Dr Solah

Seeking New Knowledge

  • Home
  • About Me
  • Contact Me
  • Terms of Use
RSS

Long case clinical exam – 5 tips

Posted on May 15, 2012 by drsolah
No Comments

p/s: awas! tips ini hanya untuk pelajar yang sentiasa gagal, tidak berapa pandai seperti saya. Ianya tidak berkesan untuk pelajar genius yang tidak pernah merasai erti kegagalan. Tiada jaminan kejayaan selepas menggunakan tips ini :)

Sewaktu saya gagal posting internal medicine di tahun tiga, saya terpaksa mengambil peperiksaan posting ulangan. Tempoh satu bulan akan diberi sebagai “study week” untuk bersedia bagi peperiksaan ulangan tersebut. Format peperiksaan ulangan mengandungi teori dan klinikal. Exam teori dibahagikan kepada soalan MCQ dan PBL. Manakala untuk exam klinikal, terdapat satu long case dan satu short case.

Posting ulangan kadang kala disindir dengan gelaran “posting extended version” atau “posting master”. Ia seolah-olah menggambarkan betapa hebat dan tingginya ilmu mereka yang mengambil posting tersebut kerana belajar lebih lama dari pelajar lain. Tekanan perasaan sewaktu menjalani posting ulangan ini sangatlah tinggi. Ini adalah kerana jika gagal posting ini, maka terpaksa mengulang setahun lagi tahun 3, dan terpaksa melalui semula posting yang lain. Tiada sistem carry forward posting yang telah lulus pada waktu itu.

Sepanjang tempoh itu, saya dan beberapa pelajar lain mendekati beberapa lecturer untuk mendapatkan extra bedside teaching. Kami juga membuat study group bagi berbincang soalan-soalan yang telah keluar pada sebelum ini. Peperiksaan yang paling merunsingkan saya ialah bahagian klinikal long case.

Alhamdulillah, Allah swt telah membantu saya, sewaktu posting ulangan tersebut saya telah mendapat tips yang berguna untuk lulus long case dari seorang pensyarah pakar endocrinology.

Long case clinical exam mengambil masa satu jam untuk dihabiskan. Dalam waktu itu, pelajar perlu mendapatkan sejarah penyakit dari pesakit secara detail, membuat pemeriksaan fizikal secara detail dan membuat outline investigation dan management untuk pesakit tersebut. Dalam satu jam itu, pelajar akan ditinggalkan dengan pesakit tanpa pengawalan pensyarah. Satu jam sebenarnya agak sekejap, walaupun apabila melalui realiti bekerja, ianya sangat panjang.

Terdapat 5 tips yang diberikan oleh Prof. tersebut:

  1. Perkenalkan diri kepada pesakit dan pastikan pesakit mengetahui bahawa kita sedang menjalani exam yang paling penting dalam hidup kita. Tekankan bahawa exam ini sangat penting seolah-olah antara hidup dan mati. Ini bertujuan agar pesakit mengambil serius tentang perkara ini dan tidak menyembunyikan maklumat-maklumat penting yang boleh menyebabkan pelajar gagal.
  2. Tanya diagnosis pesakit tersebut. Kebanyakan pesakit yang menjadi calon exam, mereka akan tahu secara detail diagnosis penyakit mereka. Confirmkan diagnosis yang diberi oleh pesakit itu adalah tepat dengan bertanya soalan lanjut iaitu: Siapakah pakar yang merawatnya, sebagai contoh jika pesakit memberitahu beliau mempunyai “tuberculosis”, dan pakar merawatnya ialah ialah pakar jantung. Maka diagnosisnya mungkin direka-reka dan tidak tepat. Soalan selanjutnya ialah apakah investigation yang telah dilakukan untuk mendapat diagnosis tersebut, contohnya jika “tuberculosis” pesakit memberitahu x-ray, pemeriksaan kahak sebanyak 3 kali, Mantoux Test. Seterusnya tanya rawatan yang telah diberi. Apabila semua jawapan terhadap soalan itu adalah selari dengan diagnosis maka beralih ke langkah seterusnya.
  3. Lakukan “history taking” secepat mungkin. Di akhir sesi “history taking” hendaklah bertanya kepada pesakit apakah soalan-soalan yang sering ditanya oleh pakar yang merawatnya, tetapi kita lupa bertanya. Kebiasaannya pesakit akan memberitahu kekurangan pada “history taking” kita. Amat beruntung jika mereka memberitahu soalan dan jawapan cepu emas yang sering ditanya oleh pakar merawatnya.
  4. Lakukan “physical examination” yang relevan dengan masalah pesakit. Di akhir “physical examination” tanya soalan yang sama iaitu, adakah terdapat apa-apa pemeriksaan yang tertinggal oleh kita, tetapi selalu dilakukan oleh pakar yang merawatnya. Insya Allah pesakit tersebut akan mengingatkan kita tentang perkara yang selalu diperiksa oleh pakar sewaktu “follow up” di klinik dan di wad.
  5. Akhir sekali, tanya pesakit apakah “investigation yang dilakukan dan ubat-ubatan asas yang diberikan. Mungkin pesakit tidak mengetahui secara detail nama saintifik ubat-ubat tersebut, tetapi ianya memudahkan kita untuk mendapat gambaran jelas tentang “outline of management” yang diberikan.

Akhir sekali jangan lupa berterima kasih kepada pesakit, sebenarnya mereka juga ialah guru tidak rasmi bagi pelajar perubatan. Itulah tips-tips yang diberikan oleh professor saya. Kisah disebalik tips tersebut ialah; isteri prof ketika waktu medical student, belajar di universiti di luar negara dalam bidang perubatan. Beliau mendapat kes yang jarang dijumpai iaitu “pseudoxantomata elasticum”. Kes tersebut sangat jarang, dan agak mustahil untuk pelajar perubatan untuk mendapat diagnosis. Dengan bantuan pesakit, pesakit tersebut telah mengajar beliau dan menyuruh beliau memeriksa kulit dan mata untuk mendapatkan clinical findings. Akhirnya beliau telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan final.

Akan tetapi, dalam menggunakan teknik ini, janganlah kita menunjukkan bahawa kita telah tahu dari awal lagi diagnosis ketika membuat “presentation” di hadapan pemeriksa. Janganlah kita membuat “bias presentation” directed to the diagnosis. Hendaklah kita rule out all the possible causes dan juga differential diagnosis yang mungkin dalam pesakit yang berkaitan dengan chief complaint. Walaupun examiner tahu kita mendapat diagnosis dan tunjuk ajar dari pesakit, tetapi mereka mahu melihat critical thinking dan bagaimana kita boleh sampai kepada diagnosis tersebut dan juga telah rule out other possible causes. Jika kita tidak rule out other possible causes, maka sudah pasti 100% akan gagal.

Dengan menggunakan kaedah ini, saya telah berjaya lulus dengan mudah posting ulangan. Saya masih teringat lagi kes pada peperiksaan ulangan tersebut; long case: aplastic anaemia, short case: gouty arthritis. Harapnya saya tidak melalui lagi exam seperti itu.

Categories: Featured Post, Just sharing, Medical student | Tags: clinical exam, long case clinical exam, medical student

Pesta Buku 2012

Posted on May 3, 2012 by drsolah
No Comments

Pesta buku kembali lagi, tahun ini saya tidak mahu ketinggalan untuk membeli belah di pesta buku. Rasa seronok apabila melihat buku-buku yang diberi diskaun.

Tujuan utama saya membeli buku di pesta buku ialah:

1. Pelepasan cukai pendapatan tahunan: Terdapat peruntukan RM1000.00 setahun berhak mendapat pelepasan cukai.

2. Ilmu pengetahuan yang diperolehi dari buku-buku tersebut

3. Promosi dan diskaun yang diperolehi.

Pernah pada pesta buku yang lepas, saya berjaya mendapatkan autograf Azizi Ali bagi buku-buku yang dibeli. Walaupun ianya tidaklah sehebat autograf artis dan pemain bola sepak dunia, ianya berharga buat saya kerana buku-buku karangan beliau telah banyak mengajar saya tentang ilmu pengurusan kewangan.

Target saya dan isteri pada tahun ini ialah untuk membelanjakan sebanyak RM1000.00 setiap tahun, untuk mendapatkan penebusan cukai pendapatan. Alangkah ruginya jika peruntukan untuk pembelian buku ini tidak digunakan sepenuhnya.

Kadang-kala terdapat segolongan individu yang sangat ‘kedekut’ tentang isu membeli buku, sedangkan dengan buku-buku tersebut banyak ilmu yang diperolehi. Jika dinilaikan dengan wang, sudah pasti ilmu yang diperolehi tidak ternilai harganya. Bahkan dengan membeli buku, ianya tidak akan menjatuhkan seseorang ke taraf miskin.

Pada kali ini, saya bercadang untuk membeli buku sekitar tajuk pengurusan kewangan, pendidikan anak-anak, buku rujukan agama seperti tafsir ibnu kathir.

Buat masa ini, saya lebih suka membaca buku dalam bahasa melayu, kerana boleh dihabiskan dalam masa yang cepat. Bahasa Inggeris agak lambat sedikit untuk difahami dan dihabiskan.

Mungkin tahun ini kalau berkesempatan berangan-angan mahu bergambar dengan penulis buku-buku yang disegani seperti Ustaz Zaharuddin, Saifulislam dan lain-lain.

Jom beli buku!, dapat duit (tebus cukai) dan dapat ilmu.

 

Categories: Just sharing | Tags: Pesta buku 2012, tebus cukai dengan beli buku

Nasib Houseman yang suram..

Posted on April 4, 2012 by drsolah
1 Comment

Just illustration

Doktor merupakan golongan majoritinya dihormati dalam masyarakat. Telah sedia maklum, bahawa doktor menduduki tempat teratas dalam golongan yang boleh dipercayai berbanding ahli politik yang mendapat ranking paling bawah dan tidak boleh dipercayai. Akan tetapi, amat kasihan kepada golongan doktor di Malaysia. Mereka adalah golongan yang sangat pasif. Jika dihempuk, dilanyak, diterajang dan di debik, mereka pasti tidak akan melawan. Sebab itulah tidak pernah ada dalam sejarah doktor mogok dan tunjuk perasaan di jalanan bagi menuntut hak mereka. Kebanyakan doktor akan resign dari kerajaan dan membuka klinik sendiri sebagai tanda silent protes.

Saya terbaca tulisan blog http://pagalavan.com/ yang memaparkan kisah lambakan doktor Houseman di Malaysia. Alangkah sedihnya apabila mengetahui bahawa peraturan terbaru tentang risiko houseman di tamatkan servis sebagai doktor jika gagal menamatkan houseman dalam masa 3 tahun. Dari satu sudut saya bersetuju penamatan servis bagi houesman yang tidak bertanggungjawab kepada pesakit dan tugas mereka, akan tetapi dibimbangi ialah sistem pernilaian yang dilakukan, sejauh mana ianya adil.

Jika pada waktu sistem saya mula bekerja dahulu, houseman hanya wajib menjalani 3 posting untuk melayakkan mereka mendapat pendaftaran penuh dan APC (annual practice certificate). Dua sijil ini AMATLAH penting kerana tanpa sijil ini, tiada gunanya susah payah selama 5-8 tahun belajar ijazah kedoktoran, dan degree kedoktoran yang diperolehi tiada harga walau sesen pun. Apabila menamatkan houseman, maka jawatan dalam kerajaan boleh disahkan, dan yang terpenting ialah mendapat sijil amalan untuk mempraktikkan ilmu kedoktoran.Pada masa dahulu, jika houseman bermasalah, maka waktu extension yang dikenakan ialah satu bulan, kemudian houseman tersebut akan dinilai sebulan kemudian. Jika ketua jabatan masih tidak berpuas hati, maka extension akan dilanjutkan sebulan lagi. Amat jarang untuk melihat houseman di extend melebihi 3 bulan .

Akan tetapi, sistem sekarang telah banyak berubah atas dasar mahu menghasilkan houseman yang berkualiti. Jangka masa houseman telah dilanjutkan kepada 2 tahun melibatkan posting sebanyak 6 posting yang perlu dilalui. Tambahan pula, pakej extension tidak lagi selama sebulan, tetapi terus 3 bulan jika pakar atau ketua jabatan tidak berpuas hati dengan performance mereka.Pendek kata, jika houseman tersebut telah extend sebanyak 4 posting dari 6 posting, maka mereka akan ditamatkan jawatan dari doktor. Maka mereka boleh merempat mencari kerja lain selain doktor.

Perkara ini menyedihkan kerana, kenapa boleh terjadi lambakan doktor di Malaysia?. Ini adalah salah banyak pihak terutama masyarakat yang melihat kerjaya doktor sebagai karier yang ‘ulung’ dan ultimate yang menjanjikan ‘confirm’ dapat kerja. Oleh itu, tumbuhlah kolej perubatan dan universiti perubatan dengan banyaknya.

Apabila demand banyak, maka supply turut akan meningkat mengikut prinsip perniagaan. Apabila oversupply terjadi, maka hasil end product adalah tidak berkualiti dan menjadi murah. Kadang kala tidak berharga.

Apa yang merisaukan lagi ialah, tentang sistem penilaian houseman yang dijalankan dihospital. Adakah penilai itu terdiri dari beberapa orang pakar untuk mengelakkan bias. Apatah lagi jika houseman itu diletakkan di district hospital yang mempunyai seorang pakar sahaja. Walaupun kriteria attitude, knowledge dan skill yang terpenting, tetapi adakah wujud sebarang garis panduan standard dalam menilai houseman.

Jika anda bertanya kepada doktor-doktor yang telah melalui zaman houseman, anda akan jumpa kisah-kisah lampau dimana extension seorang houseman hanyalah semata-mata ketua jabatan ingin me ‘retain’ bilangan houseman dijabatan mereka di waktu kekurangan houseman. Kadang kala extension itu berlaku hampir 100% dari jumlah houseman yang berada di satu-satu masa sehingga pengarah hospital terpaksa campur tangan kerana merasakan sistem extension itu tidak adil.

Antara politik hospital yang paling dibenci oleh saya ialah pass over berita tentang houseman kepada jabatan lain. Kebanyakan MOs dan specialist yang tidak berpuas hati dengan houseman, mereka suka membawa cerita kepada jabatan lain. Ini akan menyebabkan first impression terhadap houseman tersebut dari mula lagi sudah tidak baik. Sepatutnya mereka hendaklah memberi peluang dan melihat dahulu progress houseman tersebut sebelum meletakkan pernilaian yang muktamad.

Pada masa ini saya sedih apabila memikirkan keadaan adik-adik yang akan menjadi future doctor. Di manakah nasib mereka? Bilakah krisis ini akan reda? Bilakah doktor akan bersatu di bawah MMA untuk menyuarakan hasrat dan bantahan mereka.

Saya mencadangkan kepada bakal-bakal houseman, upgrade attitude and be a very responsible doctor, upgrade knowledge and learn as much as skill untuk menjamin survival sewaktu housemanship. Dan yang paling penting tetapi selalu dilupakan ialah  save duit gaji sebanyak mungkin sewaktu housemanship, at least simpanlah RM2000 hingga RM2500 per month, jangan terlalu boros dengan membeli kereta mewah dan rumah besar. Bersedialah dengan kemungkinan anda di tamatkan dari servis pekerja kerajaan. Paling teruk pun jika ianya berlaku, ia akan berlaku selepas 3 tahun anda bekerja, jika anda menabung duit sebanyak RM2500 x 12 x 3 = RM90 000.00. Maka jumlah itu insya Allah cukup untuk melangsaikan pinjaman atau biasiswa JPA sementara menunggu anda mendapat kerja lain yang lebih baik. Jika anda meletakkan duit itu didalam tabung haji atau unit amanah yang mempunyai track rekod performance yang baik, maka dividend tahunan kemungkinan boleh membayar pinjaman atau biasiswa setiap bulan. Yang terbaik ialah, dari medical student lagi telah menabung dengan banyaknya dan tidak boros dengan membeli barangan gajet. Jika tidak ditamatkan perkhidmatan, maka anda tidak rugi kerana menabung, jika ditamatkan, sekurang-kurangnya anda sudah sangat bersedia.

Tiada apa yang pasti untuk masa depan, cuma yang pasti ialah bagi orang yang sudah bersedia dan mempunyai perancangan masa depan.

Categories: Just sharing | Tags: housemanship malaysia, nasib houseman, polisi houseman

Ujian oh ujian!

Posted on February 28, 2012 by drsolah
No Comments

facebook.com/alid.comics

Dalam hidup ini, terdapat banyak ujian. Ujian yang formal ialah ujian sekolah rendah, menengah, matrikulasi dan peringkat ijazah sarjana muda. Saya merasakan setiap ujian sejak dari sekolah rendah adalah suatu ujian yang sangat susah. Terutama apabila terhadap mengadap arwah ayah dengan buku laporan sekolah yang memaparkan keputusan yang sangat tidak memuaskan.

Akan tetapi, peperiksaan yang paling saya rasakan sangat menyeksakan ialah untuk lulus dari dan menjadi seorang doktor. Setelah lulus dari dunia medical student, maka saya merasakan mendapat suatu kebebasan dari bebanan yang besar. Apabila terkenang sewaktu pelajar perubatan, saya merasakan satu-satunya permintaan terpenting kepada Allah swt ialah agar lulus menjadi seorang doktor. Jika lulus, saya merasakan sudah cukup.

Namun, ia masih tidak cukup sebenarnya, ujian bukan setakat itu. Lulus dari pelajar perubatan hanyalah suatu langkah pertama dalam menempuh banyak ujian selepas itu. Rupanya setelah lulus dari medical student, banyak ujian yang tidak formal yang terpaksa dilalui ialah menempuh alam bekerja, alam berkeluarga, ujian menghadapi karenah pesakit dan lain-lain.

Pada masa sekarang, saya mengambil basic medical sciences, dengan harapan tinggi dan doa agar lulus supaya menjadi pensyarah Anatomy di IIUM. Secara relatifnya, bidang ini adalah lebih mudah berbanding bidang klinikal. Namun, lebih mudah bukan bermakna ianya senang.

Setelah 2 tahun melalui pengajian master, rupa-rupanya sangat perit terasa apabila membuat research. Kebimbangan gagal itu tetap ada. Kadang kala terlintas dalam diri sendiri, apabila gagal bagaimanakah dengan masa depan keluarga? siapakah akan memberi nafkah kepada anak-anak? Apakah cemuhan dan pandangan keluarga? kemanakah hala tuju kerjaya selepas ini?

Apabila muhasabah kembali, adakah pemikiran itu akan memberikan impak positif kepada diri sendiri. Sudah pasti tidak. Ianya lebih kepada memberikan ketakutan dan kerugian. Apa pun, “life goes on”. Hidup mesti diteruskan, walaupun dalam keadaaan tekanan perasaan, sedih dan merasa tiada harapan. Saya merasakan pengalaman sewaktu medical student seolah-olah mahu berulang kembali.

Akan tetapi terdapat hikmahnya bekerja dengan IIUM. Saya telah mendapat banyak masa dan peluang untuk membaca buku, terutama berkisar dengan kewangan, motivasi, kemahiran hidup, kisah-kisah kejayaan orang lain.Apabila  banyak membaca maka perspektif terhadap hidup ini berubah. Dahulu, saya merasakan hanya doktor dan doktor pakar klinikal sahaja yang akan berjaya dan dijamin kerjaya kerja dan duitnya. Sebaliknya tidak, orang yang berjaya ialah orang yang mempunyai ilmu “kemahiran” untuk berjaya dalam hidup. Doktor bukanlah satu-satunya golongan yang sentiasa dijamin mempunyai kerjaya yang stabil dan baik. Ia hanyalah perspepsi orang ramai. Seperti juga perspepsi orang ramai terhadap kerjaya guru pada waktu zaman dahulu dimana “guru” adalah kerjaya paling bagus dan dijamin confirm dapat kerja. Sebaliknya kerjaya guru bukanlah seindah yang digambarkan. Kerjaya pensyarah basic medical science pula pernah digambarkan kepada saya sebagai kerjaya paling tiada prospek oleh orang tertentu, akan tetapi ianya tidak seperti digambarkan. Rupa-rupanya terdapat banyak kelebihan pensyarah Basic Medical Sciences yang tidak disedari oleh ramai individu yang fixed dan closed minded.

Antara buku-buku dan filem yang banyak memberikan motivasi untuk menghilangkan tekanan semasa menyambung master ialah:

1. Start where you are (filem yang terkenal bertajuk “Pursuit to Happyness)

2. Buku Robert T. Kiyosaki “Rich Dad Poor Dad, 4 Quadrant of People”

3. Kungfu Panda

Seringkali isteri saya memberikan kata-kata motivasi kepada saya untuk mengurankan kebimbangan terhadap program master ini, antaranya “bersyukur dengan apa yang telah diperolehi selama ini sehingga saat ini” “usaha, doa dan tawakal”. Walaupun bukan senang untuk mengubah minda saya yang rigid ini, saya akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu berfikiran pesimistik.

Kung Fu Panda

 

Sewaktu menonton cerita Kung Fu Panda terdapat babak Master Oggway menasihati kepada Panda

 

“You are too concerned with what was and what will be. There’s a saying: yesterday is a history, tomorrow is a mystery, but TODAY is a gift. That is why it is called a present. “

Apabila mendengar dialog ini, merasa terpukul dengan nasihat ini. Saya sepatutnya bersyukur dengan apa yang telah dilalui, berusaha untuk kearah lebih baik, berdoa dan tawakkal. Jangan terlalu berfikiran negatif terhadap masa depan. Kita masih diberi hari ini sebagai “present” atau “gift”. Usaha hari ini menentukan apa yang akan terjadi di masa hadapan.

Saya tahu kebanyakkan pembaca blog ini adalah medical student dari Mesir. Nasihat saya, jika anda juga antara pelajar tidak bernasib baik dan sentiasa gagal. Jangan putus asa, sedangkan saya yang tidak seberapa pandai ini boleh lulus medical student, anda sudah pasti boleh lulus. Bersyukur dengan apa yang diperolehi dan sentiasa berusaha kearah yang lebih baik. Jika anda ditakdirkan ditendang keluar sekalipun dari medical school, sebenarnya masih ada banyak harapan dalam hidup ini, dunia ini sangat luas dan bukan dikongkong dan dikuasai oleh golongan doktor sahaja. Pada zaman ini teknologi terlalu berkembang pesat, gunakanlah kemudahan ini untuk mencapai kejayaan dalam medical school. Jika anda melihat saya dan orang-orang lain seolah-oleh dalam keadaan hidup selesa, ketahuilah sebenarnya kita semua masih berada dalam “sampan” yang sama yang masih terumbang ambing. Apabila sudah menjadi pakar atau mendapat Phd, terdapat ujian lain akan datang juga. Apa yang penting ialah teruskan berusaha.

Esok…prepare for poster abstract for malaysian orthopedics association conference, research findings presentation, IFP examination modul 1.

Life goes on!

“Ganbatte”..

 

Categories: Just sharing | Tags: master program in basic medical science, motivation for me, susahnya belajar master

Kereta doktor

Posted on February 16, 2012 by drsolah
1 Comment

Kereta ku lari gagah berani!

Apabila melihat kereta usang yang berusia lebih 6 tahun, teringat zaman awal-awal bekerja sebagai seorang doktor. Setelah grad pada tahun 2004, saya telah berjaya mendapat kerja di Hospital Kota Bharu yang sangat dekat dengan rumah ibu bapa. Perjalanan dengan menggunakan motosikal arwah ayah hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Oleh kerana kehidupan Houseman sangatlah sibuk, selang sehari oncall, maka penggunaan minyak petrol untuk motor hanya menelan belanja RM5 sahaja.

Sememangnya menggunakan motor sangat menjimatkan pada awal bekerja. Ditambah pula, tiada hutang lain yang ditanggung. Apabila masuk tahun ke dua bekerja, terfikir hendak membeli kereta. Salah satu faktor adalah kerana mahu mendirikan rumah tangga. Antara faktor lain ialah kurang enak mendengar keluhan ibu yang mahu melihat anaknya membeli sebuah kereta baru.

Pada awalnya memang agak susah hendak memilih kereta. Banyak survey telah dibuat tentang harga dan jenis kereta yang hendak dibeli. Mungkin rezeki yang mahu ditentukan oleh Allah swt, saya tidak terjebak dengan membeli kereta mewah. Pada awalnya mahu membeli Myvi, oleh kerana harganya mahal dan mengambil masa hampir 6 bulan untuk mendapat stok kereta, maka tawar hati untuk membeli kereta tersebut. Pilihan dibuat hanya berdasarkan produk dari Perodua dan Proton. Ini adalah kerana kereta mewah lain seperti Honda, Hyundai, Spectra, Naza dll sangatlah mahal dan bayaran bulanan yang terpaksa ditanggung sangat membebankan.

Tatkala berbincang dengan rakan sekerja, pelbagai komen dan kutukan telah dilemparkan terhadap kereta buatan Malaysia ini. Berdasarkan pengalaman dan testimoni mereka, proton adalah kereta yang sangat fragile, tidak memuaskan dan mudah rosak. Akan tetapi, saya tekad juga untuk membelinya sehinggalah berjaya ditemukan dengan kereta di atas.

Alhamdulillah, sampai sekarang saya sangat bersyukur kerana telah membeli kereta ini. Memang terdapat sedikit kelemahan kereta ini. Walaubagaimanapun, setakat ini saya bersyukur kerana tiada kerosakan major pada kereta ini.

Mengikut perspektif kewangan, kereta adalah bebanan kewangan dan liabiliti kedua terbesar dalam karier kerjaya. Kadang kala apabila membeli kereta, nafsu lebih diutamakan. Maka alasan akan terkeluar seperti lebih selesa, untuk perjalanan jauh, harga jualan second hand tidak jatuh dan macam-macam lagi alasan tidak logik.

Saya teringat kisah seorang Medical Officer yang sangat particular tentang kereta, pantang mendengar bunyi ‘ngok ngek’ sikit pada keretanya terus rasa stress dan tension. Mungkin MO ini menghidapi penyakit was-was dengan keretanya. Akhirnya dia telah menukar kereta protonnya kepada kereta mewah jenama Hyundai. Setelah ditanya beberapa bulan tentang keretanya, air mukanya masih menampakkan riak yang tidak puas hati dengan prestasi kereta barunya.

Jika merujuk kepada buku AKPK, antara tips yang dicadangkan semasa membeli sebuah kereta ialah:

  1. Dapatkan jumlah pinjaman yang mampu dibayar, jangan berhutang melebihi jumlah 40% dari pendapatan kasar
  2. Kos untuk kereta bukan HANYA meliputi kos bayaran bulanan tetapi kos petrol, penyelenggaraan, cukai jalan dan lain-lain. Maka jumlah kos bulanan sebenarnya lebih tinggi dari jumlah ansuran yang perlu dibayar kepada bank
  3. Cuba sedaya upaya untuk melangsaikan pinjaman secepat mungkin, sebaiknya mengambil tempoh yang pendek dan membayar pendahuluan semaksimum. Ada yang mencadangkan tempoh terbaik bagi pembelian kereta ialah 3-5 tahun sahaja.

**Untuk mengetahui secara detail panduan membeli kereta, rujuk buku terbitan AKPK bertajuk POWER! pengurusan wang ringgit anda**

Alhamdulillah, mujurlah saya telah ditakdirkan menepati semua kriteria diatas kecuali tempoh pinjaman iaitu hampir 7 tahun.

Sekarang, saya menunggu kereta ini hendak dimerdekakan. Kadang kala terasa nafsu ingin membeli sebuah MPV supaya lebih selesa kerana anak sudah besar, tetapi hati gerun dengan hutang yang akan ditanggung. Maka hati pasrah, redha dan bersyukur dengan apa yang ada.

Kadangkala tersenyum apabila mengenangkan komen dari saudara mara “Dua-dua kerja doktor, tetapi kereta proton sahaja”. Jawapan yang terbaik saya rasa ingin berikan ialah “Kami tidak mampu”.

Nasihat saya bagi doktor yang baru bekerja, belilah kereta mengikut keperluan bukan bermewahan. Pastikan anda mencari info dari sudut pandangan pakar kewangan tentang panduan membeli kereta bukannya dari agen kereta.  Kelak anda akan menyesal apabila melihat kereta itu menghakis duit poket anda dan memaksa anda membuat lokum untuk melangsaikan ansuran bulanan. Manakala agen kereta dan pihak bank hanya tersenyum lebar mendapat komisyen dan faedah mereka.

Categories: Financial Management, Just sharing | Tags: hutang, kereta, kereta doktor

Hosting Renewal

Posted on February 16, 2012 by drsolah
1 Comment

Hari ini saya telah memperbaharui domain name dan hosting bagi website yang tidak seberapa ini. Rasanya sudah melebihi dua tahun saya telah menggunakan servis syarikat tempatan. Saya pernah mencuba beberapa perkhidmatan daripada syarikat lain seperti godaddy di luar negara dan satu syarikat tempatan (tidak ingin saya sebut namanya).

Setakat ini, sejak saya menggunakan perkhidmatan dari http://www.internet-webhosting.com , saya sangat berpuas hati dengan harga dan kualiti servis yang diberikan. Walaupun company godaddy yang popular itu sentiasa disebut-sebut dalam internet, saya rasakan menggunakan khidmat dari syarikat tempatan adalah lebih berbaloi.

Antara kelebihan yang saya dapati dari http://www.internet-webhosting.com ialah:

1. Harga yang berpatutan dengan kapasiti space dan bandwith

2. Kualiti servis yang diberikan seperti respons yang pantas, ada live online support service

3. Customer servis yang peramah

4. Local company, mudah dihubungi dan tiada communication barrier terutama language barrier.

5. Technical support yang bagus dan pantas.

Akan tetapi terdapat beberapa perkara saya rasakan kekurangan seperti website nya agak rumit bagi yang baru bermula. Bagaimanapun, saya rasa masalah ini dapat diatasi dengan mudah oleh customer support yang bagus.

Walaupun saya belum mendapat apa-apa pulangan dari segi untung setelah membuat website ini, saya tetap mengharap agar suatu hari nanti dapat menjadikan website ini tempat berkongsi (sharing) ilmu walaupun sedikit.

Jika anda berminat untuk mendapatkan hosting dan domain name ini, bolehlah klik pada gambar dan link yang saya sertakan dalam post ini. Saya juga telah meletakkan affiliate link, rasaya tidak salah mempromosikan sesuatu yang baik dan pada waktu yang sama saya juga mendapat sedikit manfaat darinya.

 

Categories: Just sharing | Tags: hosting malaysia, hosting terbaik

Kena tipu oleh MLM aka skim piramid

Posted on February 12, 2012 by drsolah
1 Comment

Ilustrasi Skim MLM

Teringat sewaktu setahun selepas bekerja, saya pernah tertipu oleh skim piramid MLM. Oleh kerana kurangnya ilmu dalam bidang kewangan dan pelaburan, saya terpengaruh dengan ajakan salah seorang kawan yang juga seorang doktor untuk melabur dalam skim yang saya sendiri tidak tahu kesahihannya.

Apabila seorang doktor mula bekerja, terdapat ramai ‘individu’ yang tidak dikenali akan mendekati mereka dalam kawasan hospital. Individu itu boleh diklasifikasikan kepada: agen insurans dari berbagai syarikat samaada konvensional atau takaful, agen MLM, agen unit amanah dan mungkin orang tidak siuman. Akan tetapi, tidak semua individu itu adalah penipu sebenarnya.

Saya di approach oleh rakan sekerja, secara jujurnya saya tidak mengatakan beliau seorang penipu, beliau hanya si dungu yang telah ditipu berulang-ulang kali oleh sistem MLM dan masih tidak sedar hidupnya sentiasa di tipu. Beliau mengajak saya melabur dalam sistem MLM, beliau menunjukkan kiraan keuntungan yang PASTI dapat iaitu lebih kurang 30% sebulan (keuntungan tahunan 300% lebih). Oleh kerana saya kurangnya ilmu dalam bidang ini, dan ilmu tentang MLM penipu ini tidak pernah diajar dalam sukatan pelajar perubatan maka duit saya telah hangus sebanyak hampir RM2000.00. Mujurlah jumlah itu tidak sebanyak seperti yang dilaporkan dalam surat khabar seperti puluh ribu dan ada juga ratusan ribu.

Selepas saya kerugian, saya mula mempelajari selok belok tentang ilmu pelaburan dari sudut syariah. Saya berpendapat dan yakin bahawa jika saya mempelajari dan mengambil tahu hukum hakam tentang ilmu kewangan dan pelaburan dari sudut syariah maka saya akan selamat dari penipu skim piramid MLM di dunia dan akhirat. Maka website Ustaz Zaharuddin menjadi rujukan utama saya sampai sekarang.

Seorang doktor memanglah bijak, tetapi hanya dalam bidang perubatan. Ilmu kewangan dan pelaburan bukanlah ilmu yang akan di “congenitally acquired” atau di “genetically inherited” setelah lulus dari fakulti perubatan. Ilmu itu perlulah dicari dan dipelajari. Oleh kerana doktor adalah dalam tarat high income earner dalam sektor awam, maka mereka akan menjadi lubuk emas bagi pengamal skim piramid MLM penipu ini mencari mangsa.

Antara ciri-ciri “typical” skim penipu MLM ialah:

1. Jaminan keuntungan dalam pelaburan

2. Keuntungan dijamin “too good to be true” seperti melebihi 100%- infinity setahun

3. Tiada urus niaga yang jelas tentang produk yang dijual

4. Duit keuntungan tidak jelas datang dari mana

5. Satu produk dijual sebagai “decoy” untuk mengabui ketidakjelasan urusniaga.

6. Syarikat didaftar di atas nama enterprise, tetapi mengutip duit deposit dari orang ramai.

7. Tidak jelas dari sudut syariah tentang urusniaga dijalankan atau tidak mempunyai penasihat syariah

8. Lebih kepada merekrut downline / head hunting dari mempromosikan produk.

9. Duit yang dilaburkan tidak berada di bawah kawalan pelabur, maka jika syarikat MLM ini mahu melarikan diri, mereka dapat melarikan segala duit pelabur.

Apa yang saya paling BENCI ialah apabila ada dikalangan doktor yang menjual produk supplemental ubatan tradisional dan menggunakan title sebagai doktor untuk memberi testimoni kelentong tentang kelebihan produk. Testimoni diberikan pula tidak berdasarkan asas kukuh dari sudut perubatan dan saintifik, dan produk tersebut juga tidak pernah melalui kajian saintifik.

Alhamdulillah, selepas itu, saya tidak lagi ditipu oleh penyangak MLM dan skim piramid. Walaupun selepas peristiwa itu ramai yang datang mempromosikan skim pelaburan kepada saya seperti Swiss Cash, Buluh Emas, Hai-O dan sebagainya. Semua itu saya tolak kerana saya merasakan skim itu terlalu “too good to be true” dan tidak menepati dari sudut syariah (berdasarkan apa yang saya faham dari website Ustaz Zaharuddin). Kebanyakkan skim di atas telah ‘mati’ setelah beberapa bulan.

Persoalannya adakah lebih baik tidak melabur terus dan hanya menyimpan duit di dalam bank sahaja? Tentu sekali tidak. Terdapat banyak pelaburan yang HALAL , sah dan mempunyai penasihat syariah. Kebiasaaan pelaburan halal tidak memberi jaminan PASTI keuntungan dan pulangan yang tetap, tetapi kebiasaannya untung. Adalah rugi jika tidak meletakkan sebahagian gaji dalam pelaburan, kerana gaji yang di simpan dalam bank semata-mata akan di mamah oleh inflasi setiap tahun. Tempat terbaik untuk menyimpan duit bagi saya ialah di Tabung Haji yang memberikan pulangan dividend yang sederhana setiap tahun.

Sekarang, saya mengambil kelas IFP (Islamic Financial Planner) secara part time. Saya membuat keputusan untuk mengambil kelas ini kerana saya merasakan sebagai seorang Islam wajiblah mempelajari ilmu tentang pengurusan kewangan. Semoga saya berjaya nanti untuk mendapatkan sijil profesional dan boleh menguruskan kewangan sendiri dan keluarga dengan lebih islamik dan teratur.

Categories: Financial Management, Just sharing | Tags: doktor dan MLM, doktor dan skim piramid, MLM penipu

Doktor dan AKPK

Posted on February 6, 2012 by drsolah
1 Comment

Buku POWER terbitan AKPK

Hari ni tengah boring-boring membelek buku POWER yang ditulis oleh AKPK; agensi kaunseling dan pengurusan kredit. Sebuah agensi under bank negara. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh pergi ke website rasmi www.akpk.org.my. Mereka bertanggungjawab memberi khidmat nasihat dan education tentang financial planning. Akan tetapi, saya berharap, saya tidak berjumpa dengan mereka, kerana kebiasaannya yang pergi ke sana sudah mempunyai masalah kewangan yang tidak dapat dipulihkan.

Sewaktu membelek-belek buku ini, tercengang sekejap dengan kes senario yang diberikan berkisar tentang doktor yang kaya, hidup secara mewah dan menghadapi masalah kewangan. Walaupun kisah ini hanyalah rekaan semata-mata dan ada kena mengena dengan yang hidup, tetapi ia mungkin based on true story. Ia sangat merunsingkan saya sebagai seorang doktor. Kalau lah letakkan senario tu sebagai kontraktor atau taukeh balak pun ok juga mungkin lega sikit.

Sememangnya doktor pakar adalah tergolong dalam golongan high income earner. Tetapi jika mereka tidak tahu selok belok tentang financial planning, maka besar kemungkinan mereka akan mengalami kemelut kewangan yang teruk.

Kes senario doktor dengan masalah kewangan

Dalam buku ini, ia menceritakan secara asas tentang financial planning, sesuai panduan orang ramai yang tidak tahu dimana perlu bermula untuk memahami tentang ilmu pengurusan kewangan.

Terdapat 6 bab dalam buku ini merangkumi:

1. Pengurusan aliran tunai

2. Asas meminjam

3. Penggunaan kad kredit secara bijak

4. Membeli kereta

5. Membeli rumah

6. Mengurus hutang anda

Terdapat banyak contoh dan kes senario yang diberikan dengan setiap bab.

Bagi yang ingin mengetahui secara asas, saya cadangkan buku ini. Tetapi saya tidak tahu dimana hendak membelinya, anda boleh menghubungi AKPK terus.

Saya berazam menghabiskan buku ini diwaktu lapang…insya Allah

 

Categories: Financial Management, Just sharing | Tags: AKPK, doktor dan financial

Sambung Master?!! – 1

Posted on February 5, 2012 by drsolah
No Comments
images

Saya merasakan saya bukanlah orang yang sesuai dan layak untuk memberikan bimbingan dalam menentukan bidang master. Cuma ini adalah pengalaman saya yang dilalui dalam menentukan bidang master.

Perkara paling susah dalam karier saya sebagai seorang doktor ialah memilih karier yang sesuai untuk bidang Master. Sebagai seorang doktor, adalah menjadi rutin dan kewajipan untuk mereka menyambung pelajaran ke tahap kepakaran. Tekanan untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi ialah disebabkan beberapa faktor:

Faktor pengaruh dari rakan sekerja dan pakar

Apabila sudah bekerja selama beberapa tahun, soalan yang sering ditanya oleh rakan sekerja ialah “Bilakah awak akan further study? Bidang apa? “. Itu adalah soalan yang rutin ditanya apabila telah bekerja selama 4 tahun, kerana apabila sudah mencapai 4 tahun tempoh kerja, maka mendapat kelayakan memohon master (jika tiada masalah tatatertib). Doktor pakar juga biasanya akan menggalakkan MO di bawahnya supaya sambung kerja, ada pakar yang baik hati akan sanggup memberikan “recommendation” dan surat sokongan kepada MO nya.

Faktor tekanan kerja, masa dan duit

Kerja sebagai HO dan MO ibarat kuli batak yang tiada penghujungnya. HO ialah kuli batak yang paling baik kerana mereka ikut dan taat sahaja perintah MO. Manakala MO ialah kuli batak tahap tertinggi, kerana mereka taat dan patuh kepada perintah dan waktu yang sama kena pandai-pandai dalam menyelesaikan sesuatu isu tanpa perintah pakar. Apabila bergelar kuli batak, maka hendaklah difahami, seseorang itu boleh dicampak dan ditugaskan ke mana sahaja, termasuklah di postingkan ke hospital district, di tukar ke department lain seperti O&G dan Medical yang sering kekurangan MO. Kebiasaannya pada zaman saya, dua jabatan ini seringkali kekurangan MO kerana ramai cuba mengelakkan dari memasuki jabatan ini kecuali yang telah dipaksa tidak rela atau pun rela. Walaupun doktor telah di latih untuk menguasai semua bidang, tetapi untuk menjadikan diri mahir dalam segala bidang dan berjaya menguruskan segala jenis macam kes dalam segala bidang adalah sangat mustahil. Sebab itulah wujudnya bidang master, seorang pakar O&G sangat mahir dalam melakukan pembedahan berkaitan O&G, seorang pakar Medical sangat mahir mendiagnosis penyakit berkaitan medical.

Pada waktu zaman dahulu, gaji MO adalah berbeza dengan pakar, kenaikan adalah lambat sedikit, dengan menjadi pakar, peluang kenaikan gaji adalah tinggi dan juga peluang untuk melarikan diri ke hospital swasta juga tinggi. Sebab itulah ramai ingin menyambung master.

Masa untuk diri sendiri dan keluarga juga penting, pada zaman dahulu, doktor terlalu sibuk dengan sistem oncall sehinggakan masa untuk diluangkan untuk diri mereka dan keluarga mereka sangat terhad, ditambah pula jika pasangan mereka juga seorang doktor. Mungkin zaman sekarang sudah berubah kerana terdapat banyak ‘lambakan HO’ untuk mengisi kekosongan post doktor dalam hospital.

3 Gelaran “Chronic MO atau Senior MO, GP atau Pakar”

Jika selepas 10 tahun, seorang doktor masih tidak mempunyai kepakaran, maka kadang kala gelaran diberikan ialah chronic MO, kalau MO itu ialah disayangi oleh bosnya, maka gelaran dipanggil mungkin lebih sopan sedikit iaitu Senior MO. Kebanyakan doktor merasakan hanya terdapat 3 pilihan asas untuk mereka, bagi yang merasa selesa dengan suasana di jabatan mereka diletakkan sekarang , mereka membuat keputusan untuk terus tinggal dan tidak menyambung pelajaran. Bagi yang tidak sanggup menghadapi tekanan dan bebanan kerja kerana penurunan stamina tubuh badan dengan meningkatnya umur, mereka memilih untuk meletakkan jawatan dan menjadi GP klinik swasta. Bagi yang bernasib baik mendapat tawaran master, mereka melanjutkan pengajian.

Bidang master: Clinical vs Non-clinical vs ……………………………………………  Preclinical (basic sciences)

Membuat keputusan dalam memilih bidang master adalah suatu perkara paling sukar. Kerana tiada orang di atas muka bumi ini boleh membuat keputusan yang confirm bagus dan tepat untuk diri saya. Yang pasti pengkritiknya memang ramai. Mungkin lumrah manusia, otak ini lebih mudah untuk mengkritik dari memberikan cadangan yang baik, otak ini juga lebih mudah untuk menjadi bodoh dari menjadi pandai.

Saya telah lama menyimpan hajat untuk “melarikan diri” ke dalam bidang Anatomy di HUSM, kerana saya berpendapat, dimana sahaja saya kerja sebagai seorang doktor, saya masih lagi boleh memberikan sumbangan kepada masyarakat. selama mana jika semua pekerjaan itu halal dan tidak menganiayai sesama manusia. Oleh kerana terdapat pertembungan ingin berkahwin pada waktu itu, maka dipendamkan hasrat itu selama beberapa tahun.

Saya percaya, secara realitinya memilih bidang berdasarkan minat adalah suatu hujjah yang sangat dangkal. Kadang kala minat itu serasi dengan kemampuan kita, kadang kala tidak serasi. Bagi orang yang fixed mind, rigid, narrow minded dll, mereka melihat hanya bidang kepakaran tertentu sahaja yang mempunyai prospek dalam dunia perubatan seperti O&G, Medical dan surgery. Kadang kala ramai terlepas pandang bidang seperti Perubatan Nuklear, Transfusion Medicine, Public Health Pathology, Emergency Medicine………….hinggalah basic sciences. Bidang-bidang yang tidak menjadi tumpuan inilah biasanya belum lagi oversaturated dalam negara kita. Akhirnya bidang ini mempunyai demand yang tinggi dan ruang untuk tumbuh amat banyak.

Saya tergelak dalam hati, walaupun kadang kala sakit hati juga apabila menyuarakan hasrat untuk menyambung bidang basic sciences ini. Antara komen-komen hebat diperolehi ialah: “bidang ini adalah untuk pemalas”, “bidang ini tiada prospek, ramai yang terputus kerja dan bergelandangan apabila mengambil bidang ini”, “hahahahahahahah” “kamu akan kecewa kerana rakan sekerja kamu nanti akan mendapat gaji lebih tinggi”, “bidang ini boleh menjadikan anda miskin” , “ini tandanya tidak ikhlas kerja” dan macam-macam lagi.

Tetapi terdapat juga komen yang baik dan bermutu tinggi seperti

“ramai yang tidak mengetahui prospek sebenar bidang ini dalam dunia akademik” Dr Hj Abdul Rahman, Pakar (Jusa) O&G, bekas pensyarah O&G HUSM.

“buat pilihan berdasarkan kebajikan keluarga dan anak-anak” Dr Che K, pengarah hospital Machang

“pilihlah bidang yang memberikan ketenangan hati” Dr Zamsyari Pakar Pediatric.

Memang tidak dinafikan, menjadi pakar perubatan, surgery dan O&G mempunyai prospek yang sangat baik dan tidak dapat dinafikan, cuma apabila saya menilai kemampuan diri ini, saya merasakan bidang ini adalah untuk orang lain yang lebih pandai, lebih berstamina, lebih ikhlas, lebih bercita-cita tinggi, lebih komited dan tahan tekanan.

Jika ditanya mereka dan diselami hati mereka yang mengambil bidang-bidang lain seperti ENT, Pathology. Mungkin jawapan tipikal ialah “kerana saya minat’ tetapi cuba lagi tanya dengan lebih lanjut, sudah pasti akan keluar jawapan “saya sudah tidak tahan oncall”, “demi kepentingan masa untuk keluarga”, “pening dengan karenah pesakit” dan macam-macam lagi.

Contoh situasi ini ialah: seorang MO yang sangat lama berkhidmat dengan jabatan anaesthesiology, dianggap Senior MO (kerana disayangi bos) ..akhirnya saya berjumpa dengannya di Hospital lain, bekerja di jabatan pathology. Saya bertanya adakah dia akan menyambung master dalam bidang anaesthesiology, dia berkata “I don’t think and don’t want my life end up as anaest”, saya tercengang mendengarnya. Situasi lain, seorang MO yang lama dalam O&G yang sangat mahir dalam bidang itu, akhirnya saya mendapat tahu dia mendapat tawaran master in pathology. Saya bertanya kenapa dia memilih bidang itu, jawapannya ialah “faham-faham ajolah” saya tercengang sekali lagi.

Kesimpulan, saya merasakan membuat keputusan untuk memilih master adalah sangat sukar. Anak-anak adalah pihak paling penting untuk dipertimbangkan dalam memilih bidang master, kerana merekalah orang yang terpaksa menahan sabar dimarahi oleh ibu bapa doktor yang tertekan dengan bidang master atau tekanan kerja.

Pening dah tulis panjang-panjang…sambung lain kali

Categories: Just sharing | Tags: karier doktor, master

Doktor dan kewangan

Posted on January 31, 2012 by drsolah
No Comments
images

Saya meminati ilmu kewangan. Ilmu kewangan bukanlah berkisar HANYA semata-mata tentang ilmu membuat duit, atau ilmu menguruskan duit atau melabur. Tetapi terdapat satu missing puzzle iaitu agihan kekayaan yang meliputi infaq, sedekah, hibah, waqaf dan pewarisan harta pusaka menurut islam.

Secara umumnya, karier doktor adalah mempunyai gaji yang paling tinggi dalam kerajaan bagi penjawat awam jika dibanding dengan karier lain. Walaupun, perbezaan itu mungkin hanya sekitar RM100 sahaja berbanding karier lain.

Doktor adalah spesies manusia yang sibuk; oncall, night shift, post call, PM off dan macam-macam lagi istilah sibuknya. Secara umumnya kesibukan itu akan membantutkan mereka untuk mengambil tahu urusan kewangan mereka. Walaupun masalah ini adalah juga berlaku dalam karier lain, tetapi saya lebih suka menceritakan tentang dunia doktor di mana saya pernah laluinya dan sedang melaluinya.

Antara langkah-langkah yang secara rutinnya dilakukan oleh doktor apabila memperolehi gaji ialah membeli sebuah kereta yang agak mewah. Pembelian kereta yang mewah menyebabkan bayaran bulanan yang agak membebankan, ditambah pula dengan kos petrol dan kos maintainance yang agak tinggi. Awal-awal lagi bebanan kewangan sudah muncul.

Langkah seterusnya, ialah membeli rumah atau tanah dengan tergesa-gesa dengan alasan kerana rumah akan naik harga dan juga tanah akan naik harga dan ianya boleh menjadi aset. Tetapi ramai tidak sedar apa itu istilah aset dan juga liabiliti. Jika merujuk kepada buku Rich Dad Poor Dad yang ditulis oleh Robert T.Kiyosaki, rumah dan tanah tidak semestinya menjadi aset, bahkan kebanyakan masa menjadi liabiliti yang akan mengecilkan duit poket. Jika menggunakan alasan rumah dan tanah akan naik harga nanti, umpama mengira anak ayam dari telur yang belum menetas.

Langkah seterusnya yang dilakukan ialah, membuat renovation rumah dan juga membeli kereta ke dua. Dengan alasan, long journey travelling perlu kereta lebih baik. Ini menambah lagi parah status kewangan doktor.

Jika mereka tidak bernasib baik, akan di approach oleh penggiat MLM skim piramid penipu tegar, yang menjanjikan keuntungan 300% serta merta hanya dengan meletakkan sejumlah besar wang sebagai modal pelaburan, maka doktor itu mulalah membuat personal loan yang menambahkan lagi keparahan status kewangan. Biasanya skim MLM piramid akan ‘mampus’ dalam masa tidak sampai 6 bulan, seperti skim Buluh Mas.Ini menjadikan status kewangan individu terbabit menjadi umpama kanser peringkat terakhir yang sukar dipulihkan.

Saya pernah mengenali seorang doktor, beliau merupakan peminat MLM tegar, dia mempunyai pendapat jika mahu kaya, satu-satunya jalan ialah dengan MLM. Saya sangat kurang bersetuju dengan pendapat ini. Kerana jalan kekayaan bukan satu jalan sahaja. Dalam Islam, terdapat 4 langkah untuk menjadi kaya dunia dan akhirat meliputi, wealth generation (cari kerja), wealth growth (pertumbuhan), wealth protection (takaful) dan wealth distribution (waqaf, infaq, hibah dan sedekah). Ini adalah steps yang dinyatakan dalam modul IFP (islamic financial planning) untuk mencapai Al-Falah (kejayaan) di dunia dan akhirat.

Pada pendapat saya, apa yang penting ialah bermula dengan gaji pertama seorang doktor, mereka hendaklah menyimpan sebahagian gaji, paling minimum 30% dari total gaji untuk membina reserve money untuk survival 6 bulan tanpa kerja. Kemudian membeli takaful untuk protection. Selanjutnya meletakkan portion dari gaji untuk investment dalam pelaburan saham-saham yang patuh syariah. Tetapi langkah terakhir yang dilupai dan diabaikan oleh kebanyakan orang Islam termasuk saya  ialah “wealth distribution” . Ianya meliputi penulisan wasiat agar harta kita tidak dibekukan oleh Bank dan etc selepas kita mati, hibah atau hadiah kepada seseorang dan waqaf untuk ‘pelaburan akhirat’ .

Disini saya suka highlight sedikit suatu kisah tentang isu waqaf “2 anak yatim pada zaman Rasulullah saw yang mewaqafkan sekeping tanah untuk tujuan pembinaan masjid nabawi. Cuba bayangkan berapa juta, billion, zillion pahala yang mereka dapat sejak lebih seribu tahun lalu, sudah pasti mereka telah mendapat tempat di syurga”.Walaupun kita tidak berupaya mewaqafkan sebidang tanah, mungkin kita boleh bermula dengan mewaqafkan sekeping duit seringgit hingga lima puluh ringgit.

Oleh itu, sebagai seorang doktor, amatlah penting untuk mengambil tahu tentang status kewangan masing-masing. Ilmu tentang Islamic Financial Planning tidak akan datang kecuali kita mencarinya. Saya sudah menemui cara mendapat ilmu Islamic Financial Planning, dan saya berazam untuk mempelajarinya dan mendapatkan sijil tersebut demi kepentingan diri dan keluarga. Semoga Allah swt memberikan umur cukup panjang dan kejayaan dalam usaha ini.

P/S:

“Bukanlah penting sebanyak mana gaji diperolehi, tetapi sebanyak mana yang disimpan itu paling penting”

“Menyimpan adalah langkah awal paling asas ke arah kekayaan, menyimpan ditempat yang sesuai adalah paling penting”

“Tentang pelaburan, dalam Islam tiada pelaburan boleh menjanjikan pulangan, kerana adalah ‘nature’ pelaburan mesti ada untung dan rugi, paling penting sebelum melabur ialah tahu risiko pelaburan tersebut”

Categories: Financial Management | Tags: doctors and financial, doctors and money, islamic financial planning
Previous Entries
  • Google Search

  • Iklan cari duit

  • Recent Posts

    • Long case clinical exam – 5 tips
    • Pesta Buku 2012
    • Nasib Houseman yang suram..
    • Ujian oh ujian!
    • Kereta doktor
  • Category Post

    • Featured Content Gallery (12)
    • Featured Post (22)
    • Financial Management (7)
    • IIUM Thesis formatting Word 2007 (1)
    • Just sharing (32)
    • Learn how to type (2)
    • Medical student (1)
    • Self improvement skills (4)
  • Archives

  • My Facebook

    Wan Muhamad Salahudin

    Create Your Badge
  • My best links

    • Cikgu Farizal
    • Dr Nehar
    • Dr Safwan
    • Dr Taqi
  • Stat Counter


    View My Stats
  • Tags

    akademik akademi penulis anatomy bestseller blog writing born to be a doctor buku kewangan cheap cita-cita doktor clinical distric hospital posting doktor oncall dunia klinikal dunia research failure in medical student farshy turab financial management gagal medical student gaji pertama hafal al-quran kaedah jibril hafal quran hafal quran kaedah jibril hospital daerah hospital district hosting free idul adha ilmu penulisan insurans kaedah jibril kerjaya doktor kewangan doktor mati medical student microsoft word 2007 nasihat oncall di hari raya penulisan blog pesta buku peta kewangan preklinikal research speed typing teach yourself how to type thesis formatting typing tutor
© Dr Solah. Proudly Powered by WordPress | Nest Theme by YChong