Tips-to-Improve-Memory

Kuat ingatan merupakan modal utama penceramah motivasi kepada pelajar untuk berjaya dalam pelajaran. Sehinggakan terdapat banyak pantang larang dan petua untuk menguatkan ingatan. Antara petua paling terkenal untuk menguatkan ingatan ialah memakan kismis sehinggakan peniaga jus kurma, kismis, zaitun dan macam-macam lagi untung besar dengan produk tersebut.

Terdapat juga pantang larang pelik seperti tidak boleh makan kepala ikan, makan organ dalaman seperti hati dan limpa dan tidak boleh membaca tulisan pada kubur. Semua ini ditakuti boleh menyebabkan hilang ingatan, lantas lupa nama dan alamat tempat tinggal seperti orang menghidap penyakit Alzheimer.

Saya juga mengidamkan ingatan yang kuat, sebolehnya “photographic memory”. Apa yang dilihat tidak dilupakan, walhal kadang kala kita lupa bahawa lupa itu adalah suatu nikmat dan rahmat Allah swt. Jika kita tidak pernah lupa, sudah pasti kita menghidap penyakit “post traumatic stress disorder” kerana sudah pasti antara kita pernah mengalami kejadian menakutkan sepanjang hidup ini.

Saya ingin kongsikan sedikit tentang suatu buku lama dan klasik yang sangat menarik tentang kaedah mengingat yang bertajuk “How to develop super power memory” yang ditulis oleh Harry Lorayne.

Teringat kembali sewaktu umur saya sekitar Tingkatan 1, seorang berambut putih muncul di TV dalam rancangan smartshop, dia menunjukkan kehebatan mengingat nama dan segala detail terperinci penonton yang hadir dalam studio. Bukan setakat itu, dia juga menunjukkan kebolehan menghafal setiap muka surat majalah dan segala cerita dan highlight muka surat tersebut. Produk yang dijualnya adalah kaset dalam bahasa Inggeris (yang sememangnya tidak difahami oleh saya), dengan harga RM150. Pada waktu itu berangan-angan hendak membelinya, tetapi akhirnya angan-angan terkubur disitu sehaja.

Setelah lebih 10 tahun berlalu, terjumpa sebuah buku lama dan klasik  di IIUM library, rupa-rupanya segala ilmu itu telah lama diterbitkan dalam buku “how to develop super power memory”. Setelah membaca buku itu, saya mula melihat kuat ingatan ini dari sudut perspektif yang berbeza.

Antara salah faham yang diperbetulkan dalam buku ini ialah:

  1. Untuk mengingat perlukan satu sistem, untuk mengingat nama, alamat, nombor, muka semuanya memerlukan sistem yang tertentu.
  2. kebanyakan mengatakan ingatan mereka lemah, walhal setiap orang mempunyai kebolehan mengingat yang hampir sama, cuma cara mengingat itu berbeza dan ramai antara kita ingatan tidak pernah di latih mengikut sistem yang betul.
  3. kita sebenarnya bukan mudah lupa, tetapi cuma tidak tahu cara / kaedah untuk mengingat
  4. Minat, tabiat, dan pemerhatian semuanya menyumbang kepada kuat ingatan.

 

Setelah membaca semula dengan teliti buku tersebut, saya telah berjaya mencuba kaedah tersebut untuk mengingati sebahagian turutan surah dalam al quran, contohnya Surah AlMukminun merupakan surah ke 23, surah Al Kahfi merupakan surah ke 18. Jika diterbalikkan, surah ke 15 ialah surah Al Hijr.

Sebenarnya kaedah dalam buku ini perlukan sedikit “effort” dan komitmen untuk mempraktikkannya.

Contoh lain aplikasi ini ialah untuk mengingati senarai barang-barang yang perlu dibeli di supermarket. Mungkin agak sedikit rumit dan susah untuk membiasakan diri, tetapi kesusahan itu akan terbayar, apabila kita telah mahir dengan kaedah dalam buku ini.

Yang pasti, jika kita dapat menguasai kaedah dalam buku ini, “photographic memory” tidaklah mustahil bagi kita suatu hari nanti.

Alangkah baiknya jika saya menemui buku ini ketika bergelar pelajar perubatan, sekurang-kurangnya saya tidak lah banyak mengalami kegagalan setiap tahun.

Untuk melihat review yang lebih baik dari saya tentang buku ini, bolehlah cuba pergi ke www.amazon.com dan taip judul buku ini, terdapat ramai pelanggan telah memberikan review yang sangat baik dan jujur tentang kejayaan mereka disebabkan buku ini.

Saya rasakan teknik dan kaedah dalam buku ini sangat bagus untuk digunakan oleh pelajar sekolah rendah dan menengah untuk mendapat kecemerlangan dalam pelajaran.

Sekadar perkongsian bagi yang berminat. : )

images

Menulis thesis bukanlah perkara yang senang. Menulis buku untuk bacaan umum juga bukan perkara yang senang.

Di Universiti, tidak ada kelas secara rasmi yang mengajar tentang ilmu penulisan. Kemahiran menulis thesis juga tidak ada kelas yang rasmi dan juga tunjuk ajar, ianya dianggap suatu kemahiran yang akan diperolehi secara semulajadi. Sedangkan bagi dunia penulis, terdapat kaedah yang diamalkan untuk menghasilkan seubah karya yang baik. Kadang kala terfikir kenapa, mengapa dan bagaimanakah sesetengah individu boleh menulis banyak buku sepanjang hidupnya, saya malu dengan diri sendiri kerana masih tidak berjaya menghasilkan buku walaupun taraf buku tadika.

Setelah menghadiri kursus penulisan di Akademi Penulis, segala persoalan terjawab. Terima kasih di ucapkan kepada Tuan Ikram Wazir, pengajar yang gigih memberikan panduan selama 2 hari, dan juga Tuan Zamri Mohamad, kerana sudi berkongsi dan mengajarkan Kaedah Penulisan KJ Method.

Jika anda mahu belajar ilmu penulisan secara umumnya, hendaklah belajar dengan ‘pakar’ dalam bidang penulisan. Kaedah ataupun method menulis tetap sama, tetapi applikasi mungkin berbeza.

Sejak saya memasuki universiti, saya mula berpandangan jika sesuatu perkara tidak kira apa sekalipun jika dilakukan dengan menepati “Method” nya sudah pasti perkara tersebut akan menjadi mudah, berjaya dan menjimatkan masa. Cuma mungkin masa perlu diperuntukkan untuk mempelajari method tersebut, tetapi ianya sangat berbaloi.

Jika mahu menaip dengan laju dan pantas, maka belajarlah “typing tutor” .

Jika mahu belajar Adobe Photoshop, maka gunakanlah buku yang bersesuaian.

Jika mahu belajar citation article / journal belajarlah perisian EndNote.

Jika mahu belajar SPSS carilah buku panduan statistik

Jika mahu belajar menulis thesis atau buku belajarlah dengan Akademi Penulis.

Jika mahu menulis thesis mengikut format Microsoft Word maka belajarlah “Thesis formatting with Microsoft Word”

Jika mahu membaca dengan pantas, maka belajar “Breakthrough Rapid Reading / Speed Reading”

dan banyak lagi….

Pendek kata, bakat tidak wujud secara asasnya.

Saya berpendapat, bakat dari sudut medical hanyalah suatu ‘primitive reflexes; sucking reflex, rooting reflex, stepping reflex, grasp reflex’ yang wujud pada setiap bayi yang lahir, hilang apabila umur mencecah sekitar 9 bulan.   Ianya mungkin juga anugerah untuk segelintir individu sahaja. Tetapi ‘bakat’ yang sebenar ialah apa yang dicari, dipelajari bersungguh-sungguh yang kemudiannya menjadi suatu ‘skill’ bagi seseorang. Dari mengharapkan ‘bakat semulajadi’ yang belum tentu, adalah baik saya mencari ‘bakat kemahiran’ yang diidamkan.

Alangkah baiknya jika umur boleh diundurkan semula…masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

Tahniah dr maihan

Alhamdulillah,

Syukur adalah salah satu amal ibadat yang perlu selalu dilakukan. Terdapat terlalu banyak nikmat yang telah Allah swt kurniakan kepada saya berbanding amalan bersyukur saya. Kadang-kala teringat kembali kesusahan hidup yang sedikit pernah dilalui akhirnya telah dibalas dengan nikmat yang tidak terhingga banyaknya. Alhamdulillah!

Antara nikmat terbesar yang perlu disyukuri ialah:

1. Nikmat Iman dan Islam

2. Nikmat kesihatan tubuh badan

3. Nikmat keamanan dan keselamatan

4. Nikmat harta dan kesenangan

5. Dan banyak lagi ..

Pada 27/05/2011 yang lepas, pukul 4:52 petang, ia merupakan waktu yang sangat bermakna buat diri saya. Saya telah mendapat berita gembira bahawa adik perempuan saya telah berjaya lulus dalam profesional exam Kulliyyah Of Medicine dan telah secara rasminya menjadi seorang doktor. Alhamdulillah…tidak dapat digambarkan betapa gembiranya, sampai sekarang sudah pasti saya akan tersenyum apabila memikirkan kembali saat itu.

Adik saya merupakan pelajar perubatan yang telah menghabiskan masa 6 tahun untuk menamatkan pelajarannya. Dia telah melalui liku-liku dan kesusahan yang lebih berat dari saya. Kegagalan dalam pelajaran, mengulang tahun, stress kerana gagal dalam exam, lulus atas pagar dan pelbagai lagi istilah yang menggambarkan kesusahan dan kepahitan dalam belajar akhirnya segalanya telah dihilangkan dalam sekelip mata sebaik sahaja keputusan profesional exam telah diumumkan. Andai kata saya “kaki fail” ini ditempatkan di dalam situasi adik saya, sudah pasti saya tidak sanggup berhadapan dengan semua ujian itu. Bagi 5 orang pelajar tahun akhir yang terpaksa extend 6 bulan, saya doakan agar mereka berjaya lulus pada exam profesional akan datang.

Kisah kegagalan dalam hidup pelajar perubatan jarang diceritakan, akan tetapi ia adalah satu kisah yang realiti yang sentiasa berlaku dalam dunia medical student. Mungkin kerana apabila diumumkan lulus sebagai seorang doktor, segala kisah pahit itu terus hilang, jadi cerita gagal terus tenggelam. Akan tetapi, saya suka menceritakan kisah kegagalan ini kepada orang ramai, supaya kisah tentang “dunia doktor dan yang berkaitan dengannnya” akhirnya tidak menjadi kisah “Too good to be true”. Jika menceritakan kisah kepada pelajar sekolah tentang doktor sudah pasti terbayang seorang yang gah dan hebat, memakai white coat, dilehernya stethescope  berbelit, dikelilingi oleh ramai doktor junior dan nurse sewaktu round, pesakit semuanya tersenyum dan bersalam, staff hospital tunduk hormat apabila bertembung, mempunyai kereta yang mewah dan besar, berkahwin dengan perempuan yang cantik, rumah banglo besar dan bahagia sepanjang hayat bla..bla..bla. Itulah cerita “too good to be true”.

Secara realitinya, ramai masih tidak memahami hidup seorang pelajar perubatan dan doktor. Adakah dengan cerita saya ini ramai akan mula membenci atau takut untuk menjadi doktor? Oh sudah tentu tidak, menjadi doktor ialah salah satu “niche” yang sentiasa “evergreen” di mana-mana di atas bumi ini. Sedangkan title “Dr” itu menjadi kegilaan  melalui Phd apatah lagi melalu degree perubatan.

Nasihat saya, jika anda berminat menjadi doktor, teruskan dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah cita-cita mulia itu. Akan tetapi, fahami hakikat dunia doktor supaya cerita tentangnya yang anda dengari bukanlah sekadar fairy tale ataupun cerita penglipur lara. Walaupun statistik telah menunjukkan majoriti hampir kesemua pelajar perubatan lulus akhirnya, tetapi siapakah yang dapat menjamin anda tergolong dalam majoriti dan minoriti itu. Sudah pasti hanya Allah swt sahaja yang boleh memberi jaminan itu.

Saya telah lulus 7 tahun yang lepas, adik saya telah lulus 7 hari yang lepas… Alhamdulillah!

 

Alhamdulillah,

Antara yang ingin saya kongsikan dari bacaan buku “ke mana wang anda” karangan Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir.  Sila lihat di sini bagi melihat gambar buku tersebut. Kalau tidak kedekut duit, saya syorkan beli buku itu di kedai-kedai buku terkemuka.

Jika ingin melancong ke tempat asing, paling kurang kita mesti bersedia dengan peta sebagai rujukan. Begitu juga dengan permasalahan kewangan, jika kita tidak menyiapkan peta kewangan maka kita akan ‘sesat’ iaitu berakhir dengan ketidakcukupan dari segi kewangan walaupun gaji dan pangkat naik 100 kali setahun.

Antara persoalan yang perlu difikirkan bagi menyediakan peta kewangan ialah:

  1. Ke mana arah tujuannya?
  2. Bagaimana hendak sampai ke sana?
  3. Perlukah melalui liku-liku atau ‘jalan mati’?
  4. Apa persiapan yang perlu ada?
  5. Selesakah kita dalam perjalanan menuju destinasi itu?

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dibuat untuk melukis peta kewangan:

  1. Lakarkan garis lurus bermula dengan umur anda sekarang, lagi muda lagi bagus. Tetapkan perjalanan umur itu sehingga 75 tahun . Insya Allah
  2. Tetapkan beberapa matlamat dan jangka masa yang tempoh untuk mencapai matlamat tersebut
  3. Gunakan financial calculator. Boleh di download di sini. Tujuannya untuk mengira berapakah jumlah yang perlu anda laburkan dalam sebulan bagi mencapai matlamat anda.
  4. Dapatkan nasihat dari syarikat penasihat dan perunding kewangan. Saya cadangkan disini Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd. kerana mereka tidak mengenakan yuran untuk consultation kewangan. Keuntungan diambil sebagai komisyen dari pelaburan yang dicadangkan.

Peta Kewangan anda

Antara contoh matlamat ialah:

Saya ingin mengerjakan haji dalam masa 10 tahun akan datang. Dianggarkan kos haji RM50 000. Dengan menggunakan financial calculator, duit dilabur dalam unit amanah yang memberikan pulangan 15% setahun. Maka, jumlah yang perlu dilaburkan ialah: RM 1000 sebagai duit permulaan untuk membuka akaun + RM434.94 sebulan selama 10 tahun.

Dengan menggunakan peta kewangan ini, saya mendapati matlamat kewangan lebih jelas. Walaupun mungkin sesetengah matlamat tidak akan dicapai, sekurang-kurangnya mempunyai matlamat dan perancangan adalah lebih baik dari mengharapkan segalanya “takdir” dan akhirnya menyalahkan takdir.Yang penting azam, usaha dan tawakkal.

Di harap golongan yang pekerja awam yang berpendapatan tinggi terutama doktor lebih peka dengan perkara ini. Kerana inilah peluang untuk mendapat kebebasan dari segi kewangan lebih awal. Akan tetapi, malangnya kesedaran di kalangan doktor masih rendah dan mereka sangat pasif dalam management kewangan. Sepatutnya management kewangan ini diletakkan dalam ‘triage’ zon merah. Kelak akan menyesal dan terus menyalahkan KKM kerana tidak menaikkan gaji, gaji tidak cukup dan lain lain. Padahal, isu kelemahan pengurusan kewangan tidak pernah di timbulkan oleh mereka, termasuklah diri saya sendiri.

Di harap penulisan ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca.

Sekian

Alhamdulillah,

Telah selamat sampai di rumah selepas mengunjungi KLIBF 2011. Saya telah menghabiskan masa hampir 2 hari membeli-belah buku di KLIBF 2011. Hampir RM400 lebih telah dihabiskan untuk membeli buku-buku, kebanyakan buku yang dibeli ialah terbitan PTS Publication.

Rezeki hampir mengena!

PTS Publication telah mengadakan cabutan bertuah kepada pengunjung, tidak perlu membeli, hanya perlu mengisi borang kecil untuk cabutan bertuah, pada hari Jumaat lepas, saya mencuba nasib dan merasa teruja kerana iPad masih tidak dimenangi oleh sesiapa pun. Dengan hati berdebar-debar mencuba, aduhh tidak mengena. Selang 2 cabutan selepas itu, iPad itu telah menjadi milik pelajar UIA. Sekurang-kurangnya rezeki sudah hampir mengena. Apa pun rezeki dari Allah swt yang ada sekarang sangat-sangat disyukuri.

Buku yang dibeli

Ke Mana Wang Anda?

Kebanyakkan buku yang dibeli ialah berkisar tentang pengurusan diri dan kemahiran diri. Saya telah membeli beberapa buah buku tentang “Bagaimana untuk menjadi penulis” karangan oleh Zamri Mohamad dan Jeniri. Tujuan pembelian buku tersebut ialah untuk mendapatkan tips-tips dan teknik menjadi penulis. Kemahiran dan ilmu yang akan diperolehi di harap dapat membantu dalam penulisan tesis peringkat master nanti. Terdapat juga buku pengurusan kewangan yang menarik perhatian saya iaitu bertajuk “Ke mana wang anda?” karangan oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir. Alhamdulilah, syukur kerana ditemukan buku ini, di dalamnya terdapat tips “new knowledge” bagi saya tentang “Peta Perjalanan Kewangan”. Info inin tidak pernah saya jumpai walaupun telah membaca beberapa buah buku kewangan oleh Azizi Ali dan Robert T.Kiyosaki. Ini merupakan rezeki yang tidak ternilai bagi diri saya. Buku untuk anak saya yang sulung juga dibeli, oleh kerana dia akan mencapai umur 4 tahun pada tahun ini, sepatutnya dia sudah bersedia untuk belajar membaca dengan sebaiknya. Buku yang dibeli ialah “I can read”. Nampaknya dia memang berminat dan bersemangat untuk belajar, harapnya tidak menjadi hangat-hangat tahi ayam semangat itu. Bergantung juga kepada ibu bapa untuk memupuk minat membaca dengan lebih baik .

Kelebihan membaca buku

Minat membaca sememangnya tiada dalam diri saya sebelum ini. Membaca bukanlah sesuatu yang disukai oleh saya. Begitu juga kebanyakan orang ramai terutama di Malaysia ini. Saya mula minat membaca apabila minat itu dicetuskan oleh Azizi Ali melalui karangan bukunya “Jutawan dari planet jupiter.Sejak dari itu saya mula meminati tentang pengurusan kewangan peribadi

Antara kelebihan yang saya dapati selepas membaca buku ialah :

  1. Pertambahan ilmu; bukanlah banyak akan tetapi tidak sedikit kerana kebanyakan info yang didapati tidak diketahui oleh majoriti dari kawan-kawan yang dikenali.
  2. Mengubah perspektif hidup ini ke arah yang lebih baik. Sebagai seorang doktor, mereka merupakan gologan diiktiraf sebagai yang cerdik dan hebat, akan tetapi minda mereka sebenarnya masih lagi di bawah tempurung (skull bone). Tertutama yang berkaitan dengan pengurusan kewangan. Ini adalah kerana mereka lebih menumpukan kepada tiga perkara iaitu kerja, oncall dan buat master. Apabila membaca buku lebih banyak, saya mula menyedari terdapat banyak ilmu yang perlu dipelajari untuk hidup di dunia ini selain perubatan.
  3. Mengurangkan kebodohan; tidak bermakna jika saya sudah menjadi doktor itu bermakna saya sudah pandai dan terlepas dari kebodohan. Kebodohan itu masih ada, cuma mungkin dalam bidang-bidang lain. Oleh itu, untuk mengurangkan kebodohan, terpaksalah membaca buku tentang perkara lain yang tidak kurang pentingnya seperti isu kesihatan.
  4. Dan banyak lagi….

Yang paling penting ialah perlepasan cukai pendapatan oleh LHDN bagi setiap pembelian buku dan majalah sebanyak RM750. Itu bukanlah jumlah yang sedikit, boleh dikatakan hampir sama dengan jumlah oncall seorang doktor selama 7 hari bekerja.

Minda tertutup dan Pesta Buku

Ada individu menganggap pesta buku hanya sekadar picisan dan penerbitan buku-buku di sini ialah buku rendah taraf mutunya. Mungkin ada kebenaran juga kata-katanya itu. Akan tetapi, saya berpendapat, penerbitan buku yang boleh dibaca dan difahami oleh ramai golongan manusia adalah lebih baik dari hanya difahami oleh segelintir manusia. Sememangnya buku di KLIBF ini tidaklah setanding dengan tulisan journal / article / thesis yang mempunyai impact factor yang tinggi. Akan tetapi, informasi yang didapati dari buku picisan ini banyak membantu orang ramai dalam mencari jawapan bagi sesuatu permasalahan. Tatkala individu itu mengucapkan kata-kata ini, penulis-penulis buku seperti Ain Maisara, Azizi Ali, Zamri Mohamad, Ainon Mohd PTS; mereka semua telah mengorak langkah kejayaan dalam bidang penulisan dan telah mencapai status kewangan yang mantap dari hasil penulisan. Dimana pula status individu tersebut? Di harap individu tersebut akan menjadi reformasi dalam dunia penulisan buku..yang bukan picisan untuk mengangkat mutu minda masyarakat. Dari hanya mengkritik lebih baik bertindak.

Kesimpulan, saya tetap setia dan akan mengunjungi lagi pesta buku pada masa akan datang. Banyak faedah didapati dari pesta buku ini. Sebagai seorang doktor, janganlah liat untuk hadir ke pesta buku, jika tidak dapat hadir dek kerana oncall, janganlah kedekut dan liat untuk membelanjakan duit untuk membeli buku melalui online. Berapa lah sangat buku berharga RM20 nak dibandingkan dengan kereta Honda City, Mitsubishi Evo itu.

Sekian