangat merunsingkan saya sebagai seorang doktor. Kalau lah letakkan senario tu sebagai kontraktor atau taukeh balak pun ok juga mungkin lega sikit.

Sememangnya doktor pakar adalah tergolong dalam golongan high income earner. Tetapi jika mereka tidak tahu selok belok tentang financial planning, maka besar kemungkinan mereka akan mengalami kemelut kewangan yang teruk.

Kes senario doktor dengan masalah kewangan

Dalam buku ini, ia menceritakan secara asas tentang financial planning, sesuai panduan orang ramai yang tidak tahu dimana perlu bermula untuk memahami tentang ilmu pengurusan kewangan.

Terdapat 6 bab dalam buku ini merangkumi:

1. Pengurusan aliran tunai

2. Asas meminjam

3. Penggunaan kad kredit secara bijak

4. Membeli kereta

5. Membeli rumah

6. Mengurus hutang anda

Terdapat banyak contoh dan kes senario yang diberikan dengan setiap bab.

Bagi yang ingin mengetahui secara asas, saya cadangkan buku ini. Tetapi saya tidak tahu dimana hendak membelinya, anda boleh menghubungi AKPK terus.

Saya berazam menghabiskan buku ini diwaktu lapang…insya Allah

 

images

Saya meminati ilmu kewangan. Ilmu kewangan bukanlah berkisar HANYA semata-mata tentang ilmu membuat duit, atau ilmu menguruskan duit atau melabur. Tetapi terdapat satu missing puzzle iaitu agihan kekayaan yang meliputi infaq, sedekah, hibah, waqaf dan pewarisan harta pusaka menurut islam.

Secara umumnya, karier doktor adalah mempunyai gaji yang paling tinggi dalam kerajaan bagi penjawat awam jika dibanding dengan karier lain. Walaupun, perbezaan itu mungkin hanya sekitar RM100 sahaja berbanding karier lain.

Doktor adalah spesies manusia yang sibuk; oncall, night shift, post call, PM off dan macam-macam lagi istilah sibuknya. Secara umumnya kesibukan itu akan membantutkan mereka untuk mengambil tahu urusan kewangan mereka. Walaupun masalah ini adalah juga berlaku dalam karier lain, tetapi saya lebih suka menceritakan tentang dunia doktor di mana saya pernah laluinya dan sedang melaluinya.

Antara langkah-langkah yang secara rutinnya dilakukan oleh doktor apabila memperolehi gaji ialah membeli sebuah kereta yang agak mewah. Pembelian kereta yang mewah menyebabkan bayaran bulanan yang agak membebankan, ditambah pula dengan kos petrol dan kos maintainance yang agak tinggi. Awal-awal lagi bebanan kewangan sudah muncul.

Langkah seterusnya, ialah membeli rumah atau tanah dengan tergesa-gesa dengan alasan kerana rumah akan naik harga dan juga tanah akan naik harga dan ianya boleh menjadi aset. Tetapi ramai tidak sedar apa itu istilah aset dan juga liabiliti. Jika merujuk kepada buku Rich Dad Poor Dad yang ditulis oleh Robert T.Kiyosaki, rumah dan tanah tidak semestinya menjadi aset, bahkan kebanyakan masa menjadi liabiliti yang akan mengecilkan duit poket. Jika menggunakan alasan rumah dan tanah akan naik harga nanti, umpama mengira anak ayam dari telur yang belum menetas.

Langkah seterusnya yang dilakukan ialah, membuat renovation rumah dan juga membeli kereta ke dua. Dengan alasan, long journey travelling perlu kereta lebih baik. Ini menambah lagi parah status kewangan doktor.

Jika mereka tidak bernasib baik, akan di approach oleh penggiat MLM skim piramid penipu tegar, yang menjanjikan keuntungan 300% serta merta hanya dengan meletakkan sejumlah besar wang sebagai modal pelaburan, maka doktor itu mulalah membuat personal loan yang menambahkan lagi keparahan status kewangan. Biasanya skim MLM piramid akan ‘mampus’ dalam masa tidak sampai 6 bulan, seperti skim Buluh Mas.Ini menjadikan status kewangan individu terbabit menjadi umpama kanser peringkat terakhir yang sukar dipulihkan.

Saya pernah mengenali seorang doktor, beliau merupakan peminat MLM tegar, dia mempunyai pendapat jika mahu kaya, satu-satunya jalan ialah dengan MLM. Saya sangat kurang bersetuju dengan pendapat ini. Kerana jalan kekayaan bukan satu jalan sahaja. Dalam Islam, terdapat 4 langkah untuk menjadi kaya dunia dan akhirat meliputi, wealth generation (cari kerja), wealth growth (pertumbuhan), wealth protection (takaful) dan wealth distribution (waqaf, infaq, hibah dan sedekah). Ini adalah steps yang dinyatakan dalam modul IFP (islamic financial planning) untuk mencapai Al-Falah (kejayaan) di dunia dan akhirat.

Pada pendapat saya, apa yang penting ialah bermula dengan gaji pertama seorang doktor, mereka hendaklah menyimpan sebahagian gaji, paling minimum 30% dari total gaji untuk membina reserve money untuk survival 6 bulan tanpa kerja. Kemudian membeli takaful untuk protection. Selanjutnya meletakkan portion dari gaji untuk investment dalam pelaburan saham-saham yang patuh syariah. Tetapi langkah terakhir yang dilupai dan diabaikan oleh kebanyakan orang Islam termasuk saya  ialah “wealth distribution” . Ianya meliputi penulisan wasiat agar harta kita tidak dibekukan oleh Bank dan etc selepas kita mati, hibah atau hadiah kepada seseorang dan waqaf untuk ‘pelaburan akhirat’ .

Disini saya suka highlight sedikit suatu kisah tentang isu waqaf “2 anak yatim pada zaman Rasulullah saw yang mewaqafkan sekeping tanah untuk tujuan pembinaan masjid nabawi. Cuba bayangkan berapa juta, billion, zillion pahala yang mereka dapat sejak lebih seribu tahun lalu, sudah pasti mereka telah mendapat tempat di syurga”.Walaupun kita tidak berupaya mewaqafkan sebidang tanah, mungkin kita boleh bermula dengan mewaqafkan sekeping duit seringgit hingga lima puluh ringgit.

Oleh itu, sebagai seorang doktor, amatlah penting untuk mengambil tahu tentang status kewangan masing-masing. Ilmu tentang Islamic Financial Planning tidak akan datang kecuali kita mencarinya. Saya sudah menemui cara mendapat ilmu Islamic Financial Planning, dan saya berazam untuk mempelajarinya dan mendapatkan sijil tersebut demi kepentingan diri dan keluarga. Semoga Allah swt memberikan umur cukup panjang dan kejayaan dalam usaha ini.

P/S:

“Bukanlah penting sebanyak mana gaji diperolehi, tetapi sebanyak mana yang disimpan itu paling penting”

“Menyimpan adalah langkah awal paling asas ke arah kekayaan, menyimpan ditempat yang sesuai adalah paling penting”

“Tentang pelaburan, dalam Islam tiada pelaburan boleh menjanjikan pulangan, kerana adalah ‘nature’ pelaburan mesti ada untung dan rugi, paling penting sebelum melabur ialah tahu risiko pelaburan tersebut”